25gema
JITRA 25 November – Kedah merupakan negeri pertama yang mengambil inisiatif untuk menganjurkan pelancaran Gema Kasih@Komuniti yang secara tidak langsung memberi kesedaran dan menggalakkan masyarakat untuk mengerjakan amal kebajikan.
Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, kejayaan yang dicapai itu adalah hasil dedikasi, komitmen, semangat, kerjasama dan perhubungan rapat serta usaha gigih daripada semua pihak yang terlibat.
“Program yang diadakan pada hari ini adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan kefahaman kepada masyarakat mengenai program-program Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” ujarnya pada majlis pelancaran Gema Kasih@Komuniti JKM Tahun 2015 yang diadakan di Tapak Pasar Sehari Alor Biak, Sungai Korok.
Menurutnya, ramai yang beranggapan bahawa JKM terlalu sinonim dengan bantuan kewangan, tetapi masih ramai yang belum mengetahui program-program atau perkhidmatan lain yang boleh diberikan oleh JKM. Maka selaras dengan matlamat untuk menyebarluaskan perkhidmatan JKM, maka program ini diadakan dengan tema iaitu ‘Pakat-Pakat Ambik Tahu’.
Beliau memberitahu, tugas membantu golongan sasar dalam satu-satu komuniti bukanlah terletak di bahu jabatan semata-mata kerana kefahaman masyarakat yang tinggi terhadap peranan JKM akan memudahkan urusan berkaitan bantuan oleh JKM kepada masyarakat.
Menteri Besar berkata, Kerajaan Negeri juga amat prihatin dengan rintihan masyarakat umum mengenai kos sara hidup. Selain bantuan kewangan bagi meringankan beban keluarga, Kerajaan Negeri melalui JKM telah memperkenalkan Skim Insentif Kelahiran Anak (IKA).
“Mulai tahun 2014, bantuan berbentuk barangan bayi bernilai RM100 telah diberikan kepada setiap keluarga yang menerima kelahiran bayi. Pada tahun ini, IKA ini telah ditambahbaik dan setiap bayi yang berdaftar akan diberikan baucar bernilai RM80. Baucar tersebut boleh ditukar dengan barangan bayi di kedai-kedai terpilih dan RM20 sebagai deposit bagi pembukaan Akaun SSPN-I,” jelasnya.
Tambahnya, Kerajaan Negeri turut memperkenalkan satu insentif yang memberi manfaat kepada golongan Orang Kelainan Upaya (OKU). Skim Insentif Pendaftaran OKU telah diperkenalkan mulai 2015. Ini bermakna setiap OKU yang berdaftar dengan JKM Negeri Kedah pada 2015 akan menerima insentif bernilai RM100.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Siputeh, YB. Dato’ Abu Hasan Sarif; ADUN Bukit Kayu Hitam, YB. Dato’ Ahmad Zaini Japar; Ketua Pengarah JKM, Dato’ Haji Zulkiply Ramli dan Pegawai Daerah Kubang Pasu, Haji Muhammad Helwi Harun.
Sumber : Sinar



    23pelaburan
    SUNGAI PETANI 23 November – Kedah adalah antara negeri yang sering menerima pelabur asing dari luar negara yang begitu berminat untuk melabur di negeri ini, sekaligus dapat merancakkan sektor ekonomi.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, peningkatan pelaburan adalah sesuatu yang mampu memberikan pulangan terbaik kepada negeri ini.
    “Selain memperolehi pelaburan sebanyak RM1.12 bilion dalam tempoh Januari hingga Jun 2015, manfaat daripadanya juga turut membuka peluang pekerjaan kepada 2,930 rakyat di negeri ini,” ujarnya ketika hadir ke Federation of Malaysian Manufacturers (FMM) CEO Luncheon Talk 2015 di Hotel Park Evenue.
    Menurutnya, projek membangunkan Bandaraya Getah di Padang Terap yang menelan belanja sebanyak RM320 juta adalah antara projek yang dijangka akan meningkatkan pertumbuhan ekonomi di samping merancakkan sektor pelaburan di Negeri Kedah.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi FMM Kedah/Perlis, Dato’ Dr Haminnuddin Abd Hamid.
    Sumber : UMTK


    23syarikat
    ALOR SETAR 23 November – Sebuah syarikat semikonduktor, Osram yang berpangkalan di Jerman akan melabur sejumlah $1 billon euro (RM4.67 bilion ) di Kulim Hi-Tech Park (KHTP).
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, dengan kerjasama pihak MIDA,KTPC dan NCIA, Kedah Investment Centre (KIC) telah berjaya menarik pelaburan sebanyak $1 bilion euro (RM4.67 bilion) daripada syarikat Osram itu.
    “Pembinaan kilang cip diode pemancar cahaya (LED) di kulim dan tapak pengeluaran cip LED enam inci terbesar dan baru di dunia itu secara tidak langsung mampu menyemarakkan ekonomi Negeri Kedah,” ujarnya.
    “Osram yang merupakan peneraju global dalam bekalan produk lampu akan melabur sebanyak $3 bilion euro lagi menjelang 2020. $1 bilion euro akan dilaburkan untuk pembinaan kilang cip LED manakala $2 bilion lagi akan dilabur dalam penyelidikan serta pembangunan (R&D) untuk kumpulan Osram di seluruh dunia,” jelasnya.
    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Tandatangan MoU Kemudahan Mikrokredit Kedah Antara Kerajaan Negeri dan Bank Simpanan Nasional (BSN) serta Majlis Penyerahan Dana Usahawan Melalui NCIA kepada Unit Pembangunan Usahawan Kedah (UPUK) yang diadakan di Wisma Darul Aman.
    Menurutnya, dengan pembinaan kilang berkenaan ia dijangka akan mewujudkan 1,000 peluang pekerjaan di KHTP di samping meningkatkan pertumbuhan ekonomi negeri.
    Menteri Besar memberitahu, pihak pelabur asing begitu berminat serta yakin terhadap kemampuan Malaysia dan Kedah khususnya dalam membekalkan perkhidmatan yang terbaik bertaraf antarabangsa.
    “Kita juga mendapat tahu bahawa banyak syarikat dari dalam dan luar negara yang berminat untuk melakukan pelaburan di Negeri Kedah terutama di KHTP,” katanya.
    Sumber : UMTK


    22kerajaan
    ALOR SETAR 22 November - Berikutan pemansuhan subsidi beras super tempatan ST15 baru-baru ini, kerajaan disaran memindahkan subsidi beras tersebut kepada beras ST5 bagi membolehkan rakyat kurang berkemampuan terus menikmati faedah tersebut.
    Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Datuk Yusof Ismail berkata, jika sebelum ini kerajaan memberikan subsidi sebanyak RM750 setan bagi beras ST15, namun untuk beras ST5, pihaknya hanya mahu subsidi sebanyak RM500 setan.
    Beliau berkata, menerusi cadangan itu, kerajaan mampu melakukan penjimatan sebanyak RM250 setan bagi beras ST5 yang dijual dengan harga RM1,650 setan kepada pemborong.
    Program subsidi Beras ST15 diwujudkan kerajaan pada tahun 2008 sewaktu krisis makanan, namun dimansuhkan pada Oktober lepas berikutan terdapat banyak masalah ketirisan.
    Sekiranya RM500 subsidi diberikan kepada beras ST5 katanya, ia boleh dijual pada harga RM21 (10 kilogram) dengan lebih berkualiti berbanding RM26 pada masa sekarang.
    "Ini bererti harga beras seberat 10 kilogram (kg) ialah RM26 (bagi pasaran Kedah), manakala pemborong boleh menjual dengan harga RM2,000/tan (RM20/10kg) kepada peruncit sebelum peruncit menjualnya pula pada harga siling yang dicadangkan iaitu RM21.
    "Apabila kerajaan beri subsidi ST5, pengguna akan dapat beras berkualiti, kerajaan dapat jimatkan perbelanjaan subsidi (berbanding ST15) dan kita yakin penyelewengan dan ketirisan dapat dielakkan," katanya.
    Sementara itu Presiden Persatuan Beras Bumiputera Malaysia (Barim) Ismail Awang berkata, subsidi beras adalah perlu bagi mengimbangkan harga pasaran selain mengelakkan harga beras naik mendadak sehingga RM30 bagi 10 kilogram.
    Satu pertemuan katanya telah dibuat dengan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Sabery Cheek baru-baru ini antara lainnya bertujuan membincangkan keperluan untuk melantik pemborong yang berkelayakan dalam menggred beras.
    "Sebab kita kena ingat beras ini makanan ruji rakyat, sedangkan pada 2008 subsidi ini diberikan kerana ketika itu harga beras meningkat," katanya.
    Sumber : Sinar


    20persidangan
    ALOR SETAR 20 November – Kerajaan Kedah melalui Majlis Sukan Negeri (MSN) merancang untuk mengadakan satu persidangan pada awal tahun depan untuk menghasilkan satu ‘blueprint’ pembangunan sukan negeri 2020-2025.
    Exco Belia dan Sukan, Aminuddin Omar berkata, persidangan itu diharapkan dapat merangka strategi jangka panjang dan pendek dengan objektif utama Kedah menjadi kuasa besar sukan melalui penguasaan pingat emas terbaik di Sukma 2022 dan 2024.
    “Kerajaan negeri sentiasa memberikan perhatian yang serius terhadap pembangunan sukan di negeri ini. Pelbagai langkah diambil untuk meningkatkan pencapaian sukan bagi atlet-atlet dari Kedah bagi menjulang nama negeri ke peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
    “Secara tradisinya, Kedah merupakan satu ‘powerhouse’ dalam sukan bola sepak dan sepak takraw di Malaysia. Kerjasama tiga hala antara persatuan-persatuan sukan negeri, MSN Kedah dan Unit Sukan Jabatan Pendidikan Kedah perlu digembleng bagi memacu kemajuan dalam kedua-dua sukan ini,” katanya.
    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh Datuk Harun Abdul Aziz (BN- Kupang) yang bertanyakan mengenai usaha kerajaan negeri dalam pembangunan acara sukan pada Sidang Dun Kedah, semalam.
    Menurutnya, beberapa sukan lagi dikenal pasti berpotensi dimajukan di Kedah seperti olahraga, angkat berat, berbasikal, pencak silat, squash dan sukan perahu layar.
    “Daerah yang dikenal pasti sebagai pusat latihan negeri dan pusat latihan daerah melalui penempatan prasarana sukan serta jurulatih sepenuh masa dan separuh masa ialah Kubang pasu dan Jerlun bagi acara sukan angkat berat serta olah raga iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Janggus dan Sekolah Menengah Tunku Anum Tunku Abdul Rahman.
    “Pokok Sena menjadi pusat bagi sukan menembak iaitu di Lapang Sasar Pokok Sena, daerah Yan sebagai pusat latihan negeri sepak takraw di SMK Dulang dan Langkawi sebagai pusat latihan negeri bagi acara perahu layar,” katanya.
    Aminuddin berkata, Sik dan Baling pula menjadi pusat kecemerlangan sukan tinju melalui penubuhan pusat latihan negeri Unit Sukan Prestasi Tinggi Negara (USPTN).
    “Persatuan-persatuan sukan negeri dan MSN telah mengenal pasti beberapa sukan yang memerlukan kepakaran kejurulatihan luar negara seperti bola sepak dan sepak takraw.
    “Badminton juga menggunakan dua orang jurulatih dari Indonesia. Selain itu, MSN Kedah sedang dalam usaha mendapatkan jurulatih akuatik terutamanya acara terjun dari China serta jurulatih Russina dalam acara olahraga,” katanya.
    Namun begitu, kerajaan negeri juga perlu memberikan pertimbangan terhadap keadaan ekonomi semasa dan kesediaan atlet di peringkat akar umbi untuk menerima pertukaran teknologi dari jurulatih antarabangsa tersebut.
    Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
    Sumber : Sinar


    19acara
    ALOR SETAR 19 November - Kerajaan negeri merancang menganjurkan prog­ram sukan, Eagle Cup Sepak Takraw sempena Tahun Melawat Kedah 2016 yang dijangka mampu menarik kedatangan pelancong ke ne­geri ini.
    Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian dan Kebuda­yaan dan Pembangunan Insan ne­geri, Aminuddin Omar berkata, program tersebut telah mendapat ke­lulusan di peringkat Majlis Me­syuarat Kerajaan Negeri.
    “Kita telah merancang program sukan baharu yang dilihat mampu untuk menarik pelancong kerana ia akan melibatkan persatuan dan pemain sepak takraw dari seluruh pelosok negara seperti Thailand dan Singapura.
    “Program yang akan diadakan di peringkat antarabangsa itu akan diselaraskan oleh Majlis Sukan Ne­ge­ri Kedah, namun lokasi dan tarikh program belum dimuktamadkan dan masih dalam perbincangan,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Romani Wan Salim (Pas-Bukit Pinang) dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini hari ini.
    Aminuddin berkata, penganju­ran sukan tersebut dapat menarik mi­nat pelancong menyertai acara sukan antarabangsa yang diadakan di negeri ini seperti Ironman Langkawi dan sukan kapal layar.
    Sementara itu, beliau berkata, terdapat beberapa sukan yang telah dikenal pasti di negeri akan diberi perhatian iaitu sukan silat, tinju dan angkat berat.
    “Banyak sukan yang telah dikenal pasti di Kedah dan sekarang kita dalam usaha untuk memperhebatkan lagi sukan-sukan ini dalam usaha ingin menerapkan budaya bersukan di negeri ini.
    “Pelbagai langkah telah diambil untuk memastikan rakyat Kedah hidup sihat dan mengamalkan budaya bersukan dengan menganjurkan Hari Sukan Malaysia dan FitMalaysia peringkat negeri,” katanya.
    Oleh : Nazmil Nasiruddin
    Sumber : Utusan


    5kerajaan
    ALOR SETAR 17 November - Kerajaan negeri yakin projek Bandar Raya Getah yang akan dibangunkan di Ladang Bukit Ketapang, Padang Terap bakal menawarkan peluang pekerjaan kepada 5,000 hingga 10,000 orang penduduk di negeri ini.
    Pengerusi Jawatankuasa Industri dan Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kerajaan percaya lebih 90 peratus anak tempatan dari daerah Padang Terap akan menjadi tenaga kerja selepas projek itu berjalan sepenuhnya.
    Katanya, banyak kilang di Kedah yang tenaga kerjanya diisi oleh orang tempatan dan sebagai contoh sebuah kilang di Merbok hampir 95 peratus tenaga kerjanya terdiri daripada warga tempatan dan hanya lima peratus diisi warga asing.
    “Kalau kita tanya mereka ini sama ada berminat untuk bekerja kilang di Pulau Pinang atau Kuala Lumpur ramai yang tidak berminat.
    “Banyak faktor yang menyebabkan orang tempatan tertarik untuk bekerja di negeri ini, antaranya faktor gaji yang menarik serta keselesaan dan kita yakin anak tempatan juga akan mengisi kekosongan jawatan di Bandar Raya Getah ini,” katanya dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-13 di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
    Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Ir. Amiruddin Hamzah (Pas-Anak Bukit) mengenai sama ada tenaga kerja di Bandar Raya Getah itu akan diisi oleh warga tempatan atau warga asing.
    Menurut Ku Abdul Rahman, antara jenis pekerjaan yang bakal ditawarkan di Bandar Raya Getah itu ialah jawatan di peringkat profesional seperti dalam bidang kejuruteraan, bidang mekanikal serta bidang Sains Material.
    Selain itu katanya, jawatan- jawatan bagi peringkat diploma dan sijil seperti juruteknik serta operator juga turut ditawarkan.
    Tambahnya, projek Bandar Raya Getah itu dijangka bersedia untuk menarik pelabur selepas fasa pertama pembangunan infrastruktur di situ siap dijalankan pada 2017.
    “Pada bulan Disember tahun ini kita akan memulakan kerja-kerja melantik konsultan untuk menjalankan kerja-kerja ukur tanah di kawasan projek berkenaan.
    “Komponen projek tersebut seluas 600 hektar dan tanah seluas 380 hektar akan dibangunkan sebagai zon industri, 12 hektar sebagai zon komersial manakala lapan hektar lagi akan dibangunkan untuk kemudahan awam,” jelasnya.
    Sumber : Utusan


    17tender
    ALOR SETAR 17 November - Kerajaan membuat tender terbuka untuk membaiki dan menguruskan loji pelupusan sampah (insinerator) di Pulau Langkawi yang kini mengalami kerosakan teknikal.
    Exco Kerajaan Tempatan, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, insinerator terletak di Kampung Belanga Pechah, Kuah mula beroperasi pertengahan 2012 dan dihentikan enam bulan kemudian disebabkan masalah teknikal.
    Beliau berkata, insinerator itu dibina oleh Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan namun akibat beberapa masalah teknikal, ia terpaksa dihentikan.
    "Kementerian itu sudah buka tender kepada syarikat yang mampu meneruskan operasinya," katanya ketika menjawab soalan lisan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).
    Menurutnya, masalah itu cuba diselesaikan segera bagi mengatasi masalah sampah dan mengekalkan kebersihan di sana sebagai tempat pelancongan.
    "Kita sedar proses menguruskan sampah di Langkawi amat penting dan berharap insinerator itu dapat beroperasi semula secepat mungkin," katanya.
    Menurutnya, dua unit insinerator itu dibina para 18 Mac 2008 dan mula beroperasi pada 22 Mei 2012. Ketika beroperasi, ia sudah membakar 30,000 metrik tan sampah.
    "Insinerator itu berupaya membakar 100 metrik tan sisa buangan sehari dan mampu menjana tenaga sehingga satu megawatt," katanya.
    Oleh : Nurul Fatihah Sulaini
    Sumber : SInar


    17pelajar
    YAN 17 November - Pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini diminta agar berusaha bersungguh-sungguh dalam usaha memperolehi keputusan yang membanggakan serta mengharumkan nama sekolah dan negeri ini.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pendorong utama kepada kejayaan pelajar dalam pelajaran ialah ibu bapa dan juga guru.
    “Di sinilah letaknya peranan daripada pihak sekolah dan ibu bapa dalam memberikan sokongan dan dorongan dalam usaha memastikan anak-anak dan juga pelajar untuk berjaya dalam pelajaran,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Dengan Pelajar-Pelajar SPM Daerah Yan Sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Yan yang diadakan di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan.
    Menurutnya, setiap pelajar perlu memanfaatkan pembelajaran yang diajar oleh guru-guru dalam usaha membentuk diri menjadi pelajar yang berilmu pengetahuan di samping menjadi pelajar yang baik.
    “Seboleh-bolehnya, kita ingin melihat pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan SPM memperolehi pencapaian yang membanggakan untuk keluarga mereka dan juga pihak sekolah,” jelasnya.
    Beliau memberitahu, amalan yang terbaik untuk berjaya dalam pelajaran ialah berusaha bersungguh-sungguh dan tidak mudah lupa apa yang diajar oleh guru.
    “Amalan seperti ini perlulah diterapkan di hati setiap pelajar untuk berjaya dan diharap mampu menjadi seorang pelajar yang bertanggungjawab dalam menuntut ilmu pengetahuan,” katanya.
    Sumber : UMTK


    16bajet
    ALOR SETAR 16 Nov. - Kerajaan negeri hari ini membentangkan Bajet Kedah 2016 berjumlah RM1 bilion yang menyaksikan corak perbelanjaan yang realistik dan berhemah demi menjamin kesinambungan kemakmuran rakyat.
    Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir memberitahu, bajet berkenaan memfokuskan kepada memperkukuhkan kedudukan kewangan negeri, penambahbaikan infrastruktur asas dan prasarana awam, pembangunan modal insan berkualiti tinggi, pembasmian kemiskinan rakyat dan memperkukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan.
    “Bajet 2016 memperuntukan anggaran sebanyak RM794 juta untuk perbelanjaan mengurus dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM261 juta termasuk RM92 juta untuk projek pembangunan bekalan air.
    “Kerajaan negeri menganggarkan kutipan hasil sebanyak RM721 juta bagi 2016 yang menyaksikan sumbangan terbesar daripada hasil cukai dengan anggaran kutipan RM442 juta iaitu 61 peratus di samping terimaan bukan hasil dijangka sebanyak RM203 juta (28 peratus) dan hasil bukan cukai RM76 juta (11 peratus),” ucapnya ketika membentangkan bajet tersebut pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
    Tambah beliau, walaupun bajet berkenaan menyaksikan anggaran defisit sebanyak RM72 juta namun kerajaan negeri menjangkakan hasil negeri akan meningkat tahun hadapan berikutan beberapa projek antaranya projek perumahan, pembangunan bercampur dan tapak baharu industri yang akan dibangunkan di seluruh negeri.
    Jelas beliau, kerajaan negeri tidak menyediakan peruntukan untuk projek fizikal yang berskala besar sebaliknya menumpukan kepada kerja menaiktaraf dan pemantapan prasarana yang sedia ada.
    “Bagaimanapun bagi melaksanakan projek berskala besar kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada Kerajaan Persekutuan. Kerajaan negeri percaya dengan terjalin hubungan yang baik dengan Kerajaan Persekutuan sumbangan berkenaan akan disalurkan bagi membantu Kedah mencapai Wawasan 2020,” katanya.
    Katanya, dalam usaha menyediakan infrastruktur bagi meningkatkan keselesaan rakyat sebanyak RM46 juta diperuntukkan bagi menaiktaraf laluan negeri, membina dan menaiktaraf bangunan kerajaan termasuk RM25 juta bagi menaiktaraf jalan dan jambatan seluruh negeri.
    Katanya, bagi 2016 kerajaan negeri juga akan meneruskan pembayaran pinjaman bagi pembinaan kampus tetap Kolej Universiti Insaniah (Kuin) di Kuala Ketil sebanyak RM45 juta setahun selain bantuan mengurus sebanyak RM11.5 juta kepada universiti berkenaan.
    “Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM2 juta bagi menyiapkan fasa kedua Maahad Tahfiz Sains Darul Amandi Kulim yang keseluruhan berjumlah RM12 juta dan dijangka siap 2016,” katanya.
    Tambah beliau, Bajet 2016 meneruskan pelbagai program pembangunan sosial yang akan memberi manfaat kepada golongan sosial dengan memperuntukan sebanyak RM19.2 juta yang membabitkan projek basmi kemiskinan, projek kecil kemajuan luar bandar dan projek perumahan rakyat.
    “Kerajaan negeri juga akan meneruskan program Bantuan Sewa Rumah Luar Bandar yang telah memanfaatkan 555 penduduk dan program Khairat Kematian dengan pemberian RM250 bagi setiap yang memohon,” katanya.
    Selain itu, katanya, untuk program meningkatkan pendapatan golongan usahawan sebanyak RM6 juta diperuntukkan, sektor pertanian sebanyak RM10 juta, pengurusan sumber hutan (RM3 juta), pelancongan (RM9 juta) dan bayaran emolumen seluruh penjawat awam negeri (RM249 juta).
    Katanya, kerajaan negeri juga akan memperuntukkan sebanyak RM2.28 juta bagi pembayaran bonus kakitangan penjawat awam negeri sebanyak RM500 pada Di­sember depan.
    Oleh : Jamliah Abdullah
    Sumber : Utusan


    16pelancongan
    YAN 16 November - Kunjungan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) bersama Pegawai Daerah Yan, Encik Mohd Yusri Md Daud ke tapak projek pelancongan di Pantai Murni membuktikan bahawa Kerajaan Negeri Kedah mengambil berat terhadap projek-projek yang akan dilaksanakan di daerah ini.
    Menteri Besar berkata, sebanyak RM3.56 juta telah diperuntukkan Kerajaan Negeri Kedah dan Kerajaan Persekutuan bagi membangunkan kawasan Pantai Murni bagi menarik perhatian pelancong untuk berkunjung ke situ.
    “Dengan peruntukan berkenaan, ia diharap mampu merancakkan lagi pembangunan di Pantai Murni yang secara tidak langsung berupaya memberi manfaat kepada ekonomi penduduk di sekitar Yan,” ujarnya.
    Daripada jumlah itu, jelasnya, sebanyak RM1.2 juta untuk pembinaan jeti pelancongan dan selebihnya untuk mengubah landskap ‘Waterfront Pantai Murni’.
    Rombongan Kerajaan Negeri Kedah juga sempat melawat bangunan rumah kedai baru di Simpang Tiga Sungai Limau dan sempat berkunjung ke Pekan Nat di hadapan lokasi rumah kedai berkenaan sempena Program Mesra Rakyat (PMR) Peringkat Daerah Yan.
    PMR Peringkat Daerah Yan adalah siri keenam yang diadakan pada tahun ini. Sebelum ini, PMR turut diadakan di Daerah Kulim Bandar Baharu, Baling, Padang Terap, Sungai Petani dan Pendang.
    Program yang diadakan ini adalah untuk mendekatkan rakyat dengan kepimpinan Kerajaan Negeri Kedah yang diterajui oleh Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.
    Sumber : UMTK


    14jps
    ALOR SETAR - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Kedah kini dalam proses mengenalpasti sungai yang rosak di negeri itu untuk dipulihkan bagi mengurangkan risiko banjir.
    Exco Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata kerja pemulihan itu dibuat menerusi peruntukan RM4 juta yang diterima JPS negeri.
    "Kita cuba selesaikan masalah sungai cetek, dan semak samun di tebing sungai, dan kita lihat sungai mana yang perlu diperdalamkan dan dibersihkan untuk pastikan aliran air berjalan baik," katanya dalam sidang media selepas melancarkan Program Kembara SAS (pengasingan sisa di punca) di sini hari ini.
    Menurutnya kawasan sungai yang terjejas akibat banjir di Baling akan dipulihkan semula oleh JPS termasuk membaik pulih titi yang rosak akibat bencana itu yang melanda daerah berkenaan baru-baru ini.
    Mengenai persiapan banjir, Badrol berkata perbincangan bersama Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam telah dibuat bagi memastikan persediaan menghadapi banjir dilakukan lebih awal.
    Badrol berkata, beliau telah mengarahkan setiap Pihak Berkuasa Tempatan meletakkan isu banjir sebagai keutamaan perbincangan.
    "Ini supaya semua agensi dapat mencapai kata sepakat untuk pastikan masalah banjir dapat diatasi dan buat masa ini kita selesaikan masalah kecil dahulu melalui peruntukan sedia ada," katanya.
    Sumber : Sinar


    12g
    ALOR SETAR 11 November - Gading Kencana Sdn. Bhd. (GKSB), merancang untuk melaksanakan projek penjanaan tenaga solar di premis rumah ibadat dan pusat komuniti di kawasan utara tanah air.
    Pengarah Urusannya, Datuk Ir. Guntor Tobeng Mansor Tobeng berkata, kini pihaknya sedang menjalankan sesi penerangan, perbincangan tentang prospek projek serta kaedah perlaksanaan de­ngan jabatan berkaitan dan pemilik premis.
    “Menerusi projek berkenaan rumah ibadat dan pusat komuniti berkenaan akan memperoleh pendapatan tetap sekitar RM1,500 setiap bulan menerusi penjanaan tenaga solar selama 21 tahun dan ini merupakan satu faedah yang sangat besar kepada komuniti setempat," katanya di sini hari ini.
    Menurutnya, projek berkenaan diharap dapat dilaksanakan pada tahun depan dengan sasaran seba­nyak 100 buah rumah ibadat dan pusat komuniti.
    Guntor Tobeng memberitahu, projek tersebut telah berjaya dilaksanakan syarikat GKSB di kawasan Parlimen Johor Bahru yang dibayai oleh Ahli Parlimen kawasan itu, Tan Sri Shahrir Abdul Samad.
    “Di kawasan Parlimen Johor Bahru, Gading Kencana melaksanakan projek ini bagi dua masjid dan enam surau pada fasa pertama yang telah beroperasi sejak awal tahun ini.
    “Masjid berke­naan adalah Masjid Jamek Bandar Baru Uda, Masjid Kampung Datuk Sulaiman Menteri sementara surau ialah Taman Sri Tebrau, Bulatan Kampung Melayu, Al-Jauhar Taman Sentosa, Haji Umar Ahmad, An-Nur Larkin Perdana dan Padi Malinja Bandar Baru Uda,” jelasnya.
    Tambah beliau, pada fasa kedua yang ditandatangani semalam antara GKSB dan Ahli Parlimen Johor Bahru itu, ia melibatkan dua masjid dan lapan surau dengan kos pemasangan peralatan penjanaan tenaga solar itu ditanggung Sharir.
    “Dua masjid ber­kenaan ialah Ar-Raudah Kampung Datuk Onn dan Masjid Jamek Kampung Kurnia sementara surau ialah Al-Falah Bandar Baru Uda, An-Nur Taman Stulang Laut, Haji Darussalam Stulang Baru, Taman Suria, Kampung Setanggi, Pangsapuri Ledang Bandar Baru Uda, Skudai Kanan dan Nurul Falah Sri Stulang,” katanya.
    Guntor Tobeng berkata, pemasangan sistem berkenaan hanya mengambil masa antara satu hingga dua hari bagi setiap premis yang kemudian akan akan dilakukan pengujian dan pentauliahan serta pemasangan meter tenaga boleh diperbahurui oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB).
    “Pemasangan sistem itu juga dapat mewujudkan kesedaran dalam kalangan orang ramai tentang pengunaan tenaga boleh diperbaharu dalam menampung pengunaan te­na­ga elektrik," jelasnya.
    Oleh : Safina Ramli
    Sumber : Utusan


    8mukhriz
    ALOR SETAR 8 November - Menteri Besar, Dato' Seri Mukhriz Mahathir sedia mengundurkan diri daripada jawatan­nya itu jika tidak lagi mendapat sokongan rakyat negeri ini.
    Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri itu juga mene­gaskan, beliau akan memberi laluan kepada mana-mana pemimpin UMNO untuk memegang jawatan tersebut selagi pengganti berkenaan mampu meyakinkan rakyat di negeri ini untuk meraih kemenangan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
    “Ini bukan soal letak jawatan, apa yang saya maksudkan, jika rakyat Kedah tidak sokong saya sebagai Menteri Besar, maka saya bersedia undur diri dan serah pada mana-mana pemimpin yang dirasakan lebih popular dan mampu untuk meyakinkan rakyat menjelang PRU-14.
    “Bagaimanapun, jika dirasakan rakyat masih bersama saya, saya mohon semua pihak beri kerjasama dalam pentadbiran saya untuk pastikan kita tetap mentadbir negeri ini selepas PRU-14 dan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas majlis Istiadat Penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara peringkat negeri yang diadakan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kedah di sini hari ini.
    Yang hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim dan Ketua Polis Kedah, Datuk Zamri Yahya.
    Mukhriz me­ngulas tentang status baharunya di Instagram hari ini yang antaranya menyatakan kesediaan beliau untuk mengundurkan diri jika rakyat sudah tidak menyokongnya lagi.
    Tambah Mukhriz, beliau turut memohon kerjasama semua pihak termasuk mereka dalam parti yang berbeza pendapat dengannya untuk merapatkan jurang demi kejayaan pentadbiran di Kedah.
    “Saya mohon semua pihak bersama dengan saya, semalam Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi) juga kata benda yang sama.
    “Kita nak rapatkan saf dan jurang yang sedia ada supaya apa sekali pun yang dilakukan kerajaan di peringkat kerajaan negeri dan pusat mendapat sokongan semua pihak termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen,” ujarnya.
    Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah menegaskan UMNO masih kukuh di negeri itu walaupun isu pertukaran Menteri Besar dibangkitkan semula.
    Katanya, sekalipun berlaku pertukaran Menteri Besar atau apa sahaja jawatan dalam kerajaan di peringkat negeri atau Persekutuan, ia merupakan amalan biasa sejak zaman Tunku Abdul Rahman menjadi Perdana Menteri.
    Katanya, dalam hal ini, rakyat perlu memberi keyakinan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung keputusan yang dibuat atas faktor kuasa prerogatif yang dimiliki.
    “Pertukaran Menteri Besar Kedah sudah berlaku beberapa kali dan ini terpulang kepada Perdana Menteri, kalau beliau berpandangan perlu buat perubahan, sebagai ahli politik, kita kena terima dan begitu juga saya,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Program Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Deepavali di Pasar Bayan Baru dan Little India, Pulau Pinang, hari ini.

    Oleh : Jamliah Abdullah
    Sumber : Utusan


    5BERI
    SUNGAI PETANI 5 November – Hanya tinggal kurang dari enam bulan tempoh lanjutan diberikan kepada kontraktor bagi menyiapkan pembinaan 300 unit rumah projek perumahan nelayan moden Tanjung Dawai.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, perkara itu sudah dibincangkan dan dipersetujui di mana perbincangan dengan kontraktor juga dilakukan untuk menyiapkannya dalam tempoh lanjutan berkenaan.
    Menurutnya, pemantauan dilakukan terhadap projek itu setelah berlaku kelewatan dari tarikh sebenar selain pemantauan dari Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sendiri serta laporan kepada Kerajaan Persekutuan juga dihantar mengenai perkembangannya dari semasa ke semasa.
    “Kita ambil perhatian tentang janji Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kerana kita nak menepati janji yang dibuat kepada masyarakat nelayan di kawasan ini berhubung pembinaan rumah nelayan,” ujarnya ketika melakukan lawatan ke tapak projek berkenaan.
    Beliau memberitahu, walaupun berlaku sedikit kelewatan namun, beliau berharap kesemua 300 unit rumah nelayan moden itu dapat disiapkan dalam tempoh lanjutan diberikan iaitu sehingga Mac 2016.
    Tambahnya, antara punca kelewatan yang dikenal pasti ialah berhubung kerja tanah selain rawatan dan kajian tanah yang diperlukan memandangkan tapak asal projek merupakan paya bakau yang tanahnya sering mendap.
    Sebelum ini, projek berkenaan yang dicetuskan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak diumumkan merupakan hadiah kepada golongan nelayan sepertimana yang dijanjikan semasa kunjungan Perdana Menteri ke Tanjung Dawai dua tahun lalu.
    Difahamkan, projek berkeluasan 25 ekar bagi 300 unit rumah berkembar satu tingkat (semi D) di kawasan paya bakau itu melibatkan kos RM48 juta. Selain rumah, beberapa kemudahan lain turut dibina termasuk surau, dewan, gelanggang futsal dan taman permainan yang bakal dijadikan projek perumahan nelayan moden terbaik di Malaysia.
    Sumber : UMTK


    3peruntukan
    ALOR SETAR 3 November – Kerajaan Negeri Kedah menyambut baik peruntukan sebanyak RM320 juta yang disalurkan kepada projek Bandaraya Getah pada Bajet 2016 yang diumumkan oleh Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, projek Bandaraya Getah di Padang Terap dijangka menerima pelaburan antara RM5 bilion dan RM10 bilion pada peringkat awal pelaksanaan.
    “Projek Bandaraya Getah akan dilaksanakan secara berfasa dan jika kita memperoleh antara RM5 bilion dan RM10 bilion nilai pelaburan pada peringkat awal, ia adalah satu pencapaian baik,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan Mesyuarat Jawatankuasa Bersama Penyelarasan Industri di Wisma Darul Aman, di sini.
    Menurutnya, peringkat permulaan projek berkenaan akan melibatkan kerja-kerja pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas seperti jalan raya, bekalan elektrik dan air akan bermula awal tahun depan.
    Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak ketika membentangkan Bajet 2016 mengumunkan peruntukan sebanyak RM320 juta bagi memulakan projek berkenaan seperti pengambilan tanah dan penyediaan infrastruktur asas.
    Selain itu, seluruh rakyat kedah turut berterima kasih kepada Kerajaan Persekutuan kerana meluluskan peruntukan untuk membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara di Sik dan sebuah hospital baru di daerah Pendang, di negeri ini
    Nurul Shazeera Md Desa, 34, seorang peniaga kecil ketika ditemui di premis perniagaannya berkata, beliau amat bersyukur dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai buah tangan berupa sebuah hospital tersebut.
    “Selama ini kami terpaksa ke Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk melahirkan anak, namun selepas siap Hospital Pendang nanti, kami berharap tidak perlu lagi ke Alor Setar untuk bersalin.
    Pada saat Perdana Menteri membentangkan bajet berkenaan , saya hampir menitiskan air mata tanda bersyukur yang tidak terhingga kerana suara dan rintihan kami didengari oleh kerajaan. Kalau tidak pada kerajaan, pada siapa lagi tempat kami hendak mengadu,” katanya sebak ketika ditemui.
    Selain itu, dia yang mempunyai tiga orang anak yang bersekolah turut menyambut baik pengumuman kerajaan yang meneruskan pemberian RM100 kepada setiap orang murid pada sesi persekolahan tahun depan.
    “Sebagai peniaga kecil yang berpendapatan tidak menentu, saya akui kadangkala terpaksa berhutang untuk membeli beberapa keperluan asas untuk anak-anak sebelum bermulanya sesi persekolahan setiap tahun.
    Namun sejak diperkenalkan bantuan tersebut, saya boleh menarik nafas lega kerana segala keperluan dan kemahuan anak-anak dapat dipenuhi dan sekaligus memberi motivasi dan semangat untuk mereka lebih gigih dalam pembelajaran di sekolah,” tambahnya.
    Md Kassim Ibrahim, 64, seorang pesara sektor awam pula berkata. dia amat menghargai hasrat kerajaan membina sebuah Maktab Rendah Sains Mara di daerah ini pada tahun hadapan.

    Dengan wujudnya pusat-pusat pengajian di Sik, saya berharap ianya akan menjadi pemacu pertumbuhan ekonomi di daerah ini dan secara tidak langsung dapat membantu penduduk di daerah ini untuk keluar dari kepompong kemiskinan melalui pelbagai rangsangan ekonomi yang diusahakan oleh kerajaan.
    Sumber : UMTK


    2kerajaan
    ALOR SETAR 2 November – Kerajaan Negeri akan terus memartabatkan penggunaan bahasa Melayu bukan sahaja dalam urusan rasmi malah menjadikannya sebagai bahasa ilmu.
    Keindahan bahasa Melayu dapat dilihat pada zaman Kerajaan Kedah Tua yang menggunakannya dalam persuratan ketika berurusan dengan kuasa besar Eropah pada zaman itu.
    Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK) tidak pernah berhenti membuat kajian di seluruh rantau Asia untuk mengutip sebarang maklumat berkaitan negeri ini. Maklumat itu sebahagiannya ditemui di Acheh, Indonesia, Selatan Thailand dan Perpustakaan British di United Kingdom.
    “Apabila kita mengumpulkan maklumat itu sudah semestinya ia dibukukan dan menunjukkan betapa indahnya bahasa Melayu yang digunakan sebagai bahasa persuratan antara Raja Melayu ketika itu. Saya sendiri pernah terbaca surat daripada Kerajaan Kedah kepada Francis Light di mana menggunakan panggilan Kekanda Datuk yang dihormati ketika itu yang turut dibalas Francis Light dalam suratnya dengan menulis bahasa Melayu,” jelasnya selepas merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2015 Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman.
    Pada majlis itu, Kerajaan Negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, YB. Dato’ Jaya Budiman Dato’ Paduka Haji Mohd Puat Haji Mohd Ali menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) diwakili Ketua Pengarah DBP, Dato’ Awang Sariyan dalam usaha menjalinkan kerjasama memartabatkan bahasa Melayu.
    Mengulas mengenai MoU itu, Menteri Besar memberitahu, Kerajaan Negeri mengalu-alukan kerjasama dengan DBP dalam usaha menjayakan apa juga hasrat Kerajaan mendaulatkan bahasa kebangsaan pada kedudukan dan taraf yang sewajarnya.
    “Misalnya membantu kami melalui kerjasama dalam Program Audit Bahasa Melayu pada peringkat Kerajaan Negeri serta Program Penarafan Bintang Bahasa Kebangsaan yang membabitkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam urusan penggunaannya di papan tanda dan kawasan taman perumahan. Kita juga terbuka menerima teguran daripada DBP demi mengangkat martabat penggunaan bahasa kebangsaan,” ujarnya.
    Turut hadir dalam majlis itu ialah Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan; pegawai-pegawai kerajaan dan ketua-ketua jabatan.
    Sumber : UMTK