LAPOR SEGERA JIKA TERLIBAT DADAH



9lapor
SUNGAI PETANI 9 Julai - Jabatan Pendidikan Negeri (JPN), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan pihak sekolah digesa untuk tidak melindungi serta melaporkan segera sebarang kes penyalahgunaan dadah melibatkan kakitangan, guru atau pelajar.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengangkutan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) merangkap Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) Negeri Kedah, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, langkah itu perlu dibuat jika mahu usaha membanteras najis dadah, berjaya.
"Saya tidak mahu mana-mana bahagian pengurusan sama ada JPN, PPD atau sekolah, melindungi mana-mana individu yang terlibat dengan penyalahgunaan dadah," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program My Beautiful Pemadam di Kampung Segantang Garam dekat sini, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai penahanan seorang guru sekolah bersama 13 lagi individu yang disyaki terlibat dalam penagihan dadah, menerusi Op Segantang Garam yang dijalankan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini, semalam.
Tajul Urus yang juga Adun Tanjung Dawai berkata, berdasarkan rekod, guru sekolah terbabit sudah tiga kali ditahan dan diberi amaran sebelum sekali lagi dicekup sewaktu mahu melepaskan gian, semalam.
"Guru berkenaan sebelum ini tidak berkhidmat selama setahun, tahun lepas, tetapi kita akan lihat kembali bagaimana dia boleh kembali mengajar di sekolah.
"Satu jawatankuasa khas akan diwujudkan segera bagi mencari alternatif agar keluarga tampil mendaftarkan anggota keluarga mereka yang terlibat dengan dadah, untuk kita bantu golongan itu bebas dadah," katanya.
Dalam perkembangan sama, Tajul Urus turut menggesa pihak berkuasa agar dapat meneliti semula undang-undang sedia ada yang berkaitan dengan penyalahgunaan dadah memandangkan pelaksanaannya kini dilihat tidak memberikan impak positif.
Sementara itu, Program My Beautiful Pemadam hari ini yang melibatkan pelbagai pihak dan agensi, tertumpu kepada kerja membersihkan lokasi penagihan dadah di Kampung Segantang Garam, yang diserbu semalam, melibatkan kerja meroboh pondok penagih yang didirikan di sepanjang laluan sejauh lebih 200 meter, bersebelahan kolam ternakan udang dan hutan paya bakau.
Tajul Urus berkata, Kuala Muda merupakan antara daerah yang tertinggi jumlah penagih berdaftar di negeri ini, iaitu 1,180 orang bagi tempoh sehingga Jun tahun ini.
"Selain Segantang Garam yang mempunyai dua buah kampung iaitu Kampung Segantang Garam dan Kampung Kuala Segantang Garam, dua lagi lokasi aktif di Kuala Muda ialah Kota Kuala Muda dan Kongsi 11," katanya.
Sumber : Sinar