POKOK TIN HASILKAN PENDAPATAN TAMBAHAN



12guru
SIK 12 Januari - Tanah yang luas saujana mata memandang tentu sahaja tidak akan mendatangkan manfaat sekiranya tidak digunakan dengan baik, sebaliknya halaman rumah yang terhad pula boleh memberikan pulangan sekiranya diurus dengan betul.
Di samping sebagai sudut rek­reasi dan santai, persekitaran rumah juga boleh dimanfaatkan bagi penanaman hasil pertanian seperti sayur dan buah-buahan segar sekiranya ada usaha dan kemahuan.
Demikian usaha dilakukan oleh seorang guru, Azmi Mohd. Sofian, 30, yang menggunakan sepenuh kawasan halaman rumahnya bagi tanaman pertanian bagi menghasilkan pendapatan tambahan.
Lebih menarik Azmi mengusahakan tanaman pokok tin atau nama saintifiknya, Ficus Carica kerana melihat potensinya.
Guru tersebut memperoleh maklumat berkaitan tanaman tersebut melalui internet sebelum mengenalpasti pengumpul pokok itu di Kuala Lumpur.
Katanya, anak-anak pokok tanaman itu dan beberapa ilmu asas penjagaannya kebiasaannya hanya diperoleh dari negara-negara Asia Barat dan Asia Timur.
“Saya ambil masa kira-kira enam bulan untuk betul-betul memahirkan diri tentang sifat anak pokok tin yang dibeli tahun lalu dalam lingkungan harga RM180 hingga RM200 daripada pengumpulnya.
“Harga termahal pernah dibeli adalah RM2,000 (jenis Luv), saya banyak belajar dari internet, agak susah juga kerana pokok tin adalah pokok yang ‘manja’,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Baharu Beris Jaya dekat sini baru-baru ini.
Peringkat permulaan, Azmi menghabiskan sebanyak RM30,000 untuk mendapatkan baka anak-anak pokok tin yang terbaik dan popular, di samping bertukar-tukar pokok dengan rakan-rakan untuk mendapatkan benih baharu.
Menganggapnya sebagai tanaman kesihatan, Azmi menyatakan bahawa terdapat empat campuran medium khas untuk memastikan pertumbuhan pokok tin iaitu tanah, pasir, sekam padi dan baja kompos buatannya sendiri.
Malah, anak-anak pokok juga memerlukan kelembapan yang cukup (disiram dua kali sehari iaitu pada pukul 7 pagi dan 5 petang sekiranya cuaca panas), cahaya dan kandungan serta teknik pembajaan yang betul.
Azmi yang merupakan guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Gulau, Belantik dekat sini, tidak menafikan bahawa dia terpaksa melayan pelbagai ‘karenah’ pokok tin yang kini ditanam di sekitar kawasan rumahnya.
“Saya tidak putus asa, malah, terus belajar dan hasilkan anak-anak pokok tin daripada baka-baka berlainan jenis.
“Kini, terdapat kira-kira 215 jenis anak pokok tin yang saya tanam yang berbeza pada rasa dan saiz buah serta daunnya, “ katanya.
Antaranya jenis Luv, Ponte Tresa, Rimada Series yang mempunyai enam jenis dan lain-lain lagi yang harga untuk sepokok anaknya antara RM400 hingga RM2,000.
Mengulas lanjut, Azmi yang dikurniakan dua cahaya mata menyatakan bahawa terdapat dua jenis pasaran anak pokok tin di Malaysia iaitu komersial dan untuk baka.
“Malah, berasaskan fakta kesihatan yang dipercayai dapat menurunkan tekanan darah tinggi, pokok tin kini mulai ditanam di rumah-rumah sebagai amalan pemakanan secara berterusan.
“Selain khasiat buahnya (harga pasaran tempatan, RM80 hingga RM200 sekilogram mengikut jenis), daun pokok tin selepas dijemur, dapat diminum sebagai ‘teh’ dengan hanya merendamkan ia di dalam air panas (sebagai pengubat penyakit diabetes), dan harum baunya,” kata Azmi.
Buat masa kini dan menerusi strategi pemasaran di Facebook atas nama ‘Azmi Green Fingers’, selain di Semenanjung, tempahan anak-anak pokok adalah meliputi dari Sabah dan Sarawak dengan penghantaran khas.
Katanya lagi, melalui penjual­an anak pokok, dia memperoleh pendapatan sehingga RM5,000 mengikut musim dan bergantung kepada hasil tuaian benih anak pokok.
Penanaman dan penjagaan pokok tin ini turut dibantu oleh ibunya, Hasidah Isa, 58, dan bapa­nya, Mohd. Sofian Isa, 59.
Bagi perancangan masa depan, Azmi ingin membuka sebuah ladang pokok tin di Kampung Paya Terendam dengan kaedah penanaman Rumah Hijau untuk memberi tumpuan kepada penghasilan buahnya.
Buah tin boleh dihasilkan sepanjang tahun jika dijaga de­ngan elok kerana cuaca dan iklim di negara ini sesuai untuknya berbanding di negera asalnya yang mengikut musim.
Tambahnya lagi, pada masa kini, pengeluaran buahnya memang terhad, dan tidak menumpukan kepada pemasaran buah tin, sebaliknya banyak bersedekah terutamanya kepada pelanggan yang datang membeli anak benih dan akan merasai buahnya.
Kepada mereka yang ingin mencuba, Azmi akan membe­kalkan medium diperlukan bagi memastikan anak pokok yang dijual pada harga RM100 ke atas dapat ‘hidup’.
“Yang susah cuma pada pering­kat awal, apabila batang pokok jadi berkayu, ia (pokok) dapat hidup berpuluh tahun lamanya,” katanya.
Oleh : Norlia Ramli
Sumber : Utusan