29sungai
YAN 29 Mac - Keadaan sungai sepanjang tiga kilometer di Jalan Batu 22 menghala ke Yan, di sini, yang dipenuhi semak samun didakwa menjadi punca berlakunya banjir.
Penduduk, Azmi Ahmad, 55, berkata, situasi itu menyebabkan aliran air sungai tidak dapat mengalir dengan lancar.
"Bila hujan lebat, air melimpah ke jalan dan masuk ke rumah penduduk.
"Kami sudah membuat laporan kepada Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada), namun difahamkan kawasan tersebut bawah seliaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS),” katanya.
Tambahnya, setiap kali hujan penduduk kampung berdekatan turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan meletakkan barang berharga di tempat tinggi.
“Keadaan bertambah buruk jika pada masa sama air laut pasang, ini menyebabkan air naik mendadak,” jelasnya.
Katanya, beberapa bulan lalu, kampung berkenaan mencipta sejarah apabila terpaksa membuka pusat pemindahan banjir ekoran masalah itu.
“Kira-kira 50 rumah terjejas ketika itu dan penduduk berkampung di pusat pemindahan,” katanya.
Tiada lagi kerja selenggara
Seorang lagi penduduk, Mohd Fadzli Ramli, 45, mendakwa, sebelum ini kawasan sungai yang bermula dari Teroi hingga ke Titi Serong itu diselenggarakan dengan baik oleh pihak berwajib.
“Namun sejak kebelakangan ini, tiada lagi kerja penyelenggaraan dijalankan.
"Kami tidak mampu membersihkan sungai ini meskipun dilakukan secara bergotong-royong kerana ia melibatkan jentera berat dan kos tinggi,” jelasnya.
Mohd Fadzli berkata, rumahnya juga pernah dimasuki air lebih daripada 10 kali dan keadaan itu menyebabkan mereka sekeluarga kecewa.
“Jika hujan lebat, kami perlu mengambil langkah berjaga-jaga. Padi turut terjejas dan rosak jika ditenggelami air. Ini memberi kesan berganda kepada kami untuk menanggung kos kerugian,” katanya.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Mohd Rashid Ariffin, 55, berkata, laporan berhubung masalah itu telah dibuat kepada pihak berwajib.
“Harapan kami, agar pihak terlibat mengambil tindakan segera bagi memastikan masalah penduduk diselesaikan,” katanya.
Penyelenggaraan ikut keutamaan
Sementara, Pengarah JPS Kedah, Kamal Mustapha ketika dihubungi berkata, sungai asal yang tidak diubah adalah bawah seliaan JPS, manakala sungai yang telah diubah keadaannya sama ada dikorek atau sebagainya, adalah bawah seliaan Mada.
“Punca utama berlakunya banjir adalah sampah yang menghalang aliran air. Disebabkan itu, JPS giat menjalankan kempen kesedaran kepada orang ramai akan kepentingan menjaga sungai.
"Amalan membuang sampah ke dalam sungai harus dielakkan agar sentiasa terpelihara,” katanya.
Tambahnya, sikap kurang prihatin komuniti yang gemar membuang sampah ke dalam sungai antara tabiat yang sukar ditangani.
“Sikap komuniti harus diubah terlebih dahulu, untuk bersama JPS menjaga kebersihan sungai selain kerja penyelenggaraan yang dijalankan.
"Kita menjalankan kerja-kerja penyelenggaraan mengikut peruntukan di mana peruntukan itu diagihkan mengikut keutamaan,” jelasnya.
Sumber : Sinar


29adik
BALING 29 Mac - Seorang adik sanggup berkorban masa dan tenaga bagi menjaga abang serta kakaknya yang juga orang kurang upaya (OKU) termasuk seorang ibu yang uzur.
Zainaf Omar, 55, dari Kampung Seberang Pekan berkata, dia tabah dan setia menguruskan kakak sulungnya, Maimunah, 62, abang ketiga, Mansor, 56, yang hanya mampu mengengsot serta ibu, Som Itam, 84, akibat sakit tua.
"Mansor tak boleh berjalan selepas jatuh di sekolah masa 9 tahun. Maimunah pula pernah demam panas dan tiba-tiba hilang keupayaan bergerak selepas berusia 25 tahun," katanya.
Menurutnya, keadaan kesihatan kedua-dua OKU berkenaan semakin merosot sejak empat tahun lalu.
“Sebelum ini walaupun mengesot, kedua-duanya masih boleh makan dan minum seperti biasa, namun sejak empat tahun lalu, abang dan kakak terpaksa disuap dan diuruskan termasuk membersihkan najis,” katanya.
Zainaf berkata, Maimunah mengidap masalah jantung dan darah tinggi manakala Mansor masalah mental.
“Kedua-duanya perlu bergantung kepada ubat-ubatan daripada hospital setiap masa, tiga bulan sekali perlu dibawa jumpa doktor untuk rawatan
“Ubat perlu diambil setiap masa dan langsung tak boleh tinggal, sebelum ini Mansor terpaksa dikurung dalam bilik, namun dua bulan lalu keadaan mentalnya makin pulih,” katanya.
Bagaimanapun katanya, Mansor masih perlu dipantau rapi dan perlu dikurung sekiranya bertindak agresif.
Zainaf berkata, selain menguruskan makan minum dan perubatan, dia juga berdepan pelbagai karenah.
“Kadang-kadang Maimunah dan Mansor bertengkar sesama sendiri. Mereka buang najis di ruang tamu dan saya terpaksa bersihkan,” katanya
Difahamkan, penjagaan Maimunah dan Mansor bergantung kepada bantuan bulanan RM300 setiap seorang daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling .
Som Itam yang merupakan ibu tunggal menerima RM600 setahun daripada Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK) Cawangan Baling.
“Tanpa bantuan memang sukar sebab saya tidak ada pekerjaan tetap dan masih menanggung dua anak berusia 21 serta 25 yang belum berkahwin.
“Kami tujuh beradik, abang, kakak termasuk adik nombor enam yang bisu turut membantu, tetapi masing-masing ada tanggungan sendiri,” katanya .
Terdahulu, wakil Pejabat Dun Bayu, Jhangir Khan Kathem Khan menziarahi keluarga itu semalam.Keluarganya turut dapat perhatian Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.
Untuk bantuan boleh hubungi Zainaf di talian 017-4938553.
Sumber : Sinar


27cadang
ALOR SETAR 27 Mac - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Muzium Islam negeri Kedah bagi mempamerkan artifak serta monumen berkaitan Islam di negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Beliau berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat exco akan datang kerana selain menelan belanja yang besar, artifak yang mencukupi juga perlu dikumpulkan sebelum dipamer kepada awam.
"Ia bukan mudah kerana kita kena tahu apa barangan yang kita kena kutip sama ada daripada penduduk negeri ini, kerana ada yang patut kita beli dan ada yang perlu kita minta pihak swasta membantu malah kita perlu bertanggungjawab terhadap barangan tersebut," katanya kepada pemberita pada majlis perasmian Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman: Artifak Rasulullah S.A.W dan para sahabat di Muzium negeri di sini, hari ini.
Ahmad Bashah berkata, dengan kewujudan Muzium Islam Kedah ia akan menjadi daya tarikan terbaru negeri Kedah selain menyediakan platform terbaik bagi para pelajar mengenali sejarah Islam lebih dekat.
"Saya mengambil contoh, Muzium Padi yang mempunyai barangan dan peralatan menanam padi yang tidak ada pada masa kini untuk tontonan umum," katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Bashah berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan mana-mana pihak menganjurkan pameran ketamadunan bagi mendedahkan kepada pelajar tentang tamadun-tamadun yang ada di dunia sebelum ini.
"Saya juga mempelawa mana-mana pihak untuk mempamerkan tamadun China dan India di sini bagi memberi pengetahuan sejarah secara lebih dekat dan mendalam kepada pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum," katanya.
Pameran Pendidikan Tamadun Islam yang bermula 20 Mac hingga 19 April depan menghimpunkan 27 artifak bernilai tinggi tinggalan Rasulullah S.A.W dan para sahabatnya.
Antara yang dipamerkan ialah penutup makam Rasulullah, capal, cop mohor, tapak kaki, serban, rambut, janggut, darah bekam Rasulullah, tapak kaki, kunci pintu Kaabah dan pedang para sahabat Rasulullah.
Sehingga hari ini, seramai 18,000 orang telah berkunjung ke Muzium negeri sejak ia dibuka tujuh hari lalu.
Sumber : Sinar



    27langkah
    SUNGAI PETANI 27 Mac - Sungai Petani merupakan bandar kedua terbesar di negeri ini yang berdepan masalah pencemaran serius di sungai yang menjadi nadi kepada sistem saliran bandar ini.
    Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kedah, Kamal Mustapha berkata, antara punca pencemaran yang dikenal pasti ialah pencerobohan rizab sungai, sistem kumbahan yang kurang baik, pembuangan sisa minyak kenderaan dari bengkel ke dalam longkang.
    “Masalah pembuangan sampah sarap, pembukaan tanah tanpa kawalan serta pembuangan sampah terus ke dalam sungai turut boleh menjejaskan pertumbuhan Bandar Sungai Petani,” katanya semalam.
    Kamal berkata, keadaan itu perlu diberi perhatian serius selaras dengan perancangan kerajaan untuk mewujudkan bandar bersih dan indah, rakyat yang sihat serta cergas.
    Menurutnya, pemilihan bandar itu sebagai lokasi Program Kesedaran Alam Sekitar sempena Sambutan Hari Air Sedunia Peringkat Negeri anjuran JPS Kedah adalah langkah tepat.
    Beliau berkata, Sungai Petani sepanjang 12 kilometer itu adalah sub lembangan Sungai Merbok di mana ia mempunyai kawasan tadahan seluas 37.5 kilometer persegi di Kuala Muda.
    "Sungai itu dipilih sebagai projek perintis pengurusan lembangan sungai secara bersepadu di negeri ini di bawah program Satu Negeri, Satu Sungai pada Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) lalu," katanya kepada Sinar Harian.
    Menurutnya, program kesedaran itu juga bertepatan kerana pertumbuhan pembangunan yang pesat di kawasan Sungai Petani.
    Tambahnya, hasil daripada pelaksanaan program kesedaran alam sekitar seperti itu sehingga tahun 2015 membantu meningkatkan kualiti air Sungai Petani daripada kelas IV (keempat) meningkat kepada kelas II/III (dua, tiga).
    Justeru itu katanya, usaha itu tidak dapat diteruskan dan direalisasikan oleh JPS sahaja tanpa kerjasama daripada pelbagai agensi berkaitan.
    “Untuk kali ini program bertemakan ‘water & wastewater’ akan dirasmikan oleh Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim.
    “JPS Kedah berkolaborasi dengan jabatan dan agensi lain secara langsung atau tidak langsung dengan sumber air, antaranya Lembaga Sumber Air Negeri (LSAN), Jabatan Alam Sekitar Negeri, serta Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK).
    “Agensi lain turut terlibat termasuklah, Jabatan Perhutanan Negeri, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCORP) serta Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (Sada),” katanya.
    Sumber : Sinar


    26akan
    TANJUNG DAWAI 26 Mac - Sebanyak 300 buah rumah projek Penempatan Semula Nelayan (PSN) Tanjung Dawai yang dijanjikan kerajaan pada 2012, kini siap sepenuhnya di mana penyerahan kunci pemilikan akan dilakukan sebelum Ramadan nanti oleh perdana menteri.
    Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, projek berkenaan yang mula dibangunkan pada 2013 itu dijadualkan siap pada 2015, namun berlaku kelewatan disebabkan beberapa masalah teknikal termasuk mendapan tanah di kawasan tapak projek.
    Bagaimanapun, katanya, semua permasalahan telahpun diatasi dan projek berkenaan yang bertujuan meringankan beban nelayan akan dikenakan bayaran kurang RM150 sebulan selepas dibuat penilaian dan ditolak subsidi oleh kerajaan.
    "Sebentar tadi sebelum ke majlis ini saya telah melawat projek PSN Tanjung Dawai. Saya telah diberi taklimat perkembangan projek itu dan saya berbangga untuk memberitahu bahawa projek itu telah siap.
    "Walaupun sebelum ini berlaku kelewatan menyiapkan projek atas beberapa masalah, Alhamdulillah akhirnya rumah berkenaan akan dapat diduduki tidak lama lagi," katanya ketika selesai melakukan penyerahan Elaun Sara Hidup Nelayan di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di sini hari ini.
    Difahamkan, projek itu meliputi 300 unit rumah berkembar satu tingkat, empat unit kedai, sebuah surau, sebuah dewan, sebuah tadika, gelanggang futsal, taman permainan dan gelanggang futsal.
    "Setakat ini sudah 50 peratus pemohonan sudah diluluskan , ini merupakan janji perdana menteri kepada nelayan Tanjung Dawai," katanya.
    2012 lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan akan menghadiahkan projek PSN Tanjung Dawai sekiranya Barisan Nasional berjaya menguasai semula Kedah dalam PRU13.
    Oleh : Siti Zubaidah Zakaraya
    Sumber : Sinar



      25tiga
      LANGKAWI 25 Mac - Malaysia, Indonesia dan Filipina akan menandatangani satu perjanjian bagi melaksanakan misi bersama dalam usaha mempertingkatkan tahap keselamatan di Laut Sulu.
      Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, beliau dan rakan sejawatannya dari Indonesia dan Filipina akan berada di Sabah dalam tempoh terdekat bagi tujuan tersebut.
      “Majlis itu melibatkan perjanjian tiga negara berkenaan dalam melihat keselamatan Laut Sulu yang merupakan inisiatif yang bukan sahaja kita impikan, tetapi kepada tahap operasi seperti rondaan laut bersama dan pemantauan dari udara.
      “Pihak kepemimpinan terting­gi negara telah memberi kita mandat untuk memikirkan usaha baru dalam mempertingkatkan keselamatan Laut Sulu,” kata­nya dalam sidang akhbar selepas mengambil bahagian dalam majlis Dialog Transformasi Nasional 50 (TN50): Masa Depan Pertahanan Negara di Resort World Langkawi di sini hari ini.
      Yang hadir sama, Menteri Belia dan Sukan, Brigedier Jeneral Khairy Jamaluddin merangkap Komander Rejimen 508 Askar Wataniah; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohd. Zain dan Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamed Afendi Raja Mohd, Noor.
      Dialog tersebut merupakan salah satu acara yang diadakan sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ‘17) yang berakhir hari ini selepas dibuka kepada pelawat perdagangan dan awam sejak Selasa lalu.
      Sebanyak 600 pelajar yang menyertai pasukan seragam di institusi pe­­nga­jian ting­­­gi seper­ti­ Pasukan La­tihan Pe­­­gawai Sim­panan (Pa­lapes) Uni­­versiti Awam ter­ma­­suk pelajar­ Univer­siti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) me­ngambil bahagian dalam dialog ter­sebut.
      Hishammuddin berkata, inisiatif keselamatan di Laut Sulu bukan sahaja bertujuan mahu mengekang kes penculikan oleh pengganas Abu Sayyaf di perairan tersebut tetapi yang lebih pen­ting, bagi menyekat kumpulan militan Daesh di rantau ini.
      Beliau berkata, gabungan pa­sukan keselamatan tiga negara itu dalam inisiatif Laut Sulu mampu mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di perairan ber­kenaan.
      “Ini penting kerana pengganas Abu Sayyaf telah berbaiah dengan militan Daesh dalam mengembangkan pengaruh me­reka,” ujarnya.
      Keadaan itu katanya, boleh mengancam keselamatan negara-negara di rantau ini dan bagi Malaysia, Sabah adalah negeri yang paling hampir dengan ancaman daripada pengganas Abu Sayyaf.
      Sumber : Utusan

      25laung
      BALING 25 Mac - Empat remaja melaungkan azan secara bergilir-gilir selama setengah jam selepas ribut kuat melanda rumah mereka di Kampung Sungai Tembak B, Mukim Kupang, petang kelmarin.
      Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 hingga enam petang itu, empat remaja berkenaan, Alimi Shahrul Nizam, 14, Mohd Yusof Mohd Kharizam,10, Ahmad Fahim Muhd Fakharozi dan Mohd Hadi Hamizan,10, melaungkan azan selepas bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga.
      Alimi berkata, angin pada petang itu begitu kuat hingga memaksa dia bersama tiga sepupu, nenek dan datuk saudara berkumpul di ruang beranda.
      “Angin memang kuat hingga kami di sini tak nampak apa-apa. Bimbang sesuatu buruk berlaku, saya dan tiga sepupu lain berpakat azan ikut giliran,” katanya.
      Menurutnya, ribut yang tidak berhenti menyebabkan mereka berempat tidak putus asa melaungkan azan dan berdoa.
      “Apa yang berlaku adalah kehendak dan kekuasaan ALLAH,”katanya.
      Neneknya, Khalifah Yaacob,66, berkata, dia menyaksikan sendiri bagaimana ribut tersebut berhenti selepas berkali-kali azan dilaungkan empat cucunya.
      Menurutnya, mereka juga selamat daripada sebarang perkara tidak diingini biarpun bumbung bahagian dapur dan bilik air rosak akibat dihempap pokok durian.
      “Bila ribut berhenti, makcik dan yang lain keluar dan terkejut tengok bumbung rumah rosak ditimpa pokok durian.
      “Tak ada siapa dengar bunyi pokok itu hempap pokok rumah sebab angin waktu itu sangkat kuat, macam bunyi serombong kapal. Apa pun alhamdulillah tak ada siapa yang cedera," katanya kepada Sinar Harian.
      Pokok tumbang
      Penduduk, Mohd Fakharurazi Md Rejab berkata, tiada siapa berani keluar dari rumah ketika ribut melanda kampung berkenaan.
      “Keadaan sangat bahaya kepada penduduk. Angin ribut sangat kuat hingga pintu rumah, saya nak tutup pun tidak boleh.
      “Banyak pokok-pokok tumbang di kampung ini termasuk mengakibatkan kerosakan bumbung rumah penduduk, beberapa tahun lalu pun ribut kuat pernah berlaku di kampung ini,” katanya.
      Seorang lagi penduduk, Mazni Ngah, 35, berkata, pokok machang berusia 30 tahun di hadapan rumahnya tumbang.
      “Bila pulang dari kerja, pokok machang milik ibu dah tumbang halang jalan, memang saya terkejut,”katanya.
      15 kampung terlibat
      Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, ribut kelmarin turut melibatkan 14 kampung lain dengan bilangan rumah terjejas sebanyak 64 rumah.
      Menurutnya, kebanyakan rumah penduduk yang rosak melibatkan bahagian bumbung.
      “Ada rumah penduduk yang rosak hingga 50 peratus, dalam kejadian sama dua kenderaan jenis MPV rosak ditimpa pokok.
      “Berdasarkan laporan, lapan pokok tumbang di atas bumbung rumah hingga menyebabkan kerosakan, kediaman lain rosak berpunca dari ribut,” katanya.
      Beliau berkata, JKM memberikan Bantuan Segera Bencana bagi meringankan beban.
      “JKM Baling juga sedang membuat siasatan rapi sebelum kita salurkan pula Bantuan Pemulihan Bencana,”katanya.
      Sementara itu, Adun Kupang, Datuk Harun Abd Aziz menyampaikan Bantuan Rakyat Kedah (Barakah) kepada mangsa terlibat.
      Oleh : Muhammad Ammar Mubassyir
      Sumber : Sinar


      24rumah
      YAN 24 Mac - Sudah 10 tahun, pasangan warga emas dari Kampung Kuala Dulang Besar, di sini, menumpang di tanah milik orang lain malah rumah yang didirikan kini kian reput dimakan anai-anai.
      Ahmad Mat Isa, 70, berkata, tapak rumahnya itu adalah kepunyaan tuan sawah yang diusahakan olehnya dan isteri, Bunga Mat Isa, 61.
      Menurutnya, rumah yang mereka duduki kini dibina sendiri dengan membeli kayu milik orang kampung.
      “Dah 10 tahun lalu kami berteduh di sini dan alhamdulillah tuan tanah amat memahami keadaan kami.
      “Tambahan pula, sawah di hadapan rumah ini kami usahakan dengan baik dan mungkin atas sebab itu kami mendapat kepercayaan penuh dari tuan tanah untuk tinggal di rumah ini,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
      Dalam pada itu, Ahmad masih mengharapkan rumah yang dijanjikan oleh bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir dibina bagi membolehkan dia dan isteri berteduh.
      "Dulu Datuk Seri ada janji nak bagi rumah tapi sampai sekarang tak tahu la apa status rumah itu.
      “Saya agak runsing memikirkan rumah sekarang yang hampir roboh dimakan anai-anai dan sangat berharap dapat memiliki rumah yang dijanjikan,” katanya.
      Pasangan ini mempunyai lapan anak dan semua anak mereka sudah mempunyai keluarga masing-masing.
      Katanya, dia sendiri sudah tidak bekerja sejak dua bulan lalu kerana sakit lutut akibat kemalangan dan semuanya bergantung pada isterinya untuk membeli keperluan harian.
      “Syukur alhamdulillah, Zakat Kedah ada memberikan sumbangan RM450 sebulan dan ia banyak membantu saya dan isteri meneruskan hidup,” jelasnya.
      Oleh : Norjuliana Yaacob
      Sumber : Sinar


      24pameran
      ALOR SETAR 24 Mac - Pameran Pendidikan Tamadun Islam Mendahului Zaman, Artifak Rasulullah S.A.W dan Para Sahabat di Muzium Negeri Kedah di sini, bukan sahaja menarik umat Islam tetapi juga bukan Islam sejak pameran dibuka pada Isnin.
      Pengarah Lembaga Muzium Kedah Suhaidi Shukri berkata kehadiran pengunjung bukan Islam ke pameran itu rata-rata atas dasar ingin tahu mengenai Islam dan Rasulullah S.A.W.
      “Bagi pelawat bukan Islam, mereka perlulah berpakaian menutup aurat dan menjaga tatatertib kerana artifak ini pernah dipegang dan digunakan Rasulullah dan para sahabat dalam perjuangan menegakkan Islam,” katanya pada lawatan khas media di pameran itu, di sini semalam.
      Suhaidi berkata pihaknya menyasarkan kehadiran 300,000 pengunjung sepanjang sebulan pameran berlangsung sehingga 19 April ini.
      “Dalam tempoh tiga hari pameran berlangsung, kita menerima kira-kira 7,000 pelawat,” katanya.
      Sementara itu, Pengurus projek Razali Bachik berkata Kedah merupakan negeri keempat selepas Kelantan, Melaka dan Putrajaya yang dipilih menjadi tuan rumah pameran tersebut.
      “Usaha sama dengan Galeri Warisan M.A.R telah memberi peluang kepada kita membawa masuk artifak asli tersebut yang dipinjam dari Makkah, Madinah, Syria, Oman, Turki, dan Yaman bagi tatapan eksklusif penduduk negeri ini,” katanya
      Sebanyak 25 artifak dipamerkan antaranya ialah rambut, janggut, tapak kaki, serban, tongkat, busur, panah serta cop mohor milik Rasullulah S.A.W.
      Seorang pengunjung, Zainab Omar, 54 yang juga guru Sekolah Menengah Kebangsaan Sik, berkata pameran itu memberi peluang kepadanya untuk mengetahui lebih mendalam sejarah perjuangan Rasulullah S.A.W.
      “Selain timbul rasa cinta kepada Rasullah dan perjuangan baginda, saya juga dapat mengambil gambar artifak-artifak yang ada untuk dijadikan bahan pengajaran bagi subjek Tamadun Islam,” katanya.
      Pameran itu dibuka dari 10 pagi hingga 10 malam dan harga tiket ialah RM20 bagi pengunjung berusia 16 tahun ke atas, RM10 (6-15 tahun) dan percuma bagi kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
      Sumber : Sinar



        23segera
        BEDONG 23 Mac - Syarikat Air Darul Aman (Sada) diminta segera menyelesaikan gangguan bekalan air yang dialami penduduk kampung di kawasan Tanjung Dawai, sejak sebulan lalu.
        Penduduk dari beberapa buah kampung berdekatan melahirkan kebimbangan terhadap masalah itu walaupun bekalan air sudah pun kembali pulih, kelmarin.
        Amran Yahaya, 54, dari Kampung Nelayan berkata, pihaknya berharap bekalan air dapat dibekalkan secara konsisten selain mahu Sada menyediakan pelan penyelesaian yang berkesan.
        “Kami mahu Sada selesaikan masalah gangguan bekalan air sepenuhnya tidak mengira musim panas atau kemarau di kawasan ini.
        "Apabila isu ini dibangkitkan penduduk, pihak Sada hanya maklum akan baiki dan naik taraf, namun masalah tidak selesai juga,” katanya.
        Menurutnya, penduduk sudah lali dengan jawapan yang diterima dan mereka tidak mahu lagi mendengar maklum balas di mana tiada jaminan masalah itu akan berakhir.
        “Tiada sebarang tindakan diambil untuk menyelesaikan masalah bekalan air khususnya di Dun Tanjung Dawai, sehingga kini.
        "Namun, faktor kekeruhan air sering dijadikan alasan setiap kali tiba musim panas atau kemarau,” katanya ketika ditemui Sinar Harian, semalam.
        Penduduk terbeban
        Amran yang hanya bekerja kampung berkata, penyelesaian sepenuhnya akan membantu penduduk yang majoritinya bekerja sebagai nelayan.
        “Kami terbeban dengan kos tambahan yang terpaksa ditanggung setiap kali berlaku gangguan bekalan air.
        "Bukan sahaja rutin harian terganggu, penduduk juga tertekan dengan kos perbelanjaan tambahan seperti membeli bekalan air mineral, upah dobi dan perbelanjaan membeli bekas takungan,” katanya.
        Menurutnya, peniaga kecil yang memiliki warung juga terpaksa menutup perniagaan kerana tidak mempunyai bekalan air.
        "Walaupun alasan diberikan Sada memerlukan masa untuk kerja-kerja naik taraf loji rawatan air terlibat, pada masa sama Sada perlu mencari penyelesaian alternatif dalam tempoh terdekat.
        “Contohnya, di Kampung Nelayan terdapat sebuah tangki air tetapi sudah lama rosak. Jika tangki itu dibaiki, ia membantu bekalan bagi tempoh seminggu dan memendekkan tempoh gangguan bekalan air. Dapatlah penduduk membuat persediaan awal dan menjimatkan kos khususnya keluarga berpendapatan rendah dan mempunyai ahli keluarga ramai,” katanya.
        Terpaksa tutup warung
        Aminah Mohamed, dari Kampung Nelayan turut mengeluh kerana terpaksa menutup warung makanan gara-gara berlakunya gangguan bekalan air sejak hampir sebulan lalu.
        “Saya berniaga laksa dan kuih-muih di hadapan rumah, kedai terpaksa ditutup sebab tiada bekalan air menyebabkan kehilangan pendapatan kira-kira RM200 sehari," katanya.
        Suri rumah, Zakiah Dollah, 57, berkata, penduduk semakin menderita kerana terpaksa bersengkang mata sehingga awal pagi semata-mata untuk menadah air.
        “Selain menunggu bekalan air dihantar lori, penduduk terpaksa menadah air dari meter air secara terus, bimbang bekalan air terputus bila-bila masa sahaja,” katanya.
        Tambah menyedihkan, nasib penduduk seperti Basseri Abdullah, 68, yang bekerja sebagai nelayan dan mempunyai isteri yang lumpuh serta dua anak berusia dua dan lima tahun.
        “Kadang-kadang kami bergantung ihsan jiran sebelah rumah untuk membantu menadah air, setiap kali lori air datang agihkan bekalan. Kalau jiran lupa ketika saya ke laut atau keluar urusan kerja, kami sekeluarga tidak dapat mandi pada esoknya,” katanya.
        Tambahnya, ada masanya, dia terpaksa meminta ihsan air dengan membawa baldi ke rumah jiran berdekatan untuk memandikan isterinya.
        Sementara, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Sada, Rofedi Sulaiman berkata, punca berlakunya gangguan bekalan air di Dun Tanjung Dawai adalah disebabkan musim kemarau dan cuaca panas.
        Menurutnya, ini menyebabkan air mentah dari Gunung Jerai juga berkurangan untuk diproses.
        "Bekalan air mengalami kekurangan lapan liter sehari dari kadar biasa," katanya.
        Bagaimanapun, Sada mengambil langkah alternatif dengan membekalkan air melalui lori tangki setiap hari kepada pengguna.
        "Sebanyak lapan lori disediakan untuk tujuan mengagihkan air di kawasan terjejas secara berkala.Kita percaya bekalan air akan pulih dalam masa terdekat,” katanya.
        Oleh : Gokina Morganan
        Sumber : Sinar


        23berjaga
        KUALA NERANG 23 Mac - Ketiadaan bekalan air sejak akhir-akhir ini di Kampung Seberang Kelompang, Pong Utara, Mukim Tekai Kanan, di sini menyebabkan penduduk di kawasan itu mulai resah menyebabkan aktiviti harian mereka turut terjejas.
        Penduduk, Mohd Zaidi Romli, 30, berkata, masalah itu bermula sejak tiga bulan lalu.
        Menurutnya, sebelum ini kawasan itu tidak mempunyai sebarang masalah tetapi sejak akhir-akhir ini hanya waktu tengah malam sahaja bekalan air dapat disalurkan kepada penduduk di situ.
        "Penduduk dapat guna air dari jam 12 malam hingga 5 pagi saja menyebabkan aktiviti harian kami terjejas, malah ada penduduk terpaksa beli air minuman di kedai," katanya.
        Mohd Zaidi berkata, sekiranya ada majlis kenduri, mereka terpaksa menggunakan pinggan pakai buang berikutan masalah air yang dihadapi.
        "Saya dah berusaha pelbagai cara dengan beli enjin untuk tingkatkan tekanan air tapi masih tak ada sebarang perubahan. "Sekarang air tak ada langsung menyebabkan kami buntu sekiranya saudara pulang berhimpun di kampung," katanya.
        Tambahnya, setiap malam dia terpaksa berjaga untuk menyimpan air hingga awal pagi.
        "Saya rasa terbeban lebih-lebih lagi perlu bangun untuk bekerja pula keesokan harinya," katanya.
        Md Hussin Hamid, 73, pula berkata, kegagalan pihak berkenaan membekalkan air kepada penduduk di situ menyebabkan mereka terpaksa mencari pelbagai sumber air lain bagi mengatasi masalah itu.
        Menurutnya, sejak masalah bekalan air berlaku di kampung itu, dia terpaksa membeli dua tong air bernilai RM200 untuk menyimpan air bagi kegunaan harian.
        "Saya terpaksa beli kerana bimbang selain dari kegunaan harian, anak cucu juga selalu pulang dan bermalam di rumah.
        "Masalah tak ada air ini juga menyebabkan mereka kadang kala malas mahu pulang," katanya.
        Tambahnya, penduduk kecewa kerana selama mereka menghadapi masalah itu, pihak berkenaan tidak pernah menghantar air untuk kegunaan harian.
        "Sepatutnya wakil Syarikat Air Darul Aman (Sada) turun berbincang dan memaklumkan kepada kami punca sebenar masalah yang berlaku," katanya.
        Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam Sada, Rofedi Sulaiman berkata, kawasan itu kini dalam proses penggantian paip yang sedia ada di loji Padang Kerasak dan Kuala Nerang. Bagaimanapun masalah itu akan selesai pada hujung tahun ini.
        Sumber : Sinar


        22perarakan
        LANGKAWI 22 Mac - Majlis Perarakan Bot Berhias sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kedah ke-89 berlangsung meriah di kawasan perairan berhampiran Dataran Pekan Rabu, Kuah dekat sini sebentar tadi.
        Disertai 32 bot yang mewakili jabatan dan agensi dalam pulau legenda ini, majlis tersebut menarik perhatian ribuan pengunjung termasuk pelancong asing menyaksikannya.
        Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan berangkat ke Majlis tersebut yang julung-julung kali diadakan dengan diiringi Sultanah, Tuanku Hajah Haminah.
        Turut berangkat, Raja Muda Kedah, Tan Sri Tunku Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Raja Puan Muda Kedah, Puan Sri Tengku Maliha Tengku Ariff serta Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah.
        Pada majlis itu, bot milik Tunku Temenggong diberi nama 'Gadis Pulau' turut membuat penampilan khas yang menarik perhatian pengunjung.
        Oleh : Mohd Rafie Azimi
        Sumber : Utusan


        22sindiket
        KUALA KETIL 22 Mac - Masjid Jamek Madinatul Ilmi Kuala Ketil menafikan ada membuat jualan wakaf al-Quran untuk pembinaan masjid.
        Imam, Adnan Din berkata, pihak masjid mendapati jualan itu aktif dijalankan sejak sebulan lalu, sedangkan dana pembinaan disumbangkan orang perseorangan serta orang ramai dan bukan melalui jualan wakaf al-Quran.
        “Pihak masjid mengesahkan tidak pernah buat sebarang jualan wakaf al-Quran untuk pembinaan masjid. Semua bergantung kepada derma semata-mata. Jika ada jualan wakaf sekalipun, kita hanya bantu umumkan wakaf al-Quran dijual penuntut Universiti Teknologi Mara Perlis. Dana itu akan digunakan untuk aktiviti dakwah di Kemboja.
        “Berdasarkan aduan penduduk di kawasan Kupang, ada pihak menjual al-Quran wakaf atas nama masjid ini, sedangkan tiada mana-mana wakil dilantik untuk buat aktiviti seumpama itu,” katanya, di sini, semalam.
        Menurut Adnan, bagi membendung gejala tersebut, notis penafian dihantar kepada Ibu Pejabat Polis Daerah, Pejabat Agama Daerah dan juga masjid sekitar daerah ini.
        “Masyarakat diharap segera melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan sindiket berkenaan. Jualan wakaf menggunakan nama masjid amat dikesali,” katanya.
        Ahli jawatankuasa pembinaan dan teknikal masjid, Mohd Zukhi Ghazali berkata, sindiket berkenaan dipercayai semakin berhati-hati susulan tindakan pantas pihak masjid memberi maklumat kepada pihak berwajib.
        “Hasil pemantauan, setakat ini aktiviti mereka semakin berkurangan. Tetapi masyarakat perlu lebih berwaspada kerana khuatir sindiket itu mengulangi semula aktiviti mereka terutama dalam bulan Ramadan akan datang.
        “Setiap sumbangan hanya sah melalui pihak masjid. Dengan izin ALLAH, Masjid Jamek Madinatul Ilmi akan mula digunakan sebelum masuk Ramadan tahun ini,” katanya.
        Sementara itu, pengadu, Shamsul Yahya, 26, berkata, dia hampir membeli al-Quran wakaf beberapa minggu lalu daripada seorang individu dipercayai daripada sindiket tersebut.
        Menurutnya, selain menggunakan nama masjid, individu berusia dalam lingkungan 20-an itu turut mengaitkan pembelian tersebut dengan seorang ustaz dari Kupang.
        “Al-Quran itu dijual pada harga berbeza mengikut saiz. Selepas saya solat asar di Masjid Pekan Baling, lelaki berkenaan menawarkan al-Quran wakaf yang dijual pada harga RM42.
        “Bagaimanapun, al-Quran itu tidak dibenarkan dibawa pulang. Kita hanya dibenarkan buat bayaran dan al-Quran itu akan diletak sendiri lelaki berkenaan. Disebabkan curiga, saya batalkan niat,” katanya.
        Sementara itu, cubaan Sinar Harian menghubungi salah satu nombor disyaki milik sindiket tersebut tidak dijawab.
        Sumber : Sinar


         21lima
        Langkawi 21 Mac - Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA ’17) dilancar secara rasmi sebentar tadi oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
        Sebaik perasmian, pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) membuat pertunjukan aerobatik menggunakan jet pejuang F/A-18D Hornet, A-400M, Helicopter EC725 dan jet pejuang Su-30MKM, disaksikan lebih 5,000 pengunjung dan delegasi pelbagai negara yang hadir seawal 6.30 pagi.
        LIMA ‘17 yang bermula hari ini sehingga Sabtu, membabitkan penyertaan 550 syarikat pempamer daripada 38 negara dengan mensasar kehadiran 180,000 pengunjung.
        Oleh : Fardy Bungga
        Sumber : Harian Metro


        20saya
        LANGKAWI 20 Mac - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak me­negaskan, beliau tidak akan berganjak untuk membantu dan membela rakyat walaupun ditohmah pelbagai pihak setiap masa.
        Katanya, sebagai Perdana Menteri yang prihatin terhadap nasib penduduk bandar dan luar bandar, beliau tidak akan berhenti melaksanakan amanah itu.
        Tambah beliau, ini termasuk menjaga kebajikan rakyat Kedah kerana tidak semestinya mereka hanya memerlukan Perdana Menteri dari negeri itu untuk membantu penduduknya.
        “Walaupun saya berasal dari Pahang, saya akan tetap membantu Kedah kerana Kedah ialah ‘jantung hati’ UMNO dan BN (Barisan Nasional).
        “Depa nak kata apa, katalah, tetapi saya tidak akan berganjak (membantu rakyat),” katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Menteri Bersama Rakyat dan Perasmian Kabel Dasar Laut Melalui Sistem Grid Kebangsaan di Pulau Tuba di sini hari ini.
        Yang turut hadir, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah dan Menteri Pendi­dikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid.
        Pembinaan kabel berkenaan yang diluluskan peruntukannya sebanyak RM46 juta pada 2012, siap sepenuhnya selepas 18 bulan dan telah memberi manfaat kepada kira-kira 5,000 orang penduduk di pulau tersebut.
        Lawatan itu adalah kali kedua beliau sebagai Perdana Menteri.
        Sebelum ini, penduduk di situ terpaksa menggunakan jana kuasa untuk mendapatkan elektrik namun bekalannya tidak stabil kerana sering kali terputus.
        Dalam majlis sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM700,000 menerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB) untuk pelbagai projek rakyat.
        Projek berkenaan adalah pembinaan sebuah jeti penumpang di Tanjung Pandan di sini melibatkan peruntukan berjumlah RM600,000, pendawaian semula sebanyak 30 buah rumah (RM60,000) dan pembinaan 38 tiang lampu jalan.
        Selain daripada itu kerajaan turut meluluskan pembaikan rumah rakyat di situ berjumlah RM800,000 dan pembinaan sebuah mini stadium yang akan diumumkan dalam Bajet 2018.
        Oleh : Sharifuddin Saari
        Sumber : Utusan


        20tpm
        LANGKAWI 20 Mac - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil sempena penganjuran Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2017 (LIMA '17) di Masjid Aisyah di sini sebentar tadi.
        Beliau yang tiba kira-kira pukul 7.15 petang turut disertai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein serta Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah.
        Terdahulu Ahmad Zahid sempat beramah mesra dengan sebahagian daripada 2,000 jemaah yang memenuhi ruang solat masjid sebelum mengimamkan solat maghrib.
        LIMA '17 yang disertai oleh 36 negara bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak esok di Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) dan akan berlangsung sehingga 25 Mac depan.
        Oleh : Mohd Rafie Azimi
        Sumber : Utusan


        20budaya
        KULIM 20 Mac - Umat Islam terutama dalam kalangan generasi muda di negeri ini perlu menjadikan amalan membaca al-Quran sebagai salah satu cabang menambah ilmu dalam melahirkan masyarakat berkualiti.
        Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanipah berkata, amalan tersebut bukan sahaja mampu menambah iman di dada tetapi secara tidak langsung memacu kecemerlangan dalam hidup masing-masing.
        “Jadikan amalan membaca al-Quran ini sebagai salah satu cara memperbaiki diri sendiri terutama bagi generasi muda hari ini. Al-Quran adalah panduan umat Islam yang terbaik,” kata­nya.
        Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Al-Quran Di Hatiku, Satu Hari Satu Muka Surat anjuran Pejabat Daerah Kulim dengan kerjasama Pejabat Agama Daerah Kulim di Masjid Saidina Abu Bakar As-Sidiq Taman Kenari, di sini semalam.
        Turut hadir Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai dan Pegawai Agama Daerah Kulim, Sheikh Muzamil Yop.
        Menurutnya, amalan yang baik itu secara tidak langsung membawa kebaikan bukan sahaja untuk diri sendiri malah anggota keluarga lain.
        “Saya memuji langkah yang diambil oleh pihak berkenaan di daerah ini dan ia boleh dicontoh oleh pentadbir masjid di daerah lain selepas ini,” katanya.
        Pada majlis itu, Ahmad Bashah menyampaikan al-Quran kepada imam dari 38 masjid di daerah ini.
        Oleh : Abd Razak Osman
        Sumber : Utusan


        20kebersihan
        KUALA NERANG 20 Mac - Ekosistem di tasik dan sungai sekitar Padang Terap dikenal pasti masih terkawal dengan mengekalkan spesies hidupan air sedia ada.
        Pegawai Jabatan PErikanan Padang Terap, Abdul Ghani Abdul Karim berkata, pihaknya sentiasa memantau tasik dan sungai di kawasan berkenaan supaya tidak tercemar dengan ternakan ikan lain yang boleh menjejaskan ekosistem di situ.
        Tambahnya, mereka juga sering membuat pemantauan di sungai dan tasik di daerah itu kerana bimbang spesies ikan sedia ada akan pupus akibat kedatangan ikan dari luar.
        “Sehingga kini belum ada sebarang tangkapan dilakukan bagi mereka yang cuba merosakkan ikan dari sumber berkenaan. Ini menunjukkan penduduk di sini sentiasa menjaga ekosistem di daerah itu.
        “Bagi mengekalkan ekosistem di kawasan berkenaan, Jabatan Perikanan Padang Terap juga sentiasa mengekalkan hasil perikanan di sungai dan tasik apabila sentiasa mengadakan program pelepasan benih ikan sejak 2009 hingga 2017 sebanyak 578,950 benih ikan dan udang,” katanya.
        Menurut Abdul Ghani, melalui program itu, pelbagai jenis ikan dilepaskan seperti ikan lampam sungai, lampam jawa, baung, kelah, sebarau dan udang galah.
        Katanya, ini bertujuan bagi mengekalkan hasil perikanan itu di sepanjang saliran di daerah itu.
        Bagaimanapun, memang tidak dinafikan spesies ikan luar terutama ikan tilapia dan keli afrika turut terdapat di perairan di Padang Terap, tetapi masih lagi dapat dikawal.
        “Ini disebabkan berlakunya banjir pada masa lalu hingga menyebabkan ikan spesies luar terutama keli afrika dan tilapia turut mendiami sepanjang perairan di Padang Terap. Dua jenis ikan ini sering diternak dan berlaku banjir menyebabkan air kolam melimpah hingga membawa ikan itu ke sungai berdekatan.
        "Ikan itu boleh menyebabkan ketidakseimbangan ekologi di habitat baru dan spesies itu juga dikatakan cepat membiak hingga boleh mengancam pembiakan ikan sedia ada. Bagaimanapun, sehingga hari ini masalah itu masih lagi terkawal dan tidak memberi kesan kepada ikan sedia ada,” katanya.
        Jabatan Perikanan menasihati orang ramai supaya tidak melepaskan spesies ikan asing ke dalam sungai atau tasik .
        Ini adalah bagi menjaga keseimbangan biodiversiti, habitat dan spesies ikan asli di perairan umum.
        “Orang ramai yang tidak mahu lagi memelihara ikan yang dilarang boleh menghubungi Pejabat Perikanan daerah untuk tindakan sewajarnya. Ia mungkin berguna untuk kajian tertentu, pendidikan atau dibuat pelupusan sewajarnya.
        "Mereka yang didapati bersalah membuang ikan yang dilarang itu boleh dikenakan Akta Perikanan 1985 iaitu denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau kedua-duanya,” katanya.
        Sumber : Sinar


        18tuntut
        BALING 18 Mac - Penduduk di enam rumah di Kampung Bandar Lorong Padang Tembok menuntut Syarikat Air Darul Aman (Sada) memulihkan bekalan air yang terjejas sejak 10 tahun lalu.
        Penduduk, Hazali Ariffin, 59, mendakwa bil tetap perlu dibayar walaupun selama ini terpaksa bergantung kepada air bukit.
        “Setiap bulan bil perlu dibayar dengan jumlah RM6 sejak 10 tahun lalu. Kenapa Sada pada Januari lalu turut minta bayaran tambahan deposit sebanyak RM50 setiap rumah walaupun bekalan tiada? Selama ini kami terpaksa guna air bukit berhampiran.
        “Banyak kali aduan dibuat tetapi tiada sebarang tindakan dibuat. Dulu pihak Sada beri alasan masalah berpunca dari penyelarasan paip besar, tetapi bila paip sudah siap dipasang penduduk di sini masih tidak dapat bekalan air. Hanya penduduk di kawasan tekanan rendah sahaja yang dapat bekalan air,” katanya di sini, kelmarin.
        Seorang lagi penduduk, Asiah Taib, 47, berkata, masalah makin buruk apabila air bukit keruh.
        “Rumah saya pasang paip dari rumah ke bukit tetapi air dari sana selalu keruh. Jika hujan airnya lagi keruh. Terpaksa guna juga untuk minum dan mandi,” katanya.
        Syakirah Md Isa, 46, berkata, air hanya diperoleh dari bekalan yang dihantar lori Sada setiap minggu.
        “Kena telefon Sada baru bekalan dihantar. Kebiasaannya tiga kali seminggu saya akan hubungi Sada untuk dapatkan air. Air dihantar yang diletakkan dalam tong di luar rumah sebelum disedut ke kolah dalam rumah guna mesin dibeli.
        “Tetapi pernah juga mereka tidak hantar dalam dua hari dan pakaian terpaksa dibasuh di rumah mak di Bechah Sawa yang jaraknya dari sini enam kilometer,” katanya.
        Penduduk, Muin Yaacob, 59, berkata, ketiadaan bekalan dari Sada menyukarkan urusan memandikan jenazah dan kenduri.
        “Sebelum ini ada jenazah dimandikan guna air bukit sebab ingin dikebumikan segera. Jika tunggu Sada hantar air memang lewat. Urusan kenduri juga bertambah rumit sebab perlu tunggu lori Sada hantar air,” katanya.
        Katanya lagi, Sada juga tidak membaiki paip air yang rosak di kampung tersebut.
        “"Kerosakan paip itu salah satu punca tekanan air tidak sampai kepada penduduk,” katanya
        Sementara itu, Pegawai Perhubungan Awam dan Komunikasi Korporat Sada, Rofedi Sulaiman berkata, sebuah loji di Sungai Limau Dua akan dibina bulan November sebagai penyelesaian jangka panjang.
        Menurutnya, pembinaan loji, pemasangan paip utama dan kolam takungan akan turut dibina di Kampung Lalang dan ia merupakan pakej bagi loji kedua di Sungai Limau.
        “Untuk penyelesaian jangka pendek, bekalan air lori akan diagih dua hari sekali di mana sebelum ini dibuat atas permintaan.
        “Gangguan di situ sering berlaku kerana rumah penduduk di kawasan tinggi dan diburukkan apabila musim panas melanda pada dua bulan lalu. Pengguna perlu bijak menggunakan air,”katanya.
        Sumber : Sinar