730 BATANG TUAL BALAK DIRAMPAS



19batang
ALOR SETAR 19 Januari - Sebanyak 730 batang tual balak pelbagai jenis dianggarkan bernilai kira-kira RM350,000 dirampas dalam pemeriksaan di Kompartmen 15, Hutan Simpan Gunung Bongsu pada 9 Januari lalu.
Timbalan Pengarah (Operasi) Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Mohd Rahim Ramli berkata, hasil balak berkenaan ditemui dalam siasatan yang dilakukan pada jam 5 petang, hari Isnin yang lalu.
“Antara jenis balak yang ditemui ialah Cengal, Balau, Meranti, Keruing, Mersawa, Merawan, Kempas dan Tualang oleh sepasukan penguat kuasa Daerah Kedah Selatan.
“Melalui siasatan ini telah mendapati telah berlakunya kesalahan hutan, apabila kayu balak ditebang dan diambil dari luar kawasan serta di sepanjang jajaran jalan sekunder ke kawasan lesen dibenarkan,” katanya.
Susulan itu, katanya, pihak mereka telah menyita tujuh jentera, termasuklah lima buldozer dan dua penyangga kayu yang berada dalam kawasan Hutan Simpan Kekal.
Rahim berkata, pasukan penguatkuasaan tersebut turut mengesan 234 tunggul pokok dipercayai ditebang di luar kawasan kelulusan membabitkan tiga kawasan Zon Penampan Alur Air mengalir ke Sungai Karangan.
Katanya lagi, pihak mereka berjaya mengesan kes pembalakan haram dan tebangan luar lesen melalui semakan serta pemantauan dilakukan pihak Jabatan Perhutanan.
Menurut beliau lagi, Jabatan Perhutanan sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti jumlah keluasan kawasan yang terlibat dan bilangan pokok ditebang di lokasi untuk mengesan pihak yang tidak bertanggungjawab menjalankan kegiatan pembalakan haram tersebut.
"Kita akan membuka kertas siasatan, manakala kes itu disiasat di bawah Seksyen 15 , Akta Perhutanan Negara 1984( Pindaan 1993).
Jika sabit kesalahan, katanya, tindakan penjara mandatori tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 20 tahun, atau denda tidak melebihi RM 500,000 ataupun kedua-duanya sekali boleh dikenakan.
Sumber : Sinar