SASAR GEOPARK KEBANGSAAN



14sasar
BEDONG 14 Mac – Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mensasarkan Geopark Jerai yang unik berbanding geopark lain di dunia dapat diiktiraf sebagai geopark kebangsaan selewat-lewatnya tahun ini.
Ketua Pengarahnya, Datuk Mior Sallehhuddin Mior Jadid berkata, Geopark Jerai diistilahkan unik kerana kepelbagaian geotapak mineral, faktor impak geoarkeologi Sungai Batu dan keunikan biosfera Hutan Paya Bakau Merbok yang terdapat di situ.
Menurutnya, Geopark Jerai merupakan salah satu calon geopark kebangsaan selain empat lagi calon yang lain termasuk Geopark Lembah Kinta, Geopark Tasik Kenyir, Geopark Kinabalu dan Geopark Delta Sarawak yang masih menunggu proses pengiktirafan sebagai geopark kebangsaan.
“Kita harapkan Geopark Jerai boleh diiktiraf pada tahun ini selain Geopark Lembah Kinta juga berada dalam proses akhir, kalau boleh kita nak kedua-dua ini dapat diiktiraf sebagai geopark kebangsaan selewat-lewatnya tahun ini,” katanya.
Beliau ditemui ketika melancarkan Ekspedisi Saintifik Geotapak 2017 di Harvard Suasana Hotel, Bedong, Kedah semalam.
Hadir sama, Pegawai Daerah Kuala Muda, Md Nordin Yahya.
Menurut Mior Sallehhuddin, kira-kira 95 peratus laporan Geopark Jerai sudah siap dan sekiranya lengkap serta mendapat perakuan daripada Kerajaan Negeri Kedah, diharapkan ia tercalon dan diiktiraf sebagai geopark kebangsaan.
Beliau berkata, menerusi ekspedisi yang dijalankan selama dua hari itu, sebanyak sembilan daripada 25 geotapak yang telah dikenal pasti lebih awal, akan dilawati peserta ekspedisi untuk direkodkan dari segi keunikan, sosio budaya, arkeologi, flora dan fauna yang terdapat di kawasan itu.
Katanya, cadangan Geopark Jerai meliputi dua daerah iaitu Kuala Muda dan Yan dengan keluasan merangkumi 500 kilometer persegi.
Terdapat geotapak yang telah dipasang papan tanda dan dilakukan pemuliharaan iaitu kaki Gunung Jerai, Pusat Rekreasi Titi Hayun dan Singkir Laut.
Sebelum ini, Langkawi merupakan geopark pertama diiktiraf di Malaysia, telah mendapat pengiktirafan sebagai Langkawi Unesco Global Geopark 10 tahun lalu dan geopark yang pertama diiktiraf di Asia Tenggara.
Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
Sumber : Sinar