Oleh OPAT RATTANACHOT
29kaunteraduan
KU Rahman Ku Ismail (kanan) menunjukkan ayam segar selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina Peringkat Negeri Kedah di Pasar Besar Awam di Kulim, Kedah, baru-baru ini. - BERNAMA

KULIM 29 Januari - Orang ramai yang tidak berpuas hati dengan tindakan peniaga menaikkan harga barangan sesuka hati, terutamanya menjelang perayaan Tahun Baharu Cina boleh membuat aduan di kaunter khas yang disediakan di pasar- pasar awam utama negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Industri, Pelaburan, Perdagangan Dalam Negeri, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi Kedah, Datuk Dr. Ku Abdul Rahman Ku Ismail berkata, kaunter tersebut diwujudkan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PDNKK) sebagai langkah membolehkan orang ramai membuat aduan terus kepada pegawai yang bertugas.

Katanya, langkah tersebut juga memudahkan pihak berkuasa memantau kenaikan harga barangan secara melampau hingga membebankan pengguna.

"Dengan adanya kaunter ini, aduan disalurkan terus kepada pegawai PDNKK dan mereka boleh mengambil tindakan serta-merta," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Pasar Besar Awam Kulim, di sini baru-baru ini.

Yang hadir bersama ialah Pengarah PPDNKK Kedah, Mohd. Sakri Saleh; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Chua Thiong Ghee dan Pengerusi Persatuan Pengguna Daerah Kulim, Datuk Mohd. Hadzir Ismail.

Ku Abdul Rahman berkata, secara umumnya, harga bahan makanan di pasar-pasar utama negeri ini masih terkawal meskipun berlakunya sedikit peningkatan terhadap ikan dan hasil laut.

"Sayur-sayuran tempatan juga berlaku sedikit kenaikan. Contohnya kobis Cameron Highlands. Namun begitu, para pengguna mempunyai pilihan dan saya melihat ramai daripada pengguna memilih kobis import dari Thailand yang harganya rendah sekitar 50 sen berbanding kobis tempatan," katanya.

Sementara itu, Mohd. Sakri berkata, pihaknya telah membekukan cuti rehat semua 150 kakitangan pejabat itu di negeri ini sepanjang tempoh berlangsungnya kempen kawalan harga mulai 26 Januari lalu hingga 9 Februari ini.

Sumber: Utusan
28keda
ARFAN Saari (kanan) menyerah replika kunci dewan serbaguna kepada Mohd. Saidi Midin sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama, Bandar Baharu, Kedah, baru-baru ini.

KULIM 28 Januari - Lebih banyak pasar mini serbaneka dikenali sebagai Slesa milik anak syarikat Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) bakal beroperasi di seluruh negeri ini menjelang Februari.

Pengurus Besar KEDA, Datuk Arfan Saari berkata, dengan adanya pasar mini seumpama itu ia memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk membeli pelbagai barangan keperluan masing-masing.

Katanya, ketika ini dua pasar mini berkenaan dibuka di Alor Setar dan masing-masing satu di Sungai Petani, Kulim dan Serdang.

"Kita berharap orang ramai memberi sokongan sepenuhnya terhadap pembukaan pusat perniagaan barang kering itu," katanya kepada pemberita sempena Program Sejambak Budi Segunung Penghargaan di Taman Cempeka Selama daerah Bandar Baharu di sini, baru-baru ini.

Dalam majlis itu, beliau menyerahkan kunci dewan serbaguna Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pekan Selama di sini kepada Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional Negeri Kedah, Mohd. Saidi Midin.

Dewan itu dibina oleh KEDA dengan kos RM185,000 dan siap kira-kira dua bulan lepas. Arfan berkata, banyak barangan berkualiti dikeluarkan oleh penduduk tempatan melalui projek industri kecil dan sederhana (IKS) bakal dijual di pasar mini berkenaan.

"Setiap pasar mini itu bernilai lebih kurang RM300,000 termasuk kos pembinaan dan penyediaan barang runcit," katanya.

Sumber: Utusan
SUNGAI PETANI 28 Januari - Lebih RM36.7 juta wang bantuan awal persekolahan bagi tahun 2014 diagihkan kepada 367,376 pelajar di seluruh Kedah, setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, daripada jumlah itu, sebanyak lebih 70 peratus daripada 730 buah sekolah telah selesai mengagihkan bantuan.

"Kesemua sekolah telah diarahkan agar mengagihkan wang berkenaan secepat mungkin. Kita menjangkakan semua sekolah akan agihkan wang RM100 kepada waris pelajar itu selewat-lewatnya esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tajul Urus berkata, pada tahun ini, Kedah mendapat bantuan tambahan berjumlah RM660,800 ekoran berlakunya pertambahan jumlah pelajar seramai 6,608 orang.
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, Kerajaan Negeri bersetuju menanggung semua kos pembinaan rumah mangsa kebakaran di Kampung Changhai, Jeneri, Sik dekat sini semalam.

Selain itu, katanya, keluarga tersebut juga akan dibantu dari segi keperluan harian dan makanan untuk tempoh yang bersesuaian. "Kerajaan negeri bersimpati dengan tragedi yang menimpa keluarga itu. Kita akan mengambil langkah sewajarnya bagi membantu meringankan beban mereka terlibat," katanya yang turut melawat keluarga itu lewat petang semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi semalam, seorang pelajar, Siti Aishah Hashanah Che Ani, 16, ditemui rentung di atas katil dipercayai terperangkap dalam biliknya. Turut cedera ialah abang mangsa, Mohd. Firdaus Che Ani, 19, yang melecur di bahagian belakang badan akibat ditimpa kayu yang terbakar.

Sumber: Utusan
KULIM 25 Januari - Dua kampung di sini iaitu Kampung Sungai Ular dan Batu Lintang bakal dimajukan untuk dijadikan kawasan industri kecil dan sederhana (IKS) bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk kawasan itu.

Ahli Parlimen Kulim/ Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Sheikh Fadzir berkata, dua kampung tersebut didapati sesuai untuk dijadikan kawasan IKS memandangkan ramai penduduknya mempunyai kemahiran dalam bidang tersebut.

"Dengan kewujudan IKS di kampung ini, kita dapat mengelakkan belia berhijrah ke bandar untuk cari kerja.

"Kita ingin memastikan mereka yang mempunyai asas pekerjaan dalam bidang IKS terus berbakti kepada kampung dengan bekerja di sini," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Kulim, di sini semalam.

Sebanyak 40 kontinjen menyertai perarakan yang diketuai Pegawai Daerah Kulim, Mohd. Dhozir Mohd. Zain. Dalam majlis itu, beliau turut menyampaikan wang RM100 kepada setiap pasukan yang mengambil bahagian dalam perarakan terdiri daripada agensi kerajaan dan swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Johan kategori NGO dimenangi oleh Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) Kulim, tempat kedua, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Padang Lembu dan ketiga, Masjid Taman Kenari.

Sumber: Utusan
KUALA LUMPUR 24 Januari - Kerajaan Negeri Kedah merancang untuk membina 20,000 rumah mampu milik di bawah Skim Perumahan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) dalam tempoh empat hingga lima tahun akan datang, demikian diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri sedar tentang kesusahan yang dihadapi oleh rakyat Kedah yang bergelut dengan tekanan hidup berikutan kenaikan kos sara hidup.

Komponen utama kesusahan mereka ialah harga rumah, tegas beliau.

"Kita juga merancang untuk membina 40,000 buah rumah lagi di Kedah dengan kerjasama pihak-pihak lain seperti Syarikat Perumahan Nasional Bhd dan syarikat-syarikat swasta lain menjelang 2018," kata Mukhriz.

Beliau berkata demikian pada majlis menandatangani perjanjian antara PR1MA dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Kedah (PKNK) dan sebuah syarikat pemaju perumahan, SP Baiduri Sdn Bhd.

Hari ini PR1MA menandatangani satu memorandum persefahaman dengan PKNK bagi mengadakan kerjasama untuk mengenal pasti kewujudan tanah strategik di negeri itu untuk membina rumah PR1MA dan bertukar-tukar dokumen pembangunan dengan SP Baiduri untuk membina rumah di Sungai Petani.

Ketua Pegawai Eksekutif PR1MA, Datuk Abdul Mutalib Alias, berkata projek di Sungai Petani itu akan mengandungi lebih 1000 buah rumah di atas tanah seluas 44.4 hektar.

Beliau berkata ini adalah projek pertama di Kedah dan dijangka dilancarkan dalam dua hingga tiga bulan yang mengandungi rumah atas tanah yang terletak di lokasi strategik sekitar kawasan pasar raya besar, sekolah, klinik dan bank.

"Jenis rumah yang akan dibina oleh SP Baiduri ialah rumah berangkai dan rumah berkembar setingkat serta rumah berangkai dan rumah berkembar dua tingkat, yang dijangka berharga dari RM150,000 hingga RM250,000," kata Abdul Mutalib.

Katanya, PR1MA sedang meneliti bandar-bandar lain di Kedah untuk membina rumah PR1MA dalam masa terdekat ini, seperti Alor Setar, Kulim dan Langkawi.

Beliau juga berkata setakat ini anggota-anggota perbadanan itu telah meluluskan 45,000 buah rumah di seluruh negara dan kerja-kerja telah pun bermula di Johor Bahru dan Kuala Lumpur, serta menyasarkan untuk melancarkan projek-projek sedia ada yang telah diluluskan tahun ini manakala pengundian akan diadakan sebulan atau dua bulan selepas pelancaran.

"Kami telah menerima kira-kira 340,000 permohonan dalam talian setakat ini, dan menyasarkan untuk meningkatkan usaha memenuhi mandat yang diberikan untuk membina 500,000 rumah PR1MA.

"Kami komited untuk membina rumah berharga 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran meskipun kos bahan binaan semakin meningkat," tegas Abdul Mutalib.

Sumber: Bernama
ALOR SETAR 23 Januari - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Kedah mendapati kebanyakan peniaga mematuhi arahan meletakkan tanda harga pada setiap barangan jualan mereka setelah Ops Harga 2014 dilancarkan Isnin lalu.

Pengarahnya, Sakri Salleh berkata, pihaknya juga mendapati harga barangan yang dijual di pasar-pasar basah di negeri ini juga semakin stabil dan pengguna tidak lagi merungut dengan kenaikan melampau harga barangan keperluan.

"Sekarang ini kita tengok rata-rata peniaga ikan, sayur, daging dan ayam telah mempamerkan tanda harga pada barangan masing-masing.

"Peniaga juga mula menjual ikan, ayam, sayur dan daging mengikut harga kawalan ditetapkan di dalam Skim Kawalan Harga Sempena Tahun Baharu Cina," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurutnya, pihak PPDNKK akan terus melakukan pemantauan agar peniaga meletakkan tanda harga bagi memastikan tiada unsur penipuan melibatkan barangan kawalan.

"Setakat hari ini tujuh peniaga telah disiasat di bawah Akta Timbang dan Sukat 1972 dan Akta Kawalan Antipencatutan 2011.

''Jika didapati bersalah kita akan terus mendakwa mereka ke mahkamah bagi mengelak mengulangi kesalahan yang sama," jelasnya.

Tambah Sakri, pengguna juga perlu melaporkan kepada pihak PPDNKK jika terdapat peniaga melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

Sumber: Utusan
balak
ALOR SETAR 22 Januari - Hanya pembalakan terpilih masih dijalankan di Kedah manakala pembalakan jenis 'cuci mangkuk' sudah dihentikan, kata Menteri Besar Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir.

Beliau berkata tiada lesen pembalakan baharu dikeluarkan selepas 19 Mei 2013 iaitu seminggu selepas beliau dilantik sebagai Menteri Besar Kedah.

"Lesen yang dikeluarkan sebelum Barisan Nasional (BN) ambil alih (pentadbiran) Kedah terpaksa diteruskan, kerana kalau tarik balik lesen, boleh bayangkan apa jenis kes-kes mahkamah yang akan kita hadapi daripada syarikat-syarikat yang mendapat konsesi tersebut.

"Jadi kita tak patut terkejut melihat lori-lori balak yang masih keluar membawa balak kerana ini datang daripada konsesi pembalakan terpilih, maksudnya 'tagging" dah dibuat beberapa bulan atau setahun lebih dan pembalakan berlaku pada pokok-pokok terpilih.

"Saya tak pernah mengharamkan sepenuhnya (pembalakan) sebab pembalakan terpilih masih berlaku dan lesen keluar sebelum BN ambil alih," katanya kepadapemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negero di sini hari ini.   

Mukhriz mengulas dakwaan berlaku aktiviti pembalakan haram baru-baru ini di beberapa kawasan di Kedah hingga menimbulkan kerisauan kepada penduduk setempat.

Sementara itu, katanya sekiranya terdapat lori-lori balak membawa muatan kayu-kayu yang bersaiz kecil, ia adalah daripada tanah persendirian dan bukannya membabitkan tanah kerajaan negeri.

"Mungkin orang persendirian ini nak buat pembangunan... walaupun (kayu) kecil, ada yang beli biasanya kilang yang buat cip, dia tak kira saiz pokok, dia potong kecik-kecil buat cip untuk pasaran tempatan dan eksport," katanya.

Selain itu, Mukhriz beliau berkata kerajaan negeri juga tidak bercadang untuk meningkatkan pendapatan negeri melalui hasil pembalakan, sebaliknya akan melihat sumber alternatif yang lain.

"Kita perlu kreatif dan inovatif untuk mencari ini (sumber alternatif) dan saya percaya satu daripada yang berpotensi besar ialah pelancong...pulangannya sentiasa ada, ia bukan sesuatu yang anda labur sekali dan anda dapat pulangannya sekali sahaja, ia (pulangan) datang sepanjang tahun," katanya.

Sumber: Bernama
thnbarucinaTAJUL Urus Mat Zain (kiri) menyampaikan hamper dan angpau kepada warga emas sempena Tahun Baharu Cina di Pekan Semeling, Merbok, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 20 Januari - Sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini cukup bermakna buat 200 warga emas dari Tanjung Dawai di sini apabila menerima sumbangan hamper dan angpau sempena perayaan itu.

Sumbangan itu dihulurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Datuk Tajul Urus Md. Zain dalam satu majlis di pekan Semeling dekat sini hari ini.

Tajul Urus berkata, bantuan itu diharap dapat menceriakan warga emas berkenaan untuk meraikan Tahun Baharu Cina.

"Biar pun tidak sebanyak mana sumbangan diberikan tetapi saya amat prihatin dengan warga emas itu dan usaha dilakukan ini untuk terus mengeratkan hubungan yang terjalin selama ini.

"Jika ada masalah penduduk Semeling perlu kemukakan mengikut saluran yang betul selaras dengan prinsip Barisan Nasional (BN)," katanya kepada pemberita di sini.

Tajul Urus yang juga Ketua UMNO Bahagian Merbok memberitahu, sejak dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Kerja Raya negeri beliau berjaya menyelesaikan banyak masalah masyarakat.

"Kerja-kerja begini perlu dibuat bagi memastikan rakyat di negeri ini berada dalam keadaan aman damai, termasuk semasa menyambut perayaan masing-masing," katanya.

Setiausaha MCA Bahagian Merbok, Chow Kok Leong pula berkata, penerima hamper dan angpau adalah kalangan warga emas berusia 60 tahun ke atas.

"Kita pilih berpandukan kepada beberapa kategori dan mereka pasti ceria bila menerima sumbangan itu," katanya.

Sumber: Utusan
Oleh SAFINA RAMLI hakislam
Tunku Annuar Sultan Badlishah (kiri) mengurniakan darjah kebesaran Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat Dihormati yang membawa gelaran Datuk Seri kepada Mukhriz Mahathir sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah ke-86 di Istana Anak Bukit, Alor Setar, semalam.

ALOR SETAR 19 Januari - Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah hari ini bertitah, kalimah Allah merupakan hak eksklusif umat Islam dan penggunaannya dilarang dalam kalangan penganut agama lain.

Seri Paduka bertitah, ketetapan itu sudah jelas dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1986 dan perlu dihormati.

"Dalam konteks masyarakat majmuk, sensitiviti agama khususnya Islam sebagai agama yang mendasari Persekutuan perlulah dihormati.

"Kekeliruan serta kontroversi boleh dielakkan jika peruntukan undang-undang dan keputusan penghakiman dipatuhi.

"Inilah resmi dan amalan seluruh masyarakat majmuk selama ini yang menjadi penyumbang kestabilan dan keharmonian seluruh rakyat negara ini," titah Seri Paduka.

Titah Seri Paduka itu dibacakan oleh Pengerusi Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Annuar Sultan Badlishah pada istiadat menyembah tahniah dan pengurniaan darjah serta bintang kebesaran sempena Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-86 di Istana Anak Bukit di sini hari ini.

Yang turut berangkat pada istiadat itu ialah Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tunku Panglima Besar, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah; Tunku Laksamana Kedah, Tan Sri Tunku Abdul Hamid Thani Sultan Badlishah dan Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Sultan Badlishah.

Seramai 114 menerima darjah serta bintang kebesaran sempena hari Keputeraan Sultan Kedah dan dalam majlis itu Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir menerima Darjah Seri Paduka Mahkota Kedah Yang Amat DiHormati (S.P.M.K) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Yang di-Pertuan Agong bertitah, tanpa kestabilan, perancangan pembangunan tidak boleh dijayakan dan tanpa adanya keharmonian hidup pasti negeri Kedah dan negara ini akan huru-hara.

"Dikhuatiri musuh-musuh dalam selimut beroleh peluang untuk melaksanakan agenda mereka, lantaran itu beta suka menyeru agar isu-isu agama, sensitiviti kaum yang berupaya menjadi ancaman wajar dielakkan.

"Asas Perlembagaan wajib dipatuhi selain Undang-Undang Tubuh Negeri perlu dihormati," titah Seri Paduka.

Seri Paduka juga menasihatkan agar fahaman selain daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah seperti fahaman Syiah wajar ditolak demi memelihara kepentingan ummah.

"Ini bagi memastikan permusuhan serta peperangan sesama umat yang menghantui banyak negara misalnya di Iraq dan Syria dapat dielakkan," titah Seri Paduka lagi.

Sumber: Utusan
Oleh SAFINA RAMLI

ALOR SETAR 17 Januari - Yayasan Pembangunan Pondok 1Malaysia (YPP1M) Kedah menegaskan bahawa adalah haram bagi umat Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam kerana tindakan itu jelas sebagai satu cubaan untuk menyekutukan Allah.

Pengerusi YPP1M Kedah, Sabri Osman berkata, penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam adalah satu perkara yang tidak logik dan tidak wajar disokong oleh umat Islam di negara ini.

"Adalah haram hukumnya bagi orang Islam menyokong penggunaan kalimah Allah oleh yang bukan Islam dan kami minta rakyat negara ini agar jangan menyokong perkara tersebut.

"Kalau mereka masih ingin menggunakan juga kalimah Allah, mereka perlu mengucapkan kalimah syahadah terlebih dahulu dan kita tidak ada masalah jika mereka mahu menggunakan kalimah Allah selepas itu.

"Orang bukan Islam memang jelas telah menyekutukan Allah dan tidak munasabah untuk mereka menggunakan kalimah Allah," katanya kepada pemberita di Bangunan Tunku di sini semalam.

Sabri yang juga pengasas Madrasah Al-Ulum Al-Diniah Al-Osmaniah Pondok Tanjung Kapur, Jitra di sini berkata, kerajaan juga tidak perlu berlembut lagi dengan golongan bukan Islam yang terus mendesak untuk menggunakan kalimah Allah.

"Bukan masanya lagi untuk terus berlembut dengan golongan ini, saya sendiri sudah dua kali bercakap mengenai perkara ini.

"Kami minta kerajaan mengambil tindakan mengikut undang-undang yang termaktub dan sekiranya tiada tindakan diambil maka kerajaan boleh disifatkan lemah dalam menjalankan tugas sebagai pemerintah," ujarnya.

Tambah beliau, isu penggunaan kalimah Allah oleh orang bukan Islam juga tidak seharusnya menjadi isu politik kerana ia melibatkan soal akidah umat Islam di negara ini.

"Soal akidah kita tidak boleh sentuh dan saya minta agar orang politik jangan mengambil kesempatan dalam isu ini.

"Pemimpin politik tanpa mengira parti perlu bersatu dan mempertahankan kesucian kalimah Allah ini agar tidak ada lagi golongan bukan Islam yang berani menghina agama Islam," jelasnya.

Sumber: Utusan
Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
orgtengah
SURAYA Yaacob (empat dari kanan) bersama wakil dari PPK yang menerima sijil dalam Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 16 Januari - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Kedah memperuntukkan RM1.98 juta bagi membina enam Pusat Belian Padi di negeri ini sejak 2011 dalam usaha menghapuskan peranan 'orang tengah' dalam sektor padi.

Pengarah LPP Kedah, Ismail Saleh berkata, pada tahun ini sebuah lagi Pusat Belian Padi akan dibuka di Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Padang Serai dekat sini dengan peruntukan berjumlah RM300,000.

Katanya, pusat tersebut dibina untuk memberi kemudahan pemasaran lepas tuai kepada ahli PPK khususnya yang terbabit dengan Projek Mini Estet Padi tanpa melalui orang tengah.

"Sekarang tiga pusat belian padi telah beroperasi iaitu di PPK Kuala Muda Selatan, Merbok dan Bandar Baharu, manakala tiga lagi pusat dalam persediaan untuk operasi adalah di PPK Langkawi, Asun dan Pendang.

"Paling baharu adalah Kilang Beras Kubur Panjang (KBKP) yang memperolehi semula status Pusat Belian Padi daripada Padi Beras Nasional Berhad (Bernas)," katanya selepas Majlis Pelancaran Pusat Belian Padi PPK Bersama Bernas di sini, hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Kebajikan Masyarakat, Pertanian dan Asas Tani dan Pembangunan Usahawan, Datuk Suraya Yaacob dan turut dihadiri oleh Pengurus Besar Kanan Bernas, Mohd. Azmy Abu Samah.

Ismail berharap, semua PPK dapat memberi kerjasama dengan Bernas bagi melaksanakan operasi pembelian padi secara tidak langsung akan mengurangkan risiko yang ditanggung PPK dalam menjalankan aktiviti ini termasuk berdepan risiko kerosakan hasil tuaian.

Beliau berkata, ahli PPK terdiri daripada petani memperoleh faedah menerusi kerjasama dengan Bernas seperti menerima tawaran bayaran secara bersepadu harga padi, subsidi dan komisen.

Katanya, pusat tersebut juga membuat bayaran kepada petani lebih cepat berbanding bayaran dibuat melalui orang tengah.

"Dalam masa sama, kewujudan pusat ini yang berada dalam kawasan mereka juga sekali gus akan membantu meningkatkan hasil pendapatan pesawah di negeri ini di mana petani datang terus ke pusat belian dan dapat menjimatkan kos pengangkutan mereka.

"Saya berharap supaya pusat belian padi PPK dengan persetujuan Bernas dapat memindahkan padi ke KBKP mengikut keperluan bagi memenuhi sasaran Pelan Perniagaan KBKP supaya matlamat pengeluaran padi 14,000 metrik per tan setahun tercapai," katanya.

Sumber: Utusan
ROSLINDA HASHIM
detinasiagongALOR SETAR 14 Januari - Langkawi merupakan destinasi kegemaran Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah apabila bercuti dalam negara, membuatkan sebuah istana dibina di pulau lagenda bagi kemudahan baginda.

Setiausaha Sulit Kanan kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Datuk Elmi Yusoff berkata, Bukit Malut dipilih sebagai lokasi istana berikutan baginda amat cintakan alam semulajadi, terutama kawasan rimba yang kehijauan.

“Tuanku Abdul Halim sangat sukakan alam semulajadi yang hijau dan prihatin dengan flora fauna, terutama haiwan dan baginda turut bercadang membuka sebuah mini zoo di kawasan Istana Bukit Malut pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya, Tuanku seorang yang penyayang kepada haiwan yang menghuni mini zoo di taman rimba di kawasan Istana Anak Bukit.

Baginda amat mengambil berat spesis haiwan dalam taman itu, antaranya burung, kuda dan rusa.

Haiwan ini juga sangat jinak dan mendapat perhatian khas kerana baginda turut menjaga kebajikan haiwan-haiwan itu secara pribadi.

Istana Bukit Malut dibina di puncak Bukit Malut sebagai Istana Hinggap Rasmi Sultan Kedah setaraf dengan pengisytiharaan Pulau Langkawi sebagai Permata Kedah pada tahun 2008.

Pada tanggal 27 November 2013, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong berkenan mencemar duli berangkat ke majlis persembahan kunci Istana Bukit Malut.

“Sejak istana itu siap dibina, baginda sudah bersemayam di situ untuk bercuti walaupun proses melengkapkan kemudahan masih berjalan,” katanya.

Tuanku Abdul Halim juga seorang peminat sukan terutama golf dan bola sepak, malah merupakan peminat nombor satu pasukan Hijau Kuning sejak dahulu lagi.

Pada tanggal 19 Januari ini, merupakan Hari Keputeraan baginda yang ke-86.

Sumber: Sinar
indeksjenayahALOR SETAR 14 Januari - Indeks jenayah di Kedah bagi tahun 2012 dan 2013 telah berjaya menurun sebanyak 13.62 peratus.

Ketua Polis Kedah, Datuk Ahmad Ibrahim berkata, penurunan kadar jenayah itu memberi satu kejayaan yang amat bermakna buat polis Kedah.

“Daripada indeks tersebut, didapati kadar jenayah kekerasan telah dapat dikurangkan sebanyak 6.64 peratus dan jenayah harta benda pula dapat dikurangkan sebanyak 15.24 peratus pada tahun 2013.

“Pada tahun ini, kita bandingkan pada waktu yang sama iaitu Januari 2013 dan Januari 2014, statistik itu menunjukkan penurunan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, di sini, semalam.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihak polis masih perlu bekerja keras untuk menangani dua kategori jenayah serius iaitu kecurian kenderaan dan pecah rumah.

“Walaupun kadar jenayah menurun, tetapi kategori jenayah ini masih perlu diberi perhatian,” katanya.

Pada perkembangan lain, Ahmad berkata, pada 9 Januari lalu, polis dari bahagian narkotik telah berjaya menangkap dua individu kerana memiliki dadah.

Beliau berkata, hasil tangkapan itu, pihak polis telah merampas heroin seberat 900 gram dan syabu seberat 102 gram yang bernilai hampir RM30,000.

Pada masa sama, pihaknya juga telah merampas sebuah kenderaan bernilai lebih RM40,000 yang digunakan suspek.

Mereka yang ditangkap akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan dengan kesalahan.

Sumber: Sinar
maritim
PEGAWAI Operasi Maritim Malaysia Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Lt. Madya Meor Hamzah Badrishah (dua dari kiri) memeriksa pukat tunda yang digunakan secara haram di Pangkalan Maritim Malaysia Kuala Kedah, kelmarin.

ALOR SETAR 10 Januari - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Wilayah Utara berjaya menahan sebuah bot nelayan pukat tunda berhampiran pantai Kuala Sala di sini semalam kerana menangkap ikan di kawasan yang tidak dibenarkan.

Ketua Pangkalan Maritim Kuala Kedah, Mohd. Khairi Abd. Aziz berkata, bot ronda Maritim Malaysia mula mengesan bot tersebut kira-kira pukul 8.35 pagi ketika sedang melakukan aktiviti menangkap ikan.

Beliau berkata, bot itu berjaya ditahan kira-kira pukul 8.45 pagi pada jarak 1.2 kilometer dari pantai Kuala Sala di sini dan turut ditahan semasa operasi tersebut ialah seorang warga tempatan yang berumur sekitar 30-an dan telah di bebaskan dengan jaminan polis.

"Aktiviti penggunaan pukat tunda di kawasan penangkapan di Zon A tidak di benarkan kerana banyak memberi kesan terhadap kemusnahan ekosistem di perairan negara.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut tidak mempunyai lesen, tiada nombor pendaftaran dan menggunakan peralatan yang tidak di benarkan (pukat tunda kecil)," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Menurut Mohd. Khairi, bot yang di tahan dibawa ke Pangkalan Maritim Kuala Kedah untuk siasatan serta pendakwaan dan kes itu akan di siasat di bawah Akta Perikanan 1985.

"Maritim Malaysia memandang serius aktiviti -aktiviti nelayan yang menyalahi undang-undang Maritim dan akan terus meningkatkan rondaan di sekitar kawasan perairan negeri ini,"jelasnya.

Selain itu, katanya, pihak Maritim Malaysia juga memerlukan bantuan daripada orang ramai supaya segera melaporkan sebarang kes penyeludupan dan jenayah maritim yang berlaku di perairan negeri ini.

Sumber: Utusan
ikan
Oleh MOHD. RAFIE AZIMI

ALOR SETAR 10 Januari - Harga ikan yang sebelum ini melambung di sekitar negeri ini dijangka stabil ekoran jumlah bekalan bekalan tersebut kembali pulih.

Pengarah Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri, Mohd. Sakri Saleh berkata, pemantauan dilakukan pihaknya mendapati harga 'ikan rakyat' seperti kembung dan selayang dilihat kembali pada paras normal iaitu sekitar RM4 sekilogram.

"Saya akui sebelum ini memang berlaku kenaikan sehingga ikan kembung dijual RM13 sekilogram. Begitu juga dengan barangan segar lain seperti ikan selar putih, udang dan sayuran yang mengalami kenaikan sehingga 20 peratus.

"Bagaimanapun, tinjauan kami kelmarin mendapati keadaan sudah 80 peratus pulih disebabkan nelayan sudah kembali ke laut.

"Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) juga sudah memberi jaminan bahawa bekalan ikan akan pulih sepenuhnya menjelang Mac apabila keadaan laut akibat perubahan iklim pulih," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.

Sementara itu, beliau mengakui terdapat khabar angin kononnya harga daging akan meningkat sehingga RM30 sekilogram akibat kekurangan bekalan.

"Sebenarnya perkara itu tidak berlaku. Apa pun, ada kemungkinan khabar angin itu berpunca daripada peniaga juga kerana mereka bimbang dengan cakap-cakap kononnya Thailand selaku pembekal lembu hidup terbesar ke negara ini dikatakan mula beralih arah ke China ekoran harga ditawarkan lebih tinggi," katanya.

Sumber: Utusan
kalimahAllah
ALOR SETAR 8 Januari - Kerajaan negeri Kedah hari ini mengulangi  pendiriannya bahawa penggunaan kalimah 'ALLAH' adalah khusus untuk orang Islam sahaja.

Menteri Besar Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir berkata pendirian itu selaras  dengan fatwa Kebangsaan dan keputusan Mahkamah Rayuan pada 14 Oktober lepas yang memutuskan kalimah 'ALLAH' adalah eksklusif untuk umat Islam.

"Kerajaan negeri menganggap penting untuk menyatakan pendirian ini secara  jelas bagi menghindari daripada sebarang perkara tidak diingini walau sekecil mana pun.

"Hubungan harmonis antara agama di Kedah sejak sekian lama meyakinkan kita bahawa pendirian ini langsung tidak akan menimbulkan masalah kepada mana-mana pihak," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini, hari ini.

Setakat ini, katanya kes berkaitan penggunaan kalimah 'ALLAH' oleh penganut agama lain agak terpencil, namun ketetapan perlu dibuat sebelum ia menjadi serius.

"Saya sudah berbincang dengan rakan-rakan lain bahawa kita perlu buat kenyataan jelas (berhubung perkara ini)," kata Mukhriz.

Dalam perkembangan lain, beliau memaklumkan bahawa Majlis Mesyuarat  Kerajaan Negeri bersetuju menubuhkan sebuah jabatan tadbir urus dan integriti bagi memantapkan lagi pentadbiran negeri ini.

"Kedah juga ingin mencontohi tadbir urus dan integriti  tinggi yang ditunjukkan oleh kerajaan Persekutan dan untuk itu, kita rasa sangat sesuai sebuah jabatan baru ditubuhkan," katanya.

Beliau berkata jabatan baru itu akan diketuai oleh seorang pegawai tinggi bertaraf N54 atau JUSA manakala timbalannya pula akan dicadangkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Langkah itu juga menujukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam soal tadbir urus dan integriti selain berharap ia dapat mendedahkan punca kegiatan tidak sihat seperti penyalahgunaan kuasa, katanya.

Sumber: Bernama
ROSLINDA HASHIM
amanatALOR SETAR 7 Januari - Sempena tahun baharu 2014, Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir mengingatkan kakitangan kerajaan agar melakukan pembaharuan yang positif terutama dalam pengurusan kewangan dan transformasi dalam pengurusan.

Katanya, pengurusan kewangan perlu diurus secara berhemah dengan membuat penjimatan dalam perbelanjaan.

“Ini tidak bermaksud ketepikan perkara penting yang perlu dibelanjakan atau tangguh, sebaliknya lihat pada keutamaan. Jika hasil daripada perbelanjaan itu memberi manfaat untuk jangka panjang, ia wajar diteruskan,” katanya, ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan pertama tahun ini, di Dataran Wisma Darul Aman, semalam.

Mukhriz berkata, walaupun penjimatan menjadi agenda utama, namun ia tidak akan menjejaskan perkhidmatan kepada rakyat.

“Saya juga mengingatkan agar jangan boros dan kurangkan perbelanjaan besar yang tidak beri faedah kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, kakitangan juga disaran lebih inovasi dalam menyalurkan idea bagi meningkatkan mutu perkhidmatan.

“Transformasi perlu konsisten, diharap kakitangan akan fikirkan inovasi untuk mempertingkat prestasi perkhidmatan agar lebih berkesan. Saya cadangkan semua unit dan jabatan kemukakan idea kepada bahagian masing-masing, dan keberhasilan yang berkesan kelak akan kita iktiraf dan beri sagu hati,” katanya.

Sumber: Utusan
tukarcamry
ALOR SETAR 7 Januari - Kedah bakal mengikut langkah kerajaan pusat apabila bercadang menukar kereta rasmi kerajaan negeri bagi kegunaan exco kepada Proton Perdana yang baharu.

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kereta itu bakal menggantikan kereta rasmi sedia ada, iaitu Toyota Camry, yang dibeli pada 2010 oleh kerajaan terdahulu.

“Kita sedang nantikan maklumat terperinci berhubung kelebihan menggunakan Proton Perdana baharu daripada pihak Proton.

"Kerajaan pusat sebelum ini memberi pertimbangan positif dan Kedah juga akan mempertimbangkan,” katanya, ketika ditemui, selepas perjumpaan bulanan bersama warga kerja Wisma Darul Aman yang pertama bagi tahun ini, semalam.

Menurutnya, pihaknya yakin ia suatu pilihan yang tepat kerana kereta rasmi kerajaan negeri digunakan setiap masa dan memerlukan kenderaan yang berkualiti.

“Tentunya kereta ini dapat memenuhi keperluan exco untuk turun padang ke pelosok negeri dan perjalanan ke Kuala Lumpur atas urusan rasmi. Ini juga antara inisiatif kita bahawa kereta buatan Malaysia juga berkualiti tinggi dan harus menjadi kebanggaan,” katanya.

Pada 11 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak melancarkan Proton Perdana berwajah baharu sebagai kenderaan rasmi kerajaan, menampilkan dua varian, iaitu Perdana 2.0 L dan 2.4 L dengan mempertingkatkan ciri-ciri keselamatan dan keselesaan.

Mengenai Toyota Camry sedia ada, Mukhriz berkata, kereta itu akan dijual kepada bekas-bekas exco.

“Perkara ini sudah diputuskan atas permintaan mereka yang mahu membeli kereta itu dan kitabersetuju,” katanya.

Namun, Mukhriz belum menetapkan tempoh tertentu untuk membuat pembelian kereta baharu itu.

“Apabila proses menggantikan kereta selesai, baru kita akan jual Toyota Camry itu. Saya tidak pasti bila, tunggu selesai proses pembelian dulu,” katanya.

Kerajaan PR Kedah membeli lima kereta Toyota Camry untuk kegunaan exco dan pegawai kanan pada Julai 2010, bagi menggantikan kereta rasmi, Proton Perdana V6 Eksekutif yang tidak lagi ekonomik digunakan kerana kerap rosak dan kos membaiki yang tinggi.

Pembelian lima kereta Toyota Camry dan empat kenderaan utiliti sukan (SUV) Toyota Fortuner itu mencecah RM1.2 juta.

Sumber: Sinar
Oleh OPAT RATTANACHOT
epembelajaran
BANDAR BAHARU 6 Januari - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah akan melaksanakan program e-pembelajaran di seluruh sekolah rendah di negeri ini secara berperingkat bermula Jun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi Kedah, Datin Norsabrina Mohd. Noor berkata, pelaksanaan program tersebut bertujuan meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum dalam murid sekolah rendah agar setanding dengan negeri-negeri lain.

Beliau berkata sebagai permulaan, Sekolah Kebangsaan (SK) Relau di sini dipilih sebagai sekolah perintis program tersebut.

"Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada dasarnya telah bersetuju dengan rancangan ini. Kerajaan negeri berpendapat bahawa kita perlu memperkasakan penduduk negeri ini dalam bidang teknologi maklumat dan salah satunya adalah melalui institusi sekolah," katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke sekolah-sekolah sekitar daerah ini baru-baru ini.

Norsabrina yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar Baharu berkata, program e-pembelajaran yang diperkenalkan tersebut juga dijangka meningkatkan lagi keupayaan murid sekolah dalam bidang teknologi maklumat dan perkembangan terkini.

"Sebelum ini ada sesetengah sekolah telah mengguna pakai sistem e-pembelajaran tetapi atas inisiatif sendiri dan juga sumbangan daripada persatuan-persatuan. Selepas ini kita berharap program tersebut dapat dijalankan secara menyeluruh termasuk di sekolah-sekolah luar bandar," katanya.

Sumber: Utusan
rehdaALOR SETAR 6 Januari - Kerajaan Kedah akan membantu Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (Rehda) menjual lebih 200 unit rumah kedai yang tidak terjual bernilai hampir RM100juta.
  
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan, Badrul Hisham Hashim berkata ini berikutan permintaan masyarakat terhadap rumah kedai di negeri ini agak hambar berbanding rumah kediaman yang sentiasa mendapat permintaan tinggi.
 
Beliau berkata ada rumah kedai yang siap dibina hampir 10 tahun tidak dapat dijual oleh pemaju bangunan komersial di bawah Rehda.
  
"Kerajaan negeri akan mengkaji kaedah yang sesuai bagi membolehkan lot rumah yang tidak terjual dapat dijual pada kadar harga yang berpatutan," katanya kepada pemberita ketika melawat Ekspo Pemilikan Hartanah Orang Melayu 2014 di sebuah pasaraya di sini hari ini.

Sumber: Bernama
MADA
PENDANG 5 Januari - Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) menyasarkan perolehan berjumlah RM90 juta daripada sektor industri asas tani dan bukan padi yang dikendalikan oleh agensi itu tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Othman Aziz berkata, pihaknya yakin sasaran itu mampu dicapai bersandarkan kejayaan cemerlang MADA meningkatkan perolehan dalam sektor berkenaan kepada RM81 juta tahun lalu berbanding cuma RM69 juta pada 2012.

Katanya, antara prospek produk yang diyakini mampu membantu mencapai sasaran tersebut ialah pengeluaran mangga Tobiar yang kian mendapat sambutan, selain produk-produk yang akan diperkenalkan termasuk kraf tangan, buah markisa dan cendawan shitake.

"Kita ada produk yang baik. Kraftangan kita contohnya, berkualiti tinggi serta unik kerana ada yang diperbuat daripada jerami padi. Sempena Tahun Melawat Malaysia 2014, saya yakin kedatangan pelancong yang berbelanja membeli barangan tersebut akan bertambah.

"Daripada sudut asas tani, saya tiada masalah, malah berbangga dengan kualiti produk dan pembungkusan, cuma kita perlu cari strategi betul untuk menembusi pasaran dan penetapan harga," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan lawatan ke Ladang Mempelam MOA Inc Tobiar di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengurus Besar MADA, Datuk Abdul Rahim Saleh; timbalannya, Datuk Rosli Baharom dan Pengarah Bahagian Industri Asas Tani dan Bukan Padi MADA, Zulkifli Romli.

Othman menambah, pihaknya dalam masa sama turut menyasarkan untuk membangun dan membimbing 2,500 usahawan berbanding cuma 2,309 orang tahun lalu.

"Daripada 2,309 orang itu, 1,801 adalah usahawan baharu iaitu mereka yang berpendapatan RM2,000 ke bawah sementara 508 lagi merupakan usahawan naik taraf iaitu yang berpendapatan RM2,000 ke atas.

"Sembilan daripadanya memperoleh pendapatan lebih RM1 juta setahun tetapi kami tidak akan berhenti di sini. Sedaya mungkin MADA akan terus melahirkan usahawan-usahawan berjaya pada masa akan datang," katanya.

Sumber: Utusan
tmm2014BUKIT KAYU HITAM 1 Januari - Kedah menyasarkan 5.4 juta pelancong asing mengunjungi negeri ini sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014).

Anggota Exco negeri Aminuddin Omar berkata beliau yakin sasaran itu boleh dicapai berikutan persiapan dan promosi yang dibuat pelbagai agensi pelancongan negeri dan persekutuan, khususnya Tourism Malaysia.

Katanya selain pulau peranginan dan bebas cukai terkenal, Langkawi, yang bakal menjadi pilihan utama pelancong, destinasi pelancongan lain di negeri ini juga diramal menjadi tumpuan ramai pelancong berikutan pelbagai program menarik yang disusun untuk menarik kehadiran mereka.

Beliau berkata sebahagian besar ketibaan 2.8 juta pelancong asing ke negeri ini pada tahun lepas direkodkan di pintu masuk utamanya iaitu Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi, Terminal Feri Kuah dan Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Bukit Kayu Hitam.

"Sasaran 5.4 juta itu juga berdasarkan perkembangan semasa serta faktor keselamatan dan keamanan dalam negara," katanya kepada pemberita selepas menyambut kedatangan pelancong sempena pelancaran TMM 2014 di ICQ Bukit Kayu Hitam, hari ini.

Menurut Aminuddin, insiden pengeboman di Danok, Sadao dan Padang Besar, Thailand yang bersempadan dengan Malaysia baru-baru ini juga akan mendorong pelancong asing memilih negara ini sebagai destinasi pelancongan.

Katanya kalendar TMM 2014 Kedah bermula dengan sambutan ulang tahun keputeraan Sultan Kedah pada 19 Januari, manakala satu daripada tiga Muzium Padi di dunia yang terletak di Alor Setar dan Lembah Bujang, yang merupakan antara tapak tamadun tertua di dunia, akan dieksploitasi sepenuhnya untuk menarik pelancong.

"Saya, bagi pihak kerajaan negeri, mengucapkan tahniah dan syabas kepada Tourism Malaysia, Jabatan Imigresen, Kastam dan agensi-agensi yang selama ini bekerjasama erat dan bekerja kuat meneruskan komitmen bersepadu bagi menjayakan TMM 2014," katanya.

Sementara itu, seorang guru dari Taiwan, Elise Wang, 32, yang ditemui disini berkata beliau sangat teruja sejak pertama kali menjejakkan kaki di Kuala Lumpur pada 27 Disember lepas.

Katanya selepas dua hari berada di Kuala Lumpur, rombongan 36 pelancong Taiwan yang disertainya berlepas ke Hatyai dan hari ini mereka kembali ke Malaysia untuk melawat beberapa tempat menarik di Kuala Lumpur selama dua hari lagi.

Rakan senegaranya, Chen Yi Chien, 55, pula berkata ini kali ketiga beliau berkunjung ke Malaysia.

"Saya sangat sukakan keadaan di sini kerana rakyat dan budaya masyarakatnya yang pelbagai. Makanan pula sedap-sedap belaka," katanya sambil menyuarakan hasrat untuk berkunjung ke Langkawi.

Sumber: Bernama