TERBEBAN KOS BELI SUSU, LAMPIN



3terbeban
ALOR SETAR 3 Disember – Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah nasib seorang warga emas dari Kampung Tanjung Seri yang didakwa mengalami masalah kesihatan sejak sebulan lalu.
Lebih memilukan, tubuh Majid Hussein, 82, yang terlantar sakit akibat parkinson, diabetes dan darah tinggi, juga dipenuhi luka kerana mengalami masalah kulit bersisik.
Isterinya, Sidah Daud, 74, berkata, masalah itu menyebabkan kulit suaminya mengelupas dan kehitaman sejak lebih sebulan lalu.
Katanya lagi, suaminya juga memerlukan sepenuh perhatian daripada keluarga kerana tidak mampu bergerak sendiri dan melihat dengan jelas akibat masalah selaput.
"Suami mak ngah terlantar sejak April lalu selepas diserang penyakit, sekarang jadi pula masalah kulit sehingga perlu disapu ubat untuk mengurangkan ketidakselesaan.
“Boleh dikatakan kira-kira 80 peratus kulitnya begitu menyebabkan tangan, ketiak dan kaki luka,” katanya.
Tambah Sidah, mereka memperuntukkan lebih RM800 sebulan untuk menampung keperluan perubatan suaminya terutama untuk membeli susu dan lampin pakai buang.
Menurutnya, dia buntu memikirkan kos perubatan bulanan suaminya yang tinggi, tambah pula dia dan suami tidak bekerja untuk menyara kehidupan mereka.
Kata Sidah, anak-anaknya turut membantu, namun dia enggan menyusahkan mereka kerana masing-masing sudah memiliki keluarga dan tanggungan sendiri.
“Dia memerlukan lapan tin susu Ensure Plus dalam sebulan dianggarkan mencecah RM640. Itu belum campur kos lampin pakai buang. Sehari tiga lampin pakai buang diperlukan untuk kegunaannya. Mak ngah harap ada pihak sudi menghulurkan bantuan perubatan untuk suami, tak kiralah wang, susu khas mahupun lampin pakai buang.
“Ada juga orang datang melawat dan menyerahkan borang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Selepas borang lengkap, mak ngah akan cuba hantar dengan harapan dapat meringankan kos yang kami tanggung,” katanya.
Sumber : Sinar