HASILKAN BAJA ATTIA



1hasilkan
KULIM 1 Disember - Si ayah mengalami kecaca­tan kaki sejak kecil, ibu pula mengalami masalah rabun teruk dan terpaksa dipotong kaki akibat kencing manis sementara anak bongsu turut bergelar orang kurang upaya (OKU) sejak tiga tahun lalu kerana kakinya pendek sebelah akibat kemalangan jalan raya.
Itu realiti yang berlaku terhadap pasangan suami isteri, Ahmad Rais Mohammed Saeed, 64, dan Che Su Darus, 63, bersama dua lagi anak mereka yang kini berusia 26 dan 25 tahun.
Tetapi itu bukan alasan untuk kesemua mereka hidup dalam keadaan meminta-minta.
Walaupun pernah hidup dalam keadaan cukup susah suatu ketika dahulu, keluarga tersebut kini sedang meniti kejayaan apabila perniagaan baja organik yang diusahakan mereka kian mendapat mendapat sambutan di serata tanah air.
“Banyak kerja yang saya lakukan dahulu antaranya tukang ka­sut, membuka gerai makan sementara isteri pula mengambil upah menjahit langsir. Tetapi pelbagai ujian melanda menyebabkan kami hidup ibarat kais pagi makan pagi.
“Namun kami tidak pernah menyalahkan takdir. Akhir­nya sa­ya berjaya mengumpul wang sedikit demi sedikit sebelum berangkat ke Pakistan sebanyak dua kali untuk mendapatkan formula baja organik yang diadun dengan idea sendiri pada 2011,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.
Biar pun begitu tambahnya, kehidupan mereka sekeluarga tidak berubah sekelip mata kerana ma­sih ramai yang skeptikal terhadap baja ciptaannya itu manakala penjualannya hanya dilakukan dari rumah ke rumah tanpa ada promosi.
“Tiga kali kami sekeluarga dihalau dari rumah sewa kerana gagal melunaskan bayaran bulanan. Tetapi kami tidak pernah berputus asa dan tetap tabah dengan ujian hidup.
“Dalam keadaan susah itu, saya usahakan juga mengutip besi-besi buruk untuk mencipta mesin sendiri yang dapat membantu dalam penghasilan baja tersebut.
‘‘Akhirnya, tuhan memberkati usa­ha kami dan sehingga kini kami sudah mempunyai 70 stokis di seluruh negara yang membantu memasarkan baja organik yang kami jenamakan sebagai ‘Attia’,” ujarnya.
Tambahnya, penjualan baja Attia mula mendapat perhatian ramai setelah dirinya didedahkan dengan teknik pemasaran menggunakan internet selain promosi dari mulut ke mulut.
“Dalam usia begini, saya akhir­nya didedahkan dengan teknik pemasaran di Facebook. Ternyata langkah itu cukup berkesan ke­rana jika sebelum ini saya cuma menghasilkan sebanyak 200 kilogram baja sebulan, kini saya perlu menghasilkan sehingga 200 ke 700 kilogram sehari untuk diedarkan ke seluruh negara.
“Itu pun sebenarnya tidak cu­kup untuk memenuhi permintaan kerana masih ramai pengguna yang gagal mendapatkan baja tersebut disebabkan tidak membuat tempahan awal. Oleh itu, jika ada rezeki, insya Allah saya bercadang untuk membina kilang perusahaan kecil berbanding ha­nya menghasilkan baja di laman rumah ketika ini,” katanya yang kini menetap di Kampung Tunku Putra A, Kelang Lama dekat sini.
Mengulas lanjut katanya, ketika ini dia sudah beberapa kali dijemput pelbagai pihak terma­suk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk memberi ceramah berbentuk motivasi kepada go­longan kurang bernasib baik.
Bercerita mengenai baja dihasilkannya itu, Ahmad Rais berkata, produk tersebut sesuai untuk semua jenis tanaman, bebas dari bahan kimia serta tidak berbau walaupun bahan utama dalam penghasilannya adalah tinja kambing.
“Penggunan baja ini mampu mempercepatkan dan menggalakkan pertumbuhan tanaman selain meningkatkan imunisasi pokok. Selain itu, baja tersebut turut membantu menguatkan akar, batang serta ranting tumbuhan di samping meningkatkan hasil ta­naman,” katanya.
Mana-mana pihak yang berminat untuk mendapatkan baja tersebut boleh menghubungi Ahmad Rais di talian 012-5455832 atau melayarai laman Facebook Attia baja organik asli.
Oleh : Mohd Rafie Azimi
Sumber : Utusan