TEMUI LARVA KUPU-KUPU




    28temui
    ALOR SETAR 28 November - Jabatan Kesihatan Kedah mengesahkan menemui sejumlah larva kupu-kupu yang berkemungkinan merupakan kupu-kupu bakau susulan serangan ulat bulu hitam di Kampung Tepi Laut, Mukim Tebengau baru-baru ini.
    Pengarah Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail berkata spesies spesifik kupu-kupu itu masih dalam penelitian Pegawai Entomologi Kesihatan Negeri.
    "Larva ditemui merayap di atas jalan, pokok-pokok dan kawasan sekitar. Larva turut ditemui sepanjang 1.3 kilometer sepanjang kawasan yang mempunyai pokok api-api," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.
    Semalam, sebahagian penduduk di kampung itu menjadi gempar apabila kediaman mereka dipenuhi ribuan ulat bulu hitam sejak tiga hari lalu.
    Semburan racun mengakibatkan jumlah ulat semakin bertambah.
    Dr Norhizan berkata kewujudan larva hanya ditemukan pada pokok api-api di sepanjang tambak laut berdekatan, namun apabila makanan dihabitatnya berkurangan, larva tersebut telah bergerak ke kawasan rumah berdekatan.
    "Pokok api-api yang ditebang kemungkinan menyebabkan gangguan pada ekosistem dan larva tersebut bergerak mencari habitat yang baru," katanya.
    Sehubungan itu, penduduk yang terlibat dinasihatkan agar menjaga dan memulihara pokok-pokok di kawasan paya bakau dengan baik bagi menjaga ekosistem sedia ada.
    Pihaknya, kata Dr Norhizan, setakat ini masih belum menerima sebarang laporan berhubung masalah kulit yang serius akibat serangan ulat bulu hitam di kampung itu dan ia mungkin disebabkan larva yang ditemui dalam spesies yang kecil dan tidak menyebabkan masalah yang serius jika tersentuh.
    "Sehingga kini, tiada aduan seperti gatal-gatal, bengkak atau kemerahan apabila terkena larva tersebut, namun kita tidak menolak kemungkinan reaksi yang luar biasa sekiranya individu yang terdedah mempunyai masalah alergi atau alahan," katanya.
    Sehubungan itu, penduduk yang berasa gatal, bengkak atau kemerahan pada kulit dinasihatkan untuk mendapat rawatan awal di klinik kesihatan terdekat.
    Dr Norhizan berkata pendidikan kesihatan juga telah diberi kepada penduduk sepanjang lawatan dan siasatan dijalankan oleh Unit Entomologi dan Pest Negeri dan pasukan kesihatan dari Jabatan Kesihatan Kota Setar pada jam 11 pagi tadi.
    Sumber : Sinar