SEDIA EKSPORT IKAN KEMBUNG KE THAILAND



9sedia
ALOR SETAR 9 Julai - Sekiranya lambakan ikan kembung di negeri ini terus berlaku sehingga menyebabkan kejatuhan harga yang teruk, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) negeri bersedia meng­eksport ikan itu ke Thailand bagi memastikan pendapatan nelayan tidak terjejas.
Pengarahnya, Hamdan Mamat berkata, pihaknya akan mendapatkan kelulusan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan dibuat mengenai perkara itu.
“Ketika ini ikan kembung dikategorikan sebagai ikan rakyat menyebabkannya tidak dibenarkan dieksport ke luar negara. Begitu pun saya percaya, perkara ini boleh dilakukan bagi mengelakkan terlalu banyak lambakan kerana kita pernah mengeksport ikan kembung ke negara jiran beberapa tahun lalu.
“Lagipula, ikan kembung bersaiz kecil yang terlalu banyak dinaikkan kini sememangnya mendapat permintaan tinggi di Thailand dan saya fikir ini merupakan antara langkah terbaik yang boleh diambil,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Akhbar sebelum ini melaporkan, berlaku penurunan mendadak sehingga enam kali ganda terhadap ikan kembung bersaiz kecil yang dijual pada harga RM4 sekilogram berbanding antara RM22 hingga RM25 sekilogram, tiga bulan lalu.
Penurunan harga sejak Aidilfitri kedua itu melibatkan ikan kembung bersaiz kecil iaitu antara 20 hingga 26 ekor ikan dalam sekilogram.
Katanya, bersandarkan rekod pendaratan ikan tersebut yang kian meningkat, pihaknya tidak menolak kemungkinan harga ikan itu turun lagi selepas ini.
“Buat masa ini, lambakan ikan itu akan disimpan dalam peti sejuk beku dikenali sebagai individual quick freezing (IQF) berkapasiti 650 tan metrik yang dikendalikan Persatuan Nelayan Negeri Kedah (Nekad) bagi memastikan kesegaran dan kualiti ikan tidak menurun untuk satu tempoh yang lama.
“Ikan ini kemudiannya akan dikeluarkan dan dijual selepas jumlah ikan didaratkan berku­rangan,” katanya.
Menurutnya, mengikut catatan semalam, sebanyak 185,000 tan metrik ikan didaratkan dengan lebih 60 peratus daripadanya adalah ikan kembung menjadikannya pertambahan ketara berbanding jumlah keseluruhan pendaratan ikan pada Isnin lalu iaitu 116,000 tan metrik.
Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati harga ikan kembung masih dikekalkan pada paras RM4 sekilogram.
Begitu pun kebanyakan peniaga memberi diskaun pada harga RM10 untuk pembeli yang membeli sebanyak tiga kilogram.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan