29usahawan

SUNGAI PETANI 29 Mei – Sebanyak 200 penduduk sekitar kawasan ini menyertai Seminar Keusahawanan 2014 yang diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Merbok, di sini.

Pengerusi program, Mohd Zaidi Abdul Manaf berkata, program itu merupakan cara terbaik untuk menarik penduduk tempatan, termasuk golongan belia mendekatkan diri dengan agensi kerajaan.

“Pegawai dari pelbagai agensi hadir dan memberi  penerangan berhubung maklumat terkini kepada peserta untuk menjadi peniaga kecil di kawasan masing-masing, sehingga kini masih banyak peluang perniagaan baru yang masih boleh diceburi oleh golongan itu,” ujarnya.

Menurutnya, program itu mendapat kerjasama pelbagai agensi lain termasuk Perbadanan Usahawan Nasional, Lembaga Minyak Sawit Malaysia, AIA Public Takaful dan Agro Bank.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain ketika berucap dalam majlis penutup program itu memberitahu, asas perniagaan penting untuk mereka yang ingin berniaga walaupun menjual nasi lemak.

“Hasil susah payah, seseorang boleh menjadi peniaga hebat jika kerja yang dilakukan ini dikendalikan dengan baik tanpa mengenal erti jemu dan bosan,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai menegaskan, kerjaya itu tidak dapat lari daripada menghadapi persaingan dan hanya mereka yang ada ketahanan diri sahaja mampu memperoleh rezeki lumayan.

Seorang peserta, Asfarizan Karfiza Abdul Ghani, 36 tahun berkata, banyak perkara baru dapat dipelajari semasa menyertai sesi ceramah di program itu.

“Saya juga gembira kerana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional dapat meluluskan pinjaman hampir RM6,000 bagi membolehkan saya membesarkan perniagaan menjual peralatan kosmetik,” katanya.

Sumber:UMTK
28karnivalMOHD. Shukri Hamad (dua dari kiri) menerima replika cek daripada Syed Unan Mashri Syed Abdullah bagi tajaan akhar Utusan Malaysia sempena Karnival Amal Hari Penyayang di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 28 Mei - Orang ramai di sekitar utara tanah air dijemput untuk memeriahkan Karnival Amal Hari Penyayang 2014 anjuran Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) di pekarangan Stadium Darul Aman dekat sini pada Jumaat dan Sabtu ini.

Pengerusi Karnival Amal Hari Penyayang 2014, Datuk Syed Unan Mashri Syed Abdullah berkata, acara bertujuan untuk mengumpul dana bagi membiayai projek Titian Bistari yang memerlukan perbelanjaan hampir RM1.2 juta setahun.

Katanya, projek Titian Bistari itu yang dimulakan sejak 15 tahun yang lalu adalah merupakan projek tuisyen percuma yang dibiayai sepenuhnya oleh YSB bagi meningkatkan keupayaan murid-murid di kawasan pedalaman di dalam mata pelajaran Matematik, Bahasa Inggeris dan Sains.

"Antara yang istimewa pada karnival ini adalah terdapat acara lelongan amal barangan peribadi Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah seperti jam tangan baginda, potret, meriam, keris dan lain-lain lagi pada Sabtu.
"Orang ramai dijemput hadir beramai-ramai untuk memeriahkan karnival ini yang juga membolehkan mereka beramal," katanya kepada pemberita di pejabat YSB di sini hari ini.

Dalam program tersebut YSB menaja akhbar Utusan Malaysia bernilai RM3,600 dan majlis penyerahan replika cek telah berlangsung dengan diserahkan oleh Syed Unan Mashri sendiri kepada Eksekutif Jualan Utusan Malaysia Cawangan Kedah,Mohd. Shukri Hamad.

Menurut Syed Unan Mashri, bertemakan berhibur sambil menderma, pelbagai aktiviti menarik dijalankan sepanjang karnival tersebut seperti larian bendang, kempen derma darah, bazar kebajikan dan kafe penyayang.

Selain itu katanya, pertandingan seni suara burung, peraduan mewarna kanak-kanak, pameran kerjaya, sukan remaja dan pelbagai aktiviti menarik diadakan sepanjang dua hari karnival ini berlangsung.

"Golongan artis juga dijemput untuk memeriahkan karnival ini dan antara yang akan hadir ialah Tegar, Adira, Jay Jay, kumpulan Forteen dan Lan Kristal.

"Tidak ketinggalan terdapat juga hadiah menarik menanti para pengunjung yang berpeluang menyertai cabutan bertuah yang bernilai sehingga RM20,000," katanya.

Sumber:Utusan
28jambatan

YAN 28 Mei –  Kerajaan Negeri akan mengenal pasti semula status pemilikan jambatan yang menghubungkan tanah besar di Daerah Yan ke Pulau Bunting.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya, YB. Dato’ Tajul Urus Mat Zain, perkara itu perlu bagi membolehkan Kerajaan Negeri dapat memajukan pulau tersebut.

“Sebenarnya jambatan ini ditutup untuk orang ramai dan kita tidak tahu siapa pemiliknya. Secara umumnya, ia bukan dimiliki Kerajaan Persekutuan kerana tiada dalam Jabatan Kerja Raya (JKR).

“Namun kita percaya, urusan pembinaan jambatan ini mungkin dilakukan Kerajaan Negeri terdahulu dengan kerjasama swasta,” katanya kepada pemberita selepas melakukan lawatan kerja ke Pulau Bunting, di sini.

Tambahnya, jambatan yang dibina sejak tahun 2003 itu juga hanya boleh dilalui dengan motosikal kerana berpagar.

“Saya akan melihat semula fail-fail lama kerana saya yakin kerja-kerja pembinaan jambatan itu ada di pihak Kerajaan Negeri.

“Selepas status pemilikan itu diketahui, kita akan minta pihak JKR untuk melakukan pemeriksaan dari segi keselamatan, ketahanan dan sebagainya terhadap jambatan itu sebelum digunakan,” katanya.

Beliau menjelaskan, perkara itu penting bagi memastikan hasrat Kerajaan Negeri untuk menjadikan Pulau Bunting sebagai Pelabuhan Kedah (Kedah Port) tercapai.

“Kerajaan Negeri sebenarnya serius nak mengadakan pelabuhan di Pulau Bunting. Kalau dilihat dari segi infrastruktur, kita sudah ada jambatan dan jalan yang menghubung tanah besar ke pulau ini.

“Pada masa sama, kita pun tahu Pelabuhan Pulau Pinang (Penang Port) juga sudah padat dan melimpah. Jadi kita boleh bina pelabuhan baru sebagai alternatif,” ujarnya.

Katanya, beliau juga akan mengadakan perbincangan lebih serius dengan pihak berkaitan mengenai perkara itu.

“Sudah tiba masanya untuk kita bina kawasan pelabuhan di Pulau Bunting. Tambahan pula, baru-baru ini Syarikat Merapoh Resources Corporation Sdn Bhd telah memeterai perjanjian perkongsian dengan Kerajaan Negeri bagi pembinaan projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY),” ujarnya.

Mengulas mengenai cadangan penduduk setempat yang mahu Pulau Bunting dijadikan sebagai kawasan pelancongan, katanya, banyak lagi kawasan lain yang boleh dijadikan untuk tujuan pelancongan.

“Sebenarnya banyak lagi kawasan yang ada potensi untuk dijadikan sebagai kawasan pelancongan. Misalnya Pulau Songsong dan Pulau Telur,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan pembinaan sebuah pelabuhan di Pulau Bunting.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pembinaan pelabuhan itu diyakini dapat membantu mengembangkan industri automotif di negeri ini.

Beliau berkata, melalui pelabuhan itu, Kedah tidak perlu terlalu bergantung kepada Pelabuhan Pulau Pinang yang semakin hari semakin sesak.

Sumber:UMTK
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
27usmSERAMAI 160 orang peserta dari Universiti Sains Malaysia (USM) dan Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd. bergambar sebelum menanam semula sejumlah 500 anak pokok spesies meranti sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa di Sik, Kedah, baru-baru ini.

SIK 27 Mei - Sempena sambutan Hari Hutan Antarabangsa, lebih 40 mahasiswa serta pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM) bersama kakitangan Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd. berganding bahu menanam 500 anak pokok spesies meranti di Hutan Simpan Bukit Enggang di sini baru-baru ini.

Menurut Pengarah Jaringan Komuniti, Bahagian Jaringan Industri dan Masyarakat USM, Syed Yusof Syed Kechik, program tersebut bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memelihara khazanah alam.

"Kami teruja dapat menyertai program sebegini. Apatah lagi aktiviti sebegini selari dengan hasrat kami untuk mentransformasikan pengajian tinggi untuk kelestarian hari esok.

"Kesemua 40 mahasiswa dan pensyarah ini datangnya daripada Kampus Kejuruteraan USM Nibong Tebal, Pulau Pinang. Selain menyumbang kepada pemeliharaan alam, program ini juga dilihat mampu mengukuhkan hubungan antara warga kampus dengan industri luar," katanya ketika berucap merasmikan program berkenaan.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Pembangunan Hutan Kedah, Nor Azirim Ahmad dan Pengarah Urusan Sumirubber Industries Malaysia Sdn. Bhd, Yoshiaki Miyamoto.

Sumber: Utusan
22wargaemas

NERANG 22 Mei – Penderitaan yang dilalui oleh seorang wanita warga emas, Meliah Md Diah, 100 tahun yang kini menetap di Kampung Bukit Nambua, Mukim Belimbing Kanan, di sini mendapat perhatian apabila menerima kunjungan Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

Dalam lawatan itu, Menteri Besar turut menyampaikan kunci rumah baru kepada Meliah di samping barangan keperluan harian, wang tunai dan kad pengenalan sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Padang Terap.

Kepayahan yang dilalui oleh Meliah dalam menjaga anak lelaki orang kurang upaya (OKU), Abdul Rahman Saud, 62 tahun sebelum ini turut mendapat perhatian Ahli Parlimen Padang Terap, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid yang bertindak membina rumah baru bernilai RM20,000 dengan bantuan pihak Pejabat Daerah Padang Terap.

Sementara itu, Pegawai Daerah Padang Terap, Abdul Rahman Zainol berkata, kerja pembinaan rumah itu bermula pada awal April 2014 dan mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk siap sepenuhnya.

Katanya, rumah berkeluasan 450 kaki persegi itu mempunyai satu ruang terbuka dan satu bilik air bagi memudahkan Meliah bergerak dan menguruskan anaknya.
“Kami harap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan beban Meliah sekeluarga untuk memulakan kehidupan baru yang lebih selesa, sekaligus menjamin keselamatan mereka kerana tidak perlu naik turun tangga seperti rumah sebelum ini,” ujarnya.

Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Pembasmian Kemiskinan, YB. Datuk Mohd Tajudin Abdullah; Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga serta Pembangunan Insan, YB. Badrol Hisham Hashim dan Ahli Parlimen Padang Terap, YB. Dato’ Seri Mahawangsa Dato’ Seri DiRaja Mahdzir Khalid.

Sumber: UMTK
22tasik

KUALA NERANG 22 Mei – Kerajaan Negeri akan mewujudkan Pelan Induk Pembangunan Tasik Pedu sebagai usaha menjadikan tasik itu sebagai lokasi eko-pelancongan terbaharu di Kedah.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, menerusi pelan induk itu, Tasik Pedu mampu bertukar wajah sebagai lokasi eko-pelancongan dengan membabitkan pembangunan terancang dan menyeluruh.

“Dengan adanya pelan itu, sebarang jenis pembangunan pelancongan yang bakal dibuat oleh mana-mana pihak termasuk syarikat swasta di sekitar Tasik Pedu, dapat dijalankan secara teratur dan bukannya secara tergesa-gesa.

“Daripada kita gelojoh kemudian membuat keputusan yang tidak mengoptimumkan potensi tempat itu, lebih elok kita buat pelan induk dahulu sebelum membenarkan mana-mana pihak membangunkannya,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Bersama Majlis Daerah Padang Terap Sempena Program Mesra Rakyat Peringkat Daerah Padang Terap, di sini.

Tasik Pedu yang terletak kira-kira 80 kilometer dari Bandaraya Alor Setar disifatkan unik kerana mempunyai kira-kira 50 spesis pokok yang tidak ada di hutan lain, selain menjadi kawasan pengumpulan haiwan liar.

Menteri Besar berkata, sehingga kini sudah banyak syarikat menunjukkan minat untuk membangunkan Tasik Pedu dan pihak berkenaan hanya menunggu lampu hijau daripada Kerajaan Negeri.

“Kerajaan Negeri mahu memastikan pembangunan dijalankan tidak menjejaskan keindahan alam sekitar,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, katanya, Kerajaan Negeri akan mempertimbangkan cadangan mewujudkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) di Padang Terap bagi membantu penduduk meningkatkan pendapatan.

“Setakat ini, kita tak ada perancangan ke arah itu sebab sudah ada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) di kawasan ini. Namun, jika ia mampu meningkatkan pendapatan masyarakat kampung, kita boleh pertimbangkan,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Kerajaan Negeri akan menyambung semula inisiatif bagi menyelesaikan masalah 890 petani yang terjejas akibat masalah pertindihan tanah dengan syarikat swasta, Tradewinds Malaysia Berhad.

Tambahnya, kata sepakat antara Tradewinds dan Kerajaan Negeri dicapai lima tahun lalu bagi menyelesaikan masalah itu, tetapi terbantut selepas pertukaran Kerajaan Negeri pada tahun 2008.

“Kita akan mencari jalan semula bagi menyelesaikan masalah itu serta memastikan situasi menang-menang antara petani dan Tradewinds. Kita akan teliti semua cadangan termasuk menggantikan tanah mereka di kawasan lain,” ujarnya.

Sumber:UMTK
22rubber

KUALA NERANG 22 Mei – Kerajaan Negeri telah mengenal pasti tanah seluas lebih 400 hektar di Bukit Ketapang, di sini untuk dibangunkan dengan projek ‘Rubber City’.

Menurut Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir, ketika ini pihaknya merasakan kawasan tanah kosong itu merupakan tapak paling sesuai untuk dilaksanakan projek itu kerana ia merupakan kawasan rata dan berhampiran dengan populasi.

“Perbincangan sedang dijalankan dengan syarikat Tradewinds untuk mengusahakan projek itu. Saya rasa Kerajaan Persekutuan akan membantu dalam pembinaan infrastruktur seperti jalan serta bekalan air dan api,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Kenduri Rakyat di Kampung Sungai Mani, di sini.

Beliau berkata, banyak pelabur dalam dan luar negara berminat dengan projek tersebut. Selain kawasan ladang getah, ‘Rubber City’ itu juga akan mempunyai institusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan industri getah.

Katanya, usaha Kerajaan Negeri itu menjadi tarikan kepada syarikat pengeluar kerana mereka boleh mengguna pakai inovasi terbaru daripada institusi penyelidikan dan pembangunan itu.

“Antara syarikat yang minat adalah dalam pengeluaran tayar. Banyak inovasi baharu dilakukan dalam pengeluaran tayar. Banyak juga hak intelek yang dikeluarkan institusi penyelidikan di Malaysia berkaitan bahan getah yang boleh guna untuk pengeluaran tayar,” ujarnya.

Beliau yakin projek ‘Rubber City’ akan menerima pelaburan dalam masa dua atau tiga tahun ini.

Dalam majlis itu, Menteri Besar turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM350,000 bagi pembinaan gabion (batu dalam sangkar) sepanjang 200 meter di Kampung Sungai Mani.

Sumber:UMTK
OPAT RATTANACHOT
19port
Tajul Urus Md. Zain (tiga dari kiri) dan Samsudin Bakar (dua dari kiri) mendengar penerangan berhubung projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan Pulau Bunting di Yan, Kedah, semalam.

JERAI 19 Mei - Kerajaan negeri bercadang untuk membangunkan sebuah pelabuhan baharu di Pulau Bunting, Yan, di sini sebagai alternatif kepada pelabuhan sedia ada di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Md.Zain berkata, hasrat untuk membina pelabuhan berkenaan sememangnya telah lama tetapi tidak dapat direalisasikan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan kini telah mengambil langkah serius bagi menjayakan projek yang dikenali sebagai Kedah Port itu.

“Kerajaan negeri serius ke arah usaha membina pelabuhan. Bagi tujuan itu, satu perbincangan akan dilakukan dengan Kementerian Pengangkutan dalam minggu ini.

“Kita mendapati Pulau Bunting sesuai untuk dijadikan pelabuhan baharu bagi mengatasi masalah kesesakan di pelabuhan Pulau Pinang,’’ katanya ketika meninjau projek pembinaan jalan baharu menghubungkan Lebuh Raya Utara-Selatan dengan Pulau Bunting di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengarah Jabatan Kerja Raya negeri, Samsudin Bakar.

Tajul Urus memberitahu, Pulau Bunting dianggap lokasi sesuai ekoran telah mempunyai sebuah jambatan dan projek pembinaan jalan baharu dimulakan tidak lama lagi.

“Jambatan Pulau Bunting telah dibina pada tahun 2003 oleh pihak swasta, namun tidak dibuka untuk kegunaan umum. Dari segi infrastruktur memang kita sudah ada,’’ katanya.

Beliau berkata, pelabuhan baharu terbabit juga dijangka menampung projek Zon Industri Petroleum Yan (ZIPY) yang dimulakan kerajaan negeri dengan kerjasama sektor swasta tidak lama lagi.

Sumber: Utusan
15kit

Mahadzir Abdul Hamid bersama sebahagian daripada ibu dan bayi yang menerima kit kelahiran anak ketika majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di Pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau, Sik, Kedah, kelmarin.

SIK 16 Mei - Sebanyak 50 wanita di daerah ini menerima sumbangan Insentif Kelahiran Anak (IKA) sempena menyambut kelahiran anak mereka sumbangan kerajaan negeri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid berkata, kerajaan sentiasa memberikan galakan kepada ibu bapa dari segi menambah bilangan anak.

"Anak merupakan anugerah yang tidak ternilai bagi setiap ibu bapa dan perlu dijaga dengan sempurna supaya menjadi seorang insan berguna.

"Kerajaan sentiasa memberi sokongan dengan pemberian insentif khas kepada bayi-bayi yang baru lahir di samping penjagaan yang rapi sejak dari dalam kandungan lagi," kata Mahadzir ketika merasmikan majlis Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di pejabat ADUN Jeneri, Sungai Pau di sini semalam.

Yang turut hadir, pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Sik, Nurulfazliyani Hassan.

Sementara itu Shazrina Zainal, 20, dari Kampung Cemara berkata, pemberian insentif ini menunjukkan kerajaan sentiasa prihatin dan sentiasa bersama-sama dengan rakyat.

"Tidak kira dalam apa keadaan sekalipun, kerajaan sentiasa bersama rakyat terutamanya dalam hal menjaga kebajikan rakyatnya dari seawal bayi dalam kandungan sehingga warga emas dan sebagai­nya," kata Shazrina yang baru melahirkan bayi sulung.

Manakala Ahmad Sharulnizar Abidin, 34, dari Kampung Bandar Hilir pula berkata, dia amat teruja kerana dikurniakan seorang bayi perempuan.

"Amat seronok sekali kerana saya kini telah mempunyai sepasang anak dan amat bersyukur kepada Allah," katanya sambil mengucapkan terima kasih kepada kerajaan yang memberi kit insentif kelahiran anak.

Bantuan IKA yang mengandungi keperluan khas bayi seperti botol susu, selimut dan pakaian itu diedarkan melalui hospital-hospital dan JKM daerah.

Skim tersebut yang dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir pada Mac lalu dijangka memanfaatkan kira-kira 35,000 bayi di seluruh negeri ini.

Sumber: Utusan
15bilion

ALOR SETAR 15 Mei – Kedah memiliki persekitaran mesra pelabur apabila mencatat pertumbuhan pelaburan memberangsangkan sebanyak RM4 bilion dalam sektor pengeluaran bagi tempoh suku pertama tahun 2014.

Pertumbuhan itu secara tidak langsung membantu melonjak kedudukan Kedah dari tangga ketujuh keseluruhan pada tahun lalu, ke kedudukan kedua pada suku pertama tahun ini selepas Sarawak.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, pertumbuhan itu disumbangkan melalui sektor fabrikasi wafer di Taman Teknologi Tinggi Kulim serta farmaseutikal yang menunjukkan peningkatan mendadak sepanjang Januari hingga Mac 2014.

Menurutnya, bagi suku pertama tahun 2014, Sarawak mencatat nilai pelaburan tertinggi dalam sektor pengeluaran dengan rekod RM8.26 bilion, diikuti Kedah (RM4 bilion), Selangor (RM1.9 bilion), Johor (RM1.29 bilion) dan Pulau Pinang (RM831 juta).

“Prestasi baik ini turut membabitkan pelaburan baharu dalam sektor fabrikasi wafer dan farmaseutikal selain pembesaran kilang sedia ada, sekaligus membuktikan Kedah menjadi destinasi pelaburan diminati pelabur asing dan tempatan,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah (EXCO) di Wisma Darul Aman, di sini.

Sumber: UMTK
14pondok
YAN 14 Mei – Kerajaan Negeri berusaha memperkasakan institusi pondok dengan mengambil langkah meletakkan sekolah agama, sekolah pondok dan sekolah tahfiz ke satu tahap yang lebih baik melalui kerjasama Kementerian Pendidikan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, antara langkah yang diambil termasuk mengeluarkan bantuan untuk tenaga pengajar sekolah pondok.

Menurutnya, kerjasama itu juga bagi memastikan semakin ramai lepasan pondok di negeri ini mencipta nama di persada dunia, mengharumkan nama negeri dan negara dengan ilmu agama serta kemahiran yang dimiliki.

“Kita berhasrat melihat pelajar institusi pondok bukan sahaja cemerlang dalam ilmu agama tetapi juga memiliki ilmu akademik dan kemahiran supaya mereka dapat menyumbang kepada pembangunan ummah serta negeri.

“Sayang sekali jika aliran pengajian agama ini dibiarkan tanpa pembelaan, dipinggirkan tanpa usaha untuk memartabatkan kedudukannya sebagai institusi pengajian agama yang penting bagi umat Islam di negeri ini,” katanya ketika menyampaikan ucapan merasmikan Dewan Shahidat Sempena Majlis Ihtifal 73 Tahun di Sekolah Menengah Agama Taufikiah Khairiah Al-Halimiah, Padang Lumat, di sini.

Beliau menjelaskan, ramai lepasan pondok yang boleh diteladani, masing-masing tersohor dan disegani di peringkat dunia antaranya bekas Menteri Luar Thailand, Dr Surin Pitsuwan yang berasal dari pondok serta berjaya melangkah ke Universiti Oxford.

“Sekolah ini lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya pernah melalui peristiwa tragis pada 22 September 1989, apabila berlaku kebakaran di asrama puteri hingga mengorbankan 27 shahidat. Di atas tapak ini terbinanya Dewan Shahidat.

“Ramai tokoh mencurah bakti di sini termasuk bekas pengetua merangkap Ahli Majlis Fatwa Negeri Jawatankuasa Zakat iaitu Yahaya Junid dan seorang ulama yang fasih berbahasa Arab, Urdu dan Inggeris iaitu Azhari Abdul Razak,” katanya.

Sumber: UMTK
14siamHarun Aziz (dua dari kiri) beramah mesra dengan salah seorang warga emas masyarakat Siam sempena lawatannya pada Hari Wesak di Watt Siam Kampung Simpang Empat, Baling, Kedah, kelmarin. -Utusan/Norlia Ramli

BALING 14 Mei - Sempena me­nyambut Hari Wesak, 50 orang yang terdiri daripada masyarakat Siam dari Kampung Watt Siam di sini menerima sumbangan seperti beras dan barangan makanan lain untuk meringankan beban mereka.

Ahli Dewan Undangan Ne­geri (ADUN) Kupang, Harun Aziz berkata, kerajaan sa­ngat mengambil berat terhadap masyarakat Siam di negeri ini dan bantuan yang diberikan hari ini membuktikan masyarakat Siam tidak pernah dipinggirkan.

“Sumbangan ini adalah untuk warga emas, ibu-ibu tunggal dan orang-orang miskin yang daif sempena menyambut perayaan keagamaan masyarakat Siam yang jatuh pada Mei ini.

“Semoga sumbangan ini dapat meringankan bebanan per­belanjaan ketua keluarga untuk menyambut Hari Wesak," kata­nya ketika melawat warga emas di Kampung Watt Siam, Simpang Empat di sini semalam.

Dalam pada itu, Harun juga menyeru supaya masyarakat Siam bersatu padu bagi menjaga keamanan dan keharmonian antara kaum.

“Perpaduan dan keharmonian amat penting untuk menjalinkan ikatan yang baik di antara rakyat, di samping menjaga kestabilan dan keamanan negara," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja dan Kese­la­matan Kampung (JKKK), Tawoon Boonseng, 54, berkata, masyarakat Siam di kawasan itu sentiasa menjaga perhubungan yang baik sesama mereka.

“Kami juga menghormati ma­syarakat lain kerana kita hidup berbilang bangsa dan agama," kata Tawoon.

Sumber: Utusan
14elaun
YAN 14 Mei –  Kerajaan Negeri sedia pertimbangkan cadangan kenaikan elaun pelajar Kedah di Jordan berikutan kenaikan kos sara hidup di negara itu.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, cadangan berkenaan masih dalam pertimbangan dan masih belum ada keputusan muktamad.

“Perjumpaan dengan beberapa kumpulan pelajar termasuk di Madinah, Kaherah dan Iskandariah, mereka dalam keadaan baik sahaja serta tiada masalah besar dibangkitkan.

“Namun, hanya di Kaherah dan Iskandariah saja seperti dilaporkan Pemuda UMNO Kedah, pelajar meminta bantuan kenaikan elaun,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa Ulama dan Umarak di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan, di sini.

Terdahulu, Ketua Pemuda UMNO Kedah, Dato’ Shaiful Hazizy Zainol Abidin mencadangkan supaya bantuan pinjaman Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM8,000 untuk satu semester kerana jumlah itu dilihat mampu sedikit sebanyak menyelesaikan masalah kewangan dan kenaikan harga yuran pengajian.

Menurutnya, Pusat Zakat Negeri Kedah (PZNK) juga diharapkan mengambil langkah sama dan status pinjaman pelajar perlu ditukar kepada biasiswa sekiranya mereka memperoleh keputusan cemerlang.

Menteri Besar berkata, kunjungan beliau ke Kaherah juga untuk merasmikan Asrama Darul Aman 1 yang dinaiktarafkan semula dengan kos RM2.6 juta berikutan bangunan asal sudah uzur.

“Penambahbaikan itu juga menjadikan asrama berkenaan antara asrama yang tercantik dengan prasarana lengkap termasuk kemudahan 86 katil. Kedah mempunyai tiga asrama untuk kediaman pelajar,” ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, perbincangan dengan Presiden Universiti Iskandariah turut diadakan bagi mewujudkan satu program khusus untuk pelajar negeri ini menyambung ijazah lanjutan dalam bidang pengkhususan tertentu.

“Cadangan ini baik tetapi perlu diperhalusi kerana doktor awam sudah ramai, yang kita perlukan doktor pakar dalam bidang perubatan tertentu dan universiti berkenaan menawarkan program khusus bagi memenuhi permintaan.

“Kita juga memohon universiti berkenaan menghantar seorang profesor dalam masa terdekat kerana turut menjalinkan kerjasama dengan Kolej Universiti Insaniah bagi memulakan program serta menggubal silibus bersesuaian,” katanya.

Tambahnya, penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar di Kaherah dan Iskandariah juga turut menunjukkan penurunan dan terpaksa menubuhkan markas bahasa khususnya di Kaherah untuk membantu pelajar di sana supaya fasih dan lebih menguasai dalam bahasa berkenaan.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB. Dato’ Seri Jamil Khir Baharom dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Kedah, Dato’ Noh Dahya.

Sumber: UMTK
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI
12masjidMukhriz Mahathir

JERAI 12 Mei - Bagi menjaga kesucian ibadah dan masjid, Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr.Mahathir menegur sikap segelintir ahli jawatankuasa masjid di negeri ini yang masih membenarkan mimbar menjadi medan menabur fitnah setiap kali berlangsungnya khutbah Jumaat.

Meskipun jumlahnya tidak banyak, beliau berkata, tindakan itu dikhuatiri membawa perbalahan dalam kalangan umat Islam selain mendatangkan rasa tidak selesa kepada mereka yang benar-benar hadir ke masjid untuk beribadat.

Katanya, pernah berlaku insiden jemaah bertindak merampas mikrofon ketika khatib memberi khutbah kerana tidak berpuas hati dengan kandungan yang disampaikan.

"Pernah laporan diterima mengatakan antara intipati khutbah itu mengatakan kerajaan harus ditukar kerana bertindak zalim terhadap rakyat. Kha­tib itu turut mendakwa, contoh kezaliman kerajaan adalah dengan mengenakan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) ke atas rakyat.

"Tentunya dakwaan sebegitu tidak sesuai kerana bagi saya, khutbah seharusnya diisi de­ngan unsur-unsur yang memupuk perpaduan sesama Islam dan bukannya memecah belah," katanya selepas merasmikan Majlis Penutup Multaqa Imam, Guru Takmir dan Ahli Jawatankuasa Masjid Peringkat Negeri Kedah di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom; Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAINK), Datuk Noh Dahya.

Tambah Mukhriz, ketika ini, dilaporkan tidak sampai 10 masjid yang membenarkan khatibnya bertindak demikian di seluruh negeri ini.

"Ada yang mendakwa, khatib itu bukan imam di masjid berkenaan sebaliknya dijemput dari tempat lain. Walaupun begitu, bagi saya, ahli jawatankuasa masjid tetap perlu berhati-hati dan bertanggungjawab ke­rana tindakan sedemikian memberi kesan kepada masyarakat," katanya.

Diminta mengulas kunjungan ke Mesir setelah mengerjakan umrah baru-baru ini, katanya, beliau berkesempatan bertemu dengan pelajar-pelajar Malaysia terutamanya dari negeri ini serta pihak pengurusan universiti sekitar Madinah, Kaherah dan Iskandariah.

"Dalam pertemuan dengan pihak pentadbiran universiti, mereka membangkitkan kualiti pelajar di sana. Keputusan para pelajar di tanah air dalam peperiksaan utama tidak dinafikan sememangnya cemerlang.

“Namun penguasaan bahasa Arab mereka didapati menurun berbanding 'abang dan kakak' mereka sebelum ini mengakibatkan mereka terpaksa mengikuti kelas tambah­an. Mungkin ada perkara yang  boleh kita perbaiki di sini," ujarnya.

Sumber: Utusan
11jkmSuraya Yaacob (dua dari kanan) menyampaikan Kit Insentif Kelahiran Anak kepada salah seorang penerimanya di Kuala Ketil, Kedah, baru-baru ini.

BALING 11 Mei - Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kini giat mendekati masyarakat setempat bagi memudahkan mereka mendaftarkan ahli keluarga yang terdiri daripada orang kurang upaya (OKU).

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata berkata, OKU merupakan kumpulan sasaran agensi terbabit demi menjamin kebajikan mereka.

“Sepuluh peratus daripada jumlah penduduk Malaysia terdiri daripada golongan OKU namun hanya 50 peratus daripadanya berdaftar sebagai golongan OKU.

“Masalah pembelajaran dan mereka yang telah dipotong kakinya akibat diabetis juga tergolong dalam golongan OKU dan mereka juga perlu didaftarkan dengan JKM," katanya ketika merasmikan Karnival Jom Daftar OKU dan Penyampaian Insentif Kelahiran Anak (IKA) di gelanggang bola keranjang Kuala Ketil dekat sini baru-baru ini.

Yang hadir sama Pengarah JKM negeri, Md. Noor Chik; Pegawai JKM daerah, Nazatul Iffah Abdullah dan Ketua Pemuda UMNO Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin.

Menurut Suraya, satu kempen pendaftaran OKU perlu diadakan bagi menggalakkan lebih ramai OKU yang layak mendaftar de­ngan JKM.

Katanya, Pusat Khidmat Setempat (PKS) di Bedong turut ditubuhkan bagi memudahkan masyarakat mendaftarkan ahli keluarganya yang dikategorikan sebagai OKU.

“Sebelum ini, untuk pendaftaran OKU, mereka perlu ke hospital-hospital untuk dapatkan surat pengesahan daripada pakar-pakar perubatan tetapi kini mereka boleh ke PKS kerana semua pro­ses untuk mendapatkan kad OKU ada di sana," katanya.

Suraya berkata, banyak program perlu dijalankan bagi menggalakkan orang ramai membuat pendaftaran ahli keluarga OKU supaya segala kemudahan yang disediakan oleh kerajaan dapat digunakan sepenuhnya.

“Terdapat 15 keistimewaan akan diberikan oleh kerajaan kepada pemegang-pemegang kad OKU dan kerajaan sentiasa berusaha menaikkan taraf perkhidmatan yang diperlukan oleh mereka," katanya.

Negeri ini kini mempunyai 35 buah pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) yang digunakan sebagai alternatif bagi OKU menjalani latihan harian di samping mengeratkan hubungan kekeluargaan dan masyarakat setempat.

Sumber: Utusan
11skJamil Khir

JERAI 11 Mei - Bekas murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Limau di sini diseru agar dapat menggembleng tenaga bersama-sama pihak sekolah untuk memastikan sekolah tersebut yang kini berusia 100 tahun terus melahirkan generasi cemerlang.

Ahli Parlimen Jerai, Datuk Seri Jamil Khir Baharom percaya melalui komitmen tinggi serta bekerja secara kolektif antara guru, waris dan alumni akan mampu menjadikan warga SK Sungai Limau insan yang berilmu serta berakhlak mulia.

"Jutaan tahniah saya ucapkan kepada pihak pentadbir dan guru-guru di sekolah ini yang mengambil inisiatif untuk mengadakan majlis sambutan 100 tahun SK Sungai Limau sebagai usaha mengenang jasa semua yang pernah berada di sekolah ini.

"Seratus tahun merupakan satu tempoh yang cukup lama dan saya yakin kecemerlangan sekolah ini mampu diteruskan dengan kerjasama daripada bekas-bekas murid SK Sungai Limau yang saya pasti telah menjadi mereka yang berjaya dalam hidup," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis sambutan 100 tahun SK Sungai Limau di sini.

Jamil Khir yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata, transformasi pendidikan pada alaf ini jauh lebih baik namun generasi baharu tidak boleh melupakan sejarah.

"Tanpa orang terdahulu tidak mungkin lahirnya generasi masa kini maka kita yang ada pada hari ini wajar untuk berterima kasih pada perjuangan warga SK Sungai Limau yang bersusah payah mendidik anak-anak di daerah ini.

"Generasi hari ini boleh mengambil iktibar malah menjadi inspirasi untuk meraih kejayaan yang lebih berprestij," jelasnya.

Tambah beliau, antara Alumni SK Sungai Limau yang berjaya ialah bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, Allahyarham Tan Sri Profesor Emeritus Ismail Husein dan lain-lain lagi.

"Kejayaan bekas-bekas murid di SK Sungai Limau ini wajar dijadikan panduan untuk murid-murid di daerah ini untuk terus maju dalam pelajaran mereka," katanya.

Sumber: Utusan
10tanah

BALING 10 Mei - Kerajaan negeri akan memajukan tanah terbiar di daerah ini dengan mewujudkan satu kluster makanan yang bersesuaian dalam masa terdekat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, kerajaan negeri menerusi Jabatan Pertanian negeri akan memajukan 300 hektar daripada 800 hektar tanah terbiar yang dikenal pasti untuk sektor pertanian.

“Tanah-tanah terbiar di sini masih banyak, kerajaan negeri bersedia mewujudkan satu kluster makanan yang bersesuaian dengan lebih terperinci dan akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Kerajaan negeri juga sedang menyiapkan pemetaan untuk setiap daerah menurut kluster masing-masing di bawah jawatankuasa daerah," katanya ketika lawatan kerja sehari ke daerah ini di Ulu Legong, baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pemuda UMNO Bahagian Baling, Mohd. Noor Mohd. Amin dan Pengerusi Biro Pertanian UMNO Baling, Taufik Yaacob.

Menurut beliau, jawatankuasa tersebut diberi tugas untuk merancang perbelanjaan dan cara memaksimumkan persekitaran sedia ada.

Sementara itu, Pengerusi Biro Pertanian UMNO Bahagian Baling, Taufik Yaacob menyambut baik cadangan untuk menggunapakai tanah-tanah terbiar tersebut dengan tanaman kontan seperti kayu ubi dan sebagainya.

“Daripada kajian, keperluan pasaran untuk ubi kayu yang siap diproses memerlukan lebih kurang 200 tan sebulan bagi keperluan pasaran dan eksport.

“Ia juga berpotensi menjana ekonomi setempat dan membuka peluang kepada masyarakat kampung untuk mengkomersialkan hasil tanaman mereka di tanah-tanah terbiar yang mereka usahakan," kata Taufik.

Taufik juga berkata, melalui Biro Pertanian yang diterajuinya akan cuba membantu mengenalpasti tanah-tanah terbiar tersebut dari segi hak milik, kesesuaian tanah dan sebagainya supaya ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

Ketika lawatan itu, Suraya turut melihat beberapa projek pertanian dan pelancongan yang boleh dikomersialkan seperti Homestay Keda Air Panas Ulu Legong; pembuatan makanan ringan seperti kerepek bawang, bahulu panas dan makanan tradisional; ternakan madu kelulut, udang galah, ayam kampung; dan kopi.

Sumber: Utusan
8kesihatan
JITRA 8 Mei – Kedah memerlukan rakyat yang sihat bagi menjamin pembangunan ekonomi negeri yang maju dan cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, Kesihatan dan Perpaduan, YB. Dato’ Dr. Leong Yong Kong berkata, sebagai rakyat Kedah, penjagaan kesihatan perlu diutamakan bagi menjamin masa depan yang bahagia.

“Gaya hidup yang tidak sihat yang perlu ditangani adalah hidup yang kurang aktif, amalan pemakanan yang tidak sihat dan tabiat merokok. Gaya hidup yang tidak sihat inilah yang menjadi ancaman utama kepada kesihatan rakyat pada masa ini,” katanya pada majlis pelancaran Komuniti Sihat, Perkasa Negara Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Kebangsaan Dato’ Syed Ahmad, Lana Bulu, Ayer Hitam, di sini.

Menurutnya, tujuan utama program ini diadakan adalah untuk membentuk komuniti sihat dan produktif melalui pembudayaan amalan gaya hidup sihat seiring dengan peningkatan potensi diri, pemantapan tahap sosio-ekonomi serta pembangunan yang mapan.

“Program ini diharap mampu mendekatkan dan meluaskan capaian program komuniti bagi membentuk komuniti sihat bebas dari sebarang penyakit serta mewujudkan sekumpulan sukarelawan kesihatan terlatih di kalangan ahli komuniti,” katanya.

Beliau yang mewakili Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, inisiatif itu mensasarkan penglibatan sebanyak 450 kampung pada fasa pertama dari jumlah keseluruhan 970 kampung dengan penglibatan sekurang-kurangnya lima orang sukarelawan di setiap kampung.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Ahli Parlimen Jerlun, YB. Dato’ Othman Aziz.

Sumber: UMTK
7pertandingan
KULIM 7 Mei – Sasterawan Negara (SN) Allahyarham Dato’ Dr Usman Awang menjadi sumber inspirasi kumpulan Jiwa Hamba pada Pertandingan Pengisahan Kenegaraan 1Malaysia Peringkat Negeri Kedah yang diadakan di Dewan Bandaran Kulim, di sini sekaligus dinobatkan sebagai johan.

Jiwa Hamba yang juga mengambil nama sempena judul karya Usman Awang menampilkan persembahan menarik, disusuli lakonan hebat mengenai sasterawan terbabit dengan menyorot kejayaan dan sumbangannya.

Kumpulan yang mewakili Daerah Padang Terap dan dianggotai oleh Mohd Zulkamal Ismail, Mohamad Shafizal Ghazali dan Muzaffar Awang, berjaya menambat hati juri dan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM3,000.

Tempat kedua pula disandang Pasukan Catra dari Daerah Kuala Muda selepas mempersembahkan karya yang menyorot kejayaan ahli perniagaan wanita negara kelahiran Negeri Jelapang Padi itu, Dato’ Maznah Hamid yang turut dikenali sebagai The Iron Lady.

Kumpulan yang dianggotai penuntut Institut Perguruan Sultan Abdul Halim (IPSAH) Sungai Petani, dianggotai oleh Norasyikin Zulkarnain, Alia Munira Suhaimi dan Marbella Justin serta membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.

Hadiah-hadiah kepada pemenang disampaikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, YB. Chua Teong Gee.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Penolong Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Kedah, Normah Ramli.

Sumber: UMTK
7ribut

BANDAR BAHARU 7 Mei – Sebanyak  43 rumah rosak bahagian bumbung manakala kubah menara Masjid Bandar Baharu yang dalam pembinaan tumbang dalam kejadian ribut di Pekan Serdang, di sini.

Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, antara kampung yang terbabit ialah Kampung Majidi, Kampung Tengah Baru, Kampung Batu 16, Kampung Batu 18, Kampung Cina Dalam, Kampung Leret, EE Guan, Kampung Keda Sungai Salleh, Kampung Batu Lintang dan Kampung Air Itam.

Penduduk, Ku Abdullah Ku Hashim, 50 tahun berkata, dia melalui detik mencemaskan apabila gerai buahnya ditimpa sebatang pokok menyebabkan dia bertempiaran lari.

“Saya menjerit beritahu pokok tumbang lalu terus berlari keluar menyelamatkan diri. Sebelum itu, saya di dalam kedai dan terdengar dentuman kuat lalu terus meniarap apabila melihat pokok terbabit tumbang ke arah kedai kami.

“Saya merangkak di dalam timbunan sisa runtuhan menyelamatkan diri, mujurlah saya tak cedera. Ketika itu, saya bersama rakan berada di dalam kedai menjual buah-buahan. Keadaan suasana ketika itu hujan lebat serta angin kencang melanda Pekan Serdang,” katanya yang ditemui selepas menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu, YB. Norsabrina Mohd Nor.

Menurutnya, dia kemudian, merangkak keluar dari kesan runtuhan itu untuk menyelamatkan diri dan bersyukur kerana tidak mengalami sebarang kecederaan dan mujurlah pokok ketapang yang berusia puluhan tahun itu tidak terkena tempat mereka duduk.

Imam Masjid Al Irshad, Rohaizat Jaafar, 42 tahun berkata, rumahnya yang juga kediaman rasmi terletak berhampiran masjid berkenaan turut mengalami kerosakan teruk di bahagian bumbung.

Katanya, ketika kejadian itu, dia tiada di rumah kerana ada urusan di luar bersama dengan ahli keluarganya dan terkejut melihat kubah menara masjid berkenaan tumbang.

Sumber: UMTK
7barakhah
SUNGAI PETANI 7 Mei -  Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir mengadakan lawatan ke Pusat Pemulihan Barakhah di Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, di sini.

Sempena lawatan itu, beliau turut menyampaikan ucapan motivasi kepada pelatih-pelatih pusat berkenaan di samping beramah mesra dengan mereka.

Menteri Besar turut memberi keyakinan kepada pelatih-pelatih yang berjaya dalam hidup tidak akan disisih oleh Kerajaan dan masyarakat.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani serta Pembangunan Usahawan, YB. Dato’ Suraya Yaacob dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Merdeka, YB. Ali Yahaya.

Sumber: UMTK
6mada

ALOR SETAR 6 Mei – Walaupun negara ini dilanda musim kemarau, jadual penanaman padi bagi musim 1/2014 di Kedah tidak terjejas dan mengikut musim ditetapkan kerana tiga empangan utama di negeri ini masih berupaya membekalkan air secukupnya.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), YB. Dato’ Othman Aziz berkata, bekalan air untuk tanaman padi musim ini sudah mula disalurkan mengikut jadual ditetapkan membabitkan beberapa fasa sejak 26 Mac 2014.

Beliau yang juga merangkap Ahli Parlimen Ayer Hitam  berkata,  penyaluran air untuk tanaman padi di kawasan MADA sudah masuk fasa kedua dan sesetengah petani sudah mula membajak dan menabur benih padi.

“Kita turut memberi tempoh akhir bagi petani menabur benih padi untuk fasa pertama, jadi kita harap petani dalam kawasan MADA dapat mengikut jadual ditetapkan supaya tidak timbul sebarang masalah.

“Setakat ini, penyaluran air ke kawasan padi MADA tiada sebarang masalah dan proses berkenaan berjalan lancar kerana tiga empangan utama di negeri ini masih berupaya membekalkan air secukupnya walaupun mengalami sedikit penyusutan sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Jalinan Tani Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Hari Bertemu Pelanggan Wilayah IV MADA di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Suka Setia, Simpang Empat Kangkong, di sini.

Menurutnya, bekalan air turut  disalurkan ke kawasan penanaman padi seluas 90,234 hektar membabitkan tiga fasa iaitu fasa pertama pada 26 Mac 2014 membabitkan kawasan seluas 32,891 hektar, fasa kedua pada 9 April 2014 (38,140 hektar) dan fasa ketiga pada 23 April (19,203 hektar).

Pada majlis itu, petani kawasan berkenaan turut menerima insentif berjumlah RM299,114.

Sumber: UMTK
6atlet

ALOR SETAR 6 Mei – Atlet yang bakal mewakili Kedah pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis 2014 nanti diharapkan sentiasa komited dalam memenuhi sasaran pingat yang ditetapkan sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, sasaran 50 pingat emas itu dibuat berdasarkan kepercayaan dan usaha yang ditonjolkan atlet.

“Walaupun sasaran agak tinggi tetapi kita akan berusaha ke arah itu untuk mencapai matlamat Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir.

“Kita faham ia bukan perkara mudah tetapi kita perlu komitmen daripada keseluruhan kontinjen sukan yang mewakili Kedah nanti untuk memberi kerjasama, semangat fizikal dan mental untuk mengutip pingat emas yang banyak,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (Silat Olahraga) Peringkat Negeri Kedah dan Penyerahan Bendera Kejohanan di Dewan Kombat, Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Menurutnya, pada SUKMA Perlis 2014 itu, Kedah hanya akan terlibat dalam 23 acara daripada 24 acara yang dipertandingkan.

“Hanya satu acara yang kita tidak hantar wakil iaitu hoki lelaki. Kita perlu mengembleng tenaga melatih atlet yang ada untuk memastikan kita berjaya memperoleh pingat emas yang banyak,” katanya.

Sumber: UMTK
6litar

ALOR SETAR 6 Mei – Kerajaan Negeri mengenal pasti dua lokasi di Sungai Petani yang diyakini sesuai untuk pembinaan litar lumba.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan-Badan Bukan Kerajaan, YB. Aminuddin Omar berkata, perkara itu akan dibentangkan kepada Menteri Besar Kedah, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir dalam sedikit masa lagi.

“Kita sekarang sedang bergerak mencari tempat yang sesuai untuk dijadikan litar lumba terbabit dan Menteri Besar sendiri mengarahkan saya serta beberapa jawatankuasa lain untuk melihat tempat itu.

“Kita kenal pasti dua lokasi di Sungai Petani dan akan membuat pembentangan kepada Menteri Besar untuk meluluskan tempat terbabit,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Seni Mempertahankan Diri (Silat Olahraga) Peringkat Negeri Kedah dan Penyerahan Bendera Kejohanan di Dewan Kombat, Stadium Sultan Abdul Halim, Jalan Suka Menanti, di sini.

Beliau menjelaskan, keputusan mengenai litar lumba itu akan diumumkan Menteri Besar Kedah.

“Sekiranya cadangan yang kita bentangkan dipersetujui, Menteri Besar sendiri akan mengumumkan tempat pembinaan litar lumba terbabit dan bagaimana litar lumba itu akan dibina,” katanya.

Tambahnya, pembinaan litar lumba terbabit tidak akan mengambil masa lama kerana pembinaannya bukan seperti litar di Sepang, tetapi lebih kepada tapak asas untuk perlumbaan kenderaan dua tayar.

Sumber: UMTK
5emm

SUNGAI PETANI  5 Mei –  Bekalan beras Kedah untuk menampung permintaan negara semakin menurun dan trend itu amat membimbangkan.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata,  walaupun dikenali sebagai negeri Jelapang Padi, tetapi pengeluaran hasil padi Kedah tidak lagi seperti dahulu.

Katanya, ia mungkin disebabkan kekurangan hasil pengeluaran padi atau jumlah penduduk yang semakin ramai sehingga permintaan semakin meningkat.

“Dulu kita boleh membekalkan 70 peratus beras kepada permintaan negara. Tetapi ia semakin menurun kepada 43 peratus dan terkini hanya tinggal 30 peratus.

“Ini satu fenomena yang agak membimbangkan. Jika tidak diberi perhatian, mungkin bekalan beras kita akan terus merosot,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Pengurusan Estetdi Perkarangan Masjid Kampung Haji Kudong, Kota Kuala Muda, di sini.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan Kerajaan Negeri terpaksa mengimport beras dari luar, khususnya dari negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Kemboja.

“Tetapi, seboleh-bolehnya kita nak pastikan tanah bendang di Kedah dapat mengeluarkan hasil padi yang optimum dan kalau boleh maksimum.

“Dengan pendekatan ini, barulah kita dapat meningkatkan hasilnya. Sekaligus dapat menyumbang kepada peningkatan pendapatan petani,” katanya.

Pada program itu, Menteri Besar turut menyasarkan purata pengeluaran hasil padi meningkat kepada enam tan metrik per hektar pada tahun 2016.

“Sebelum ini, kekurangan kemudahan infrastruktur asas serta kaedah pengurusan secara individu menyebabkan purata hasil padi terutama di kawasan Kuala Muda Selatan berada pada tahap tiga tan metrik per hektar.

“Tetapi, selepas pelaksanaan Program Pengurusan Estet Padi, saya yakin hasil pengeluaran padi akan bertambah berbanding sebelumnya,” katanya.

Sumber:UMTK
5organik

ALOR SETAR 5 Mei – Kedah Organik yang merupakan syarikat milik Kerajaan Negeri memberi jaminan untuk membantu dalam menyediakan tanah, teknologi, kaedah tanaman sehingga kepada penjenamaan dan pemasaran.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, Kerajaan Negeri menggalakkan petani-petani kecil mengambil langkah berkongsi tanah dengan petani-petani lain untuk melaksanakan tanaman organik.

“Hasilnya amat berbaloi. Kita akan bimbing mereka  daripada awal sehingga berjaya membuat pasaran.

Perniagaan organik  berbeza dengan perniagaan pertanian bukan organik. Organik dihasilkan menerusi permintaan dan kita tidak mahu berlaku longgokan dalam perniagaan organik melibatkan kos yang agak tinggi,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Produk Kedah Organik di Kuala Lumpur.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Kedah menerusi Kedah Organik bersedia membantu petani-petani kecil meraih pendapatan lumayan sekiranya mereka memilih untuk melibatkan diri secara serius dalam industri pertanian berteraskan organik.

“Setakat ini, hanya satu syarikat di Kedah yang menghasilkan tanaman organik secara besar-besaran iaitu MK Orchard bertempat di Kampung Padang Asun di Jitra,” katanya.

Tambahnya, MK Orchard ketika ini memiliki tanah seluas 60 hektar dengan lebih 20,000 tanaman daripada lebih 33 jenis pokok buah-buahan dan dijangka keluasan tanaman itu akan diperluaskan kepada 121 hektar ekoran terdapat petani di kawasan berdekatan bersedia berkongsi tanaman.

“Bagi mereka yang mempunyai kawasan tanaman padi juga boleh digunakan untuk tanaman produk organik. Kita berbesar hati untuk membantu petani-petani kecil meningkatkan taraf hidup,” katanya.

Sumber:UMTK
4rumah

JITRA 4 Mei – Penjawat awam di negeri ini berpeluang memiliki rumah sendiri selepas Kerajaan Pusat meluluskan pembinaan 1,000 unit rumah mampu milik di atas tanah Kerajaan Negeri di Bukit Pinang, dekat sini.

Menteri Besar, YAB. Dato’ Seri Haji Mukhriz Tun Mahathir berkata, rumah tersebut dibina untuk kakitangan awam khususnya gred N17.

“Kita bersedia pada bila-bila masa untuk melaksanakan projek ini dan untuk permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah mampu milik akan dibina di Bukit Pinang.

“Bukit Pinang ini lokasinya tidak jauh dari Alor Setar dan walaupun projek ini akan mengambil sedikit masa, saya yakin ia tidak akan memakan masa yang terlalu panjang,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Pekerja Penjawat Awam 2014 yang bertemakan ‘Penjawat Awam Tiang Seri Negara’ di Dewan Wawasan, di sini.

Menurutnya, sebanyak 1,000 unit rumah mampu milik itu akan dibina di tanah yang berkeluasan 40 hektar.

“Ada juga rumah untuk kakitangan gred lain yang akan dibina, namun kita berikan fokus kepada kakitangan awam gred N17 terlebih dahulu,” katanya.

Menteri Besar menyuarakan cadangan pembinaan rumah untuk penjawat awam negeri ini ketika lawatan Perdana Menteri, YAB. Dato’ Seri Najib Tun Abdul Razak ke Alor Setar, baru-baru ini.

Sumber: UMTK