Oleh JAMLIAH ABDULLAH
JERAI
6 Julai - Pihak berkuasa agama negeri diingatkan supaya sentiasa
menggempur kegiatan mesin judi haram dan menguatkuasakan undang-undang
di bawah enakmen syariah masing-masing kepada penganut Islam yang
terjebak dengan kegiatan tidak bermoral itu.
Menteri
di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom (gambar)
berkata, usaha itu melibatkan banyak pihak seperti polis dan pihak
berkuasa tempatan (PBT) dan orang Islam yang terlibat perlu dikenakan
tindakan sewajarnya demi keutuhan akidah mereka.
"Jabatan
agama Islam negeri sentiasa kita ingatkan untuk menguatkuasakan
tindakan kepada orang Islam yang terjebak dengan judi ini bukan sahaja
di bulan Ramadan, malah di bulan-bulan lain.
"Ada
peraturan dan enakmen negeri-negeri yang memperuntukkan tidak
membenarkan orang Islam bermain mesin judi," katanya kepada pemberita
selepas menyampaikan sumbangan Ramadan iaitu buah kurma dan air zam-zam
kepada 44 imam masjid Parlimen Jerai di Guar Chempedak, di sini semalam.
Selain
itu, sempena Ramadan ini beliau turut menggesa agar pihak berkuasa
agama terbabit supaya lebih giat menjalankan pemantauan terhadap premis
perniagaan agar mematuhi larangan untuk tidak menjual makanan sebelum
pukul 3 petang.
"Peraturan
ini ditetapkan oleh pihak berkuasa agama dan pihak berkuasa tempatan,
namun ada juga berlaku pelanggaran kerana ada juga yang menjual sebelum
pukul 3 petang.
"Sebagai
penjual kita berniaga nak cari rezeki, jadi biarlah rezeki yang kita
cari itu halal walaupun makanan itu dasarnya halal tetapi kita jual
kepada orang yang tidak berpuasa, ini merupakan larangan.
"Jadi
di peringkat penguatkuasaan kita minta agar mereka lebih kerap membuat
pemantauan secara teratur ke atas mereka yang terlibat," katanya.
Sumber:Utusan