26peluang
POKOK SENA 25 Febuari - Sebanyak 9,000 pemilik akaun Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA) yang terlibat dengan caj pelarasan deposit diberi peluang sehingga Mei ini untuk membuat pembayaran.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Datuk Badrul Hisham Hashim berkata, mereka boleh membayar caj pelarasan deposit yang dikenakan itu secara ansuran.
Katanya, kelonggaran yang diberikan kepada semua pemilik akaun berkenaan menunjukkan komitmen SADA dalam membantu rakyat negeri ini.
Advertisement
“Penyelarasan ini dilakukan kerana ada akaun pengguna yang depositnya kosong sebelum Jabatan Bekalan Air dikorporatkan menjadi SADA.
“Jadi, ini bukan untuk membebankan rakyat, sebelum kerajaan hendak buat, kita sudah mengadakan perbincangan dan arahan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) ini akan dilaksanakan secara berperingkat,” katanya.
Advertisement
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Program Jalinan Kasih Sempena Tahun Baharu Cina di Penjara Pokok Sena di sini hari ini.
Sebanyak 18 keluarga terlibat dalam majlis perjumpaan dengan banduan di penjara tersebut.
Yang turut hadir, Pengarah Penjara Pokok Sena, Kushairi Manap dan timbalannya, Faridon Md. Saad.
Pada masa sama, Badrul Hisham menjelaskan, jumlah pemilik akaun yang terlibat dengan pelarasan deposit tersebut adalah sebanyak 1.73 peratus daripada 540,000 akaun SADA keseluruhannya.
“Kadar caj deposit yang dikenakan juga berbeza bergantung kepada kategori premis, deposit untuk rumah kos rendah dan flat tidak melebihi RM100.
“Deposit bagi akaun bekalan air bagi rumah tempat ibadah dan dewan komuniti, institusi kerajaan serta organisasi tanpa untung dikecualikan daripada apa-apa kajian semula pelarasan,” katanya.
Sementara itu, beliau menasihati orang ramai menggunakan air secara berhemat dan tidak melakukan pembaziran ketika cuaca panas melanda negara.
“Ini kerana kita tidak tahu sampai bila keadaan cuaca panas ini akan berterusan.
“Buat masa ini, paras air di Empangan Ahning, Pedu, Muda dan Beris berada dalam keadaan yang selesa,” katanya.
Oleh : Nazmil Nasiruddin
Sumber : Utusan

17keluarga

BALING 17 Febuari – Seramai 1,200 keluarga masyarakat Cina yang terdiri daripada golongan kurang berkemampuan di Parlimen Baling menerima bantuan wang dan buah limau bersempena sambutan Tahun Baharu Cina.

Ahli Parlimen Baling, YB. Dato’ Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, sudah menjadi tradisinya untuk menyalurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan agar  perayaan itu dapat disambut dengan lebih bermakna.

“Dengan tema perayaan tahun ini yang jatuh kepada tahun kambing, marilah sama-sama kita memupuk perpaduan yang lebih baik demi keharmonian negara tercinta,” ujarnya pada Majlis Perpaduan Tahun Baharu Cina anjuran Pejabat Parlimen Baling di Dewan Kenangan Tun Abdul Razak.

Menurutnya, sebagai pemimpin, kebajikan masyarakat tidak boleh diabaikan meskipun berbeza fahaman politik. Malah menjadi dasar Kerajaan yang sentiasa menjaga kebajikan rakyat dan perpaduan amat diutamakan supaya dapat hidup dengan aman dan makmur.

Sumber : UMTK

17rm

ALOR SETAR 17 Febuari – Peruntukan sebanyak RM7 juta diperlukan untuk baik pulih dan menaik taraf enam muzium di Kedah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, permohonan untuk mendapatkan peruntukan itu sudah dihantar kepada Kerajaan Pusat sejak tahun 2014 dan sehingga kini masih menunggu kelulusan.

“Kita berusaha untuk membaik pulih muzium ini kerana hasil laporan diperolehi mendapati, banyak muzium mengalami kerosakan seperti bumbung dan dinding retak serta berlaku kebocoran. Beberapa muzium paling ketara seperti Balai Seni Negeri, Muzium Negeri dan Muzium Padi,” jelasnya.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah menegaskan, proses menyusun semula atur letak bahan pameran dalam muzium juga memerlukan peruntukan yang tinggi bagi mencantikkan bangunan itu.

Sumber : UMTK

17projek

ALOR SETAR 17 Febuari – Laman web interaktif Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) bakal berwajah baharu bertujuan untuk menarik orang ramai untuk mendalami sejarah.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, jalinan kerjasama antara muzium dan Universiti Utara Malaysia (UUM) dalam bidang industri kreatif, multimedia dan komunikasi itu adalah projek perintis di negeri ini.

Menurutnya, langkah berkenaan bukan sahaja mampu mempromosikan muzium tetapi dapat berkongsi kepakaran dan maklumat. Usaha berkenaan dapat mendorong dan menggalakkan perkongsian pintar dalam pengkomersilan produk penyelidikan dan pembangunan serta pemindahan teknologi dan pertukaran bahan ilmiah melalui aktiviti akademik termasuk bukan akademik.

“Ia bakal menyediakan ruang bagi kedua pihak untuk menggarap bahan warisan budaya dan khazanah sejarah untuk digunakan dalam bentuk kajian ilmiah,” ujarnya selepas menandatangani memorandum persefahaman antara UUM dan Lembaga Muzium Negeri Kedah (LMNK) yang diadakan di Muzium Padi.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Muzium Negeri Kedah, Suhaidi Shukri; Timbalan Naib Canselor Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Profesor Madya Dr Abdul Malek Abdul Karim mewakili UUM serta Dekan Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi, Dr Rosli Mohammed.

Sumber : UMTK

15penyumbang

ALOR SETAR 15 Febuari - Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada syarikat yang tampil memberi sumbangan untuk program membina rumah mangsa banjir di Kampung Karangan, Manek Urai, Kelantan.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir berkata, sumbangan yang diberikan bukan hanya dalam bentuk wang tunai malah khidmat nasihat, simen, kayu, sinki, tandas dan peralatan untuk pembinaan.
“Selain itu terima kasih juga kepada tenaga kerja yang terlibat memberikan bantuan untuk pembinaan tersebut.

“Tiada masalah yang berlaku kerana begitu ramai datang membantu dan saya rasa senang hati kerana Kedah antara negeri yang cepat bertindak untuk memulakan kerja pembinaan rumah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri majlis penghargaan kepada para penyumbang bantuan untuk projek rumah sementara berkenaan di sini hari ini.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan sijil penghargaan kepada 18 syarikat yang tersenarai menyumbangkan bantuan bernilai hampir RM2 juta untuk program tersebut.

Antaranya, Perbadanan Kemajuan Negeri Kedah (PKNK); Syarikat Air Darul Aman Sdn. Bhd. (SADA); Kulim Hi-Tech Park Corporation (KPTC); Bina Darulaman Berhad (BDB); Belati Wangsa (M) Sdn. Bhd; Yayasan Muhibbah Tan Sri Feng Ah Seng dan TH3 Holdings Sdn. Bhd.

Dalam pada itu, Mukhriz berkata, 18 daripada 53 unit rumah yang disasarkan untuk dibina hampir siap dalam masa terdekat ini.

Beliau menambah, tapak rumah telah disediakan untuk unit rumah yang selebihnya dan hanya menunggu masa untuk memulakan pembinaan.
Advertisement

“Saya ambil kesempatan hari ini untuk raikan semua peyumbang dan ucapkan terima kasih bukan hanya bagi pihak kerajaan negeri Kedah tetapi juga bagi pihak mangsa bencana yang menerima rumah itu,” katanya.

Oleh : Nazmil Nasiruddin

Sumber : Utusan

15jom

PENDANG 15 Febuari – Program Jom Bertani dipergiat dengan pelbagai inisiatif baru pada tahun ini bagi memastikan rakyat menerima manfaat termasuk mampu membantu dalam mengurangkan perbelanjaan harian ketika kos sara hidup semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob berkata, usaha meneruskan program berkenaan kini sedang giat dijalankan melalui pelbagai bentuk bimbingan dan inisiatif baru.

Menurutnya, program berkenaan sememangnya perlu diteruskan kerana memberi banyak faedah kepada rakyat selain mampu membantu mengurangkan kos perbelanjaan harian mereka.

“Pada masa kini, negara menghadapi kos sara hidup yang kian meningkat daripada sehari ke sehari dan berkait rapat dengan ekonomi dunia dan cabaran global. Kerajaan sedar beberapa perkembangan terkini ekonomi dunia ini  membawa kesan kurang memberangsangkan kepada ekonomi negara menyebabkan inisiatif baru perlu diusahakan bagi mengurangkan beban rakyat,” jelasnya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Program Jom Bertani Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Kubur Panjang.

Sumber : UMTK

11penoreh

SERDANG 11 Febuari – Penoreh getah di Mukim Sungai Batu bakal mempunyai pendapatan tetap melalui alternative yang akan dibangunkan Kerajaan Negeri di kawasan berkenaan dengan penanaman pisang, nenas dan betik bermula tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi, YB. Norsabrina Mohd Nor berkata, selain memberi sumbangan barangan makanan kepada penoreh untuk meringankan beban mereka, Kerajaan Negeri juga turut mencari alternatif untuk membantu golongan penoreh mendapatkan pendapatan tetap.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu menegaskan, penggunaan inovasi dan teknologi dalam pertanian juga akan digunakan di kawasan itu yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman pisang, nenas dan betik.

“Saya telah berbincang dengan Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dan beliau bersetuju. Kita akan guna teknologi dalam penanaman iaitu agrikultur yang mampu memberi pulangan lumayan kepada penoreh. Kita juga sedang berusaha mengkaji dan membuat produk hiliran getah yang mempunyai nilai tambah yang lebih tinggi berbanding menjual getah asli,” ujarnya selepas menyampaikan sumbangan bantuan barangan keperluan asas kepada penduduk Mukim Sungai Batu.

Menurutnya, peruntukan untuk program penanaman itu akan diperoleh daripada Pihak Berkuasa Pelaksanaan koridor Utara (NCIA) dan masih berada dalam perbincangan. Biji benih, baja dan yang berkaitan dengan rancangan ini akan diperoleh daripada NCIA, selain dana untuk melaksanakannya.

Sumber : UMTK

11penstrukturan

ALOR SETAR 11 Febuari – Penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kedah mampu mengatasi segala isu berkaitan kemudahan itu, terutama di Langkawi yang dijangka meruncing menjelang 2020.

Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Mahdzir Khalid berkata, berdasarkan taklimat yang diberikan Syarikat Air Darul Aman (SADA), keseluruhannya status bekalan air di Kedah dinilai baik dan seimbang, namun peningkatan keperluan berikutan perkembangan semasa terutama di dua lokasi tumpuan industri yang agak pesat iaitu di Langkawi dan Taman Teknologi Tinggi Kulim perlu diambil kira.

“Saya dimaklumkan ada kawasan yang mengalami masalah tekanan air rendah di beberapa daerah seperti di Padang Terap, Pokok Sena dan Kuala Muda. Selain itu, di Langkawi juga saya dimaklumkan keadaannya dijangka meruncing pada masa depan iaitu menjelang 2020 kerana perkembangan pesat dialami sektor pelancongan di pulau itu,” katanya kepada pemberita selepas mendengar taklimat di Pejabat SADA.

Mengenai penstrukturan semula industri perkhidmatan bekalan air di Kedah, beliau menjelaskan, sehingga kini di peringkat perbincangan dengan Kerajaan Negeri, namun kementerian yakin Kedah tidak berdepan masalah untuk menyertai enam negeri lain yang sudah memuktamadkan rundingan berkenaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif SADA, Dato’ Adzmi Din dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Dato’ Harjeet Singh.

Sumber : UMTK

11maik

ALOR SETAR 11 Febuari – Hospital Daerah Baling menerima sumbangan dua mesin hemodialisis bagi membantu merawat pesakit buah pinggang di daerah itu.Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, kedua-dua mesin yang bernilai lebih RM80,000 itu disumbangkan oleh Majlis Agama Islam Negeri Kedah (MAIK).

Menurutnya, melalui sumbangan itu, Unit Hemodialisis Hospital Daerah Baling kini mempunyai 15 mesin hemodialisis berbanding 13 mesin sebelum ini.

“Berdasarkan rekod, terdapat seramai 42 pesakit yang mendapat rawatan hemodialisis di Hospital Daerah Baling. Kini, dengan tambahan dua mesin baharu ini, secara tidak langsung ia memberi peluang kepada lebih ramai pesakit untuk mendapat rawatan tersebut pada masa hadapan,” jelasnya.

Sumber : UMTK

9projek

ALOR SETAR 8 Febuari - Sebuah projek kediaman dan komersial bernilai RM160 juta akan dibangunkan di atas tanah berkeluasan 7,284 meter persegi milik Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) di Jalan Kolam Air di sini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, projek tersebut yang terletak di lokasi strategik dan bernilai tinggi itu akan melibatkan kerjasama strategik antara YINK dan Permodalan Kedah Berhad (PKB).

“Projek pembangunan bercampur ini terdiri daripada dua blok kondominium dengan 455 unit kediaman, sebuah bangunan lima tingkat dengan pusat dakwah, dewan persidangan, bilik kuliah, tempat letak kereta dan pejabat.

“Selain itu, projek ini turut membangunkan sejumlah 41 unit lot perniagaan dan 900 petak tempat letak kereta,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pecah ta­nah projek tersebut di sini hari ini.

Mukhriz berkata, langkah proaktif YINK membangunkan tanah di kawasan perniagaan dan pentadbiran serta bersebelahan dengan UTC itu merupakan langkah tepat untuk menjayakan Pelan Tranformasi Kedah 2013-2018.

“Lebih menarik, pembangunan tanah ini melibatkan pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) dua syarikat milik kerajaan (GLC) Kedah.

“Sehubungan itu, saya suka mengajak semua GLC agar dapat menjalinkan kerjasama strategik ini bagi membangunkan Kedah, di sinilah peranan sebenar GLC supaya setiap inisiatif yang telah dimuktamadkan di dalam Pelan Tranformasi Kedah 2013-2018 dapat direalisasikan,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau ber­kata, tempoh masa selama dua tahun disasarkan untuk me­nyiapkan projek tersebut.

“Saya mengharapkan projek ini dapat dilaksanakan mengikut jadual kerana kelewatannya akan memberi kesan yang tidak baik kepada setiap pengguna di sekitarnya.
“Perlu juga diingatkan bahawa kejayaan sesuatu projek pembangunan bukan sahaja diukur dari aspek kecekapan pembinaan tetapi juga terhadap aspek lestari yang menitikberatkan kesejahte­raan persekitaran,” katanya.

Oleh : Nazmil Nasiruddin

Sumber : Utusan

5bot

LANGKAWI 5 Febuari – Kesukaran untuk membawa jenazah dari pulau ini ke tanah besar dan sebaliknya tidak lagi timbul apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuah, YB. Nor Saidi Nanyan melancarkan bot khidmat khas.

YB. Nor Saidi Nanyan berkatak, bot berharga RM62,000 yang diurus dan diselenggarakan oleh Pusat Khidmat ADUN Kuah itu membolehkan urusan membawa jenazah menjadi lebih mudah, lancar dan cepat. Dengan adanya kemudahan bot itu, waris yang menguruskan penghantaran jenazah tidak perlu lagi menggunakan perkhidmatan feri penumpang yang mengambil masa lama.

“Alhamdulillah dengan peruntukan dari Kementerian Kewangan, kita dapat membeli bot ini dan dapat menyelesaikan sebahagian masalah penduduk untuk membawa jenazah apabila berlaku kematian. Sebelum ini penduduk merungut kerana terpaksa menunggu masa yang lama untuk membawa jenazah selain kadar sewa tinggi antara RM800 dan RM1,000 yang dikenakan oleh pengusaha bot persendirian,” ujarnya.

Menurutnya, beliau memberi kepercayaan kepada Ahli Jawatankuasa Kariah Masjid Aishah Kampung Sungai Menghulu bagi urusan penjagaan dan penyelenggaraan bot itu. Jawatankuasa masjid itu telah menawarkan perkhidmatan penyelenggaraan bot secara percuma, manakala bagi urusan membawa jenazah dan kes kecemasan akan dikenakan caj yang minimum.

“Ini kerana penduduk di Pulau Tuba dan Dayang Bunting berjumlah lebih 4,000 orang turut memerlukan 
khidmat bot khas ini bagi kes kecemasan yang sering dihadapi mereka tanpa mengira waktu. Bot yang diperbuat daripada gentian kaca dan dilengkapi enjin Yamaha 200 kuasa kuda itu hanya mengambil masa kira-kira setengah jam dari Langkawi ke Kuala Perlis,” jelasnya.

Sumber : UMTK

5perketat

ALOR SETAR 5 Febuari – Kerajaan Negeri menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperketatkan proses saringan penceramah asing, terutama dari negara yang mempunyai kaitan dengan pergerakan ekstremis atau militan, lebih-lebih yang cenderung dengan pergerakan militant Negara Islam (IS).

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, saringan penceramah dari negara luar yang dijemput sama ada secara terbuka atau tertutup, turut disaran dilakukan di semua institusi pendidikan termasuk institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta.

“Saya yakin KDN mempunyai senarai pencemarah atau ustaz yang cenderung kepada ekstremis sebelum mereka menyebarkannya di negara ini,” ujarnya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan berjumlah RM360,000 kepada Sekolah Agama Rakyat (SAR) di Kedah di Sekolah Rendah Islam Alor Setar.

Menurutnya, ia bagi mengelak mereka menyampaikan ajaran berunsurkan ekstremis kepada golongan muda yang belum matang dan mudah terpengaruh jika ditawarkan dengan ganjaran syurga tanpa perlu bersusah payah.

Sumber : UMTK

5gua

ALOR SETAR 5 Febuari – Gua Gunung Keriang akan disenaraikan sebagai salah satu lokasi pelancongan menarik dalam kalendar Tahun Melawat Kedah 2016.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Hal Ehwal Masyarakat India dan Siam, Sumber Tenaga Manusia dan Pelancongan, YB. Dato’ Mohd Rawi  Abdul Hamid berkata, Kerajaan Negeri kini giat membangunkan semula kawasan itu.

“Sebagai permulaan, kita akan melantik kontraktor yang menyelenggara lif baharu dibina berdekatan pintu masuk ke gua berkenaan. Lif setinggi bangunan tujuh tingkat itu dibina sebagai tarikan orang ramai berkunjung ke gua itu,” katanya kepada pemberita pada Program Jelajah Gua Gunung Keriang.

Menurutnya, lif tersebut telah siap sepenuhnya, Cuma Kerajaan Negeri akan menilai kontraktor yang mempunyai pengalaman untuk memulakan operasi lif itu dalam masa terdekat.

“Keunikan gua itu ialah terdapat batu Kristal yang mempunyai nilai yang tinggi dan masih boleh dilihat orang ramai sehingga kini. Kita sedang mengambil contoh negara China di mana mereka menggunakan pencahayaan yang baik untuk mencantikkan batu Kristal yang terdapat di dalam gua itu,” jelasnya.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan memperbanyakkan aktiviti di kawasan itu yang menjadi tumpuan orang ramai dalam usaha menjadikan gua Gunung Keriang sebagai salah satu produk pelancongan di Negeri Kedah.

Sumber : UMTK

5kebajikan

MERBOK 4 Febuari – Masyarakat tidak boleh sesekali terlepas pandang terhadap kebajikan kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) kerana mereka juga mempunyai kelebihan masing-masing, bahkan mungkin lebih hebat daripada kanak-kanak yang sempurna sifat.

Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Isteri-Isteri Wakil-Wakil Rakyat Barisan Nasional Negeri Kedah (BIDARA), Tok Puan Norzieta Zakaria berharap agar tiada lagi kekangan minda dalam kalangan ibu bapa mahupun guru-guru dan masyarakat untuk mendidik anak-anak ini supaya mereka dapat meneruskan kehidupan yang lebih baik.

“Golongan ini juga perlu diberi ruang untuk memainkan peranan secara lebih menyeluruh dan saksama agar dapat mencapai potensi maksimum sebagai masyarakat yang mampu menyumbang ke arah pencapaian matlamat Wawasan 2020,” ujarnya sempena Lawatan Kasih Mesra ke Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Merbok.

Pada majlis itu juga, Tok Puan Norzieta Zakaria turut menyampaikan sumbangan kepada 40 warga emas serta ibu tunggal.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai.

Sumber : UMTK