ISU AIR DIJAMIN PULIH PADA 2020



25isu
ALOR SETAR 25 November – Kerajaan Kedah memberi jaminan masalah bekalan air yang melanda beberapa kawasan termasuk di Kuala Kedah, Pokok Sena dan Merbok akan selesai menjelang 2020.
Exco Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, rancangan jangka panjang itu akan dilaksanakan menerusi peruntukan sebanyak RM188 juta yang diluluskan kerajaan persekutuan.
“Saya faham apabila rakyat merungut masalah air. Saya nak bagi tahu, ia bukan perkara baru sebab di zaman kerajaan dulu (PR) pun apa mereka tak buat. Sekarang baru nampak loji Pokok Sena, Kulim dan sebagainya dibuat semasa zaman BN.
“Saya tahu yang buat isu ini pun pembangkang, tetapi saya yakin rakyat pandai menilai. Untuk jangka pendek ini kita akan selesaikan dan jangka panjang Insya-ALLAH saya bagi jaminan 2020 selesai,” katanya kepada media, semalam.
Menurutnya, peruntukan yang diluluskan sebanyak RM188 juta itu akan digunakan untuk menaiktaraf beberapa loji sedia ada bagi menambah kapasiti loji di Pelubang, Jenun Baru, Yan dan beberapa loji lain sekitar negeri ini.
“Kerajaan negeri akan melaksanakan tugas ini secara jangka pendek dan jangka panjang. Saya tak setuju pembangkang kata ini krisis air, ia bukan krisis air. Masalah sekarang kita nak salurkan air bersih sebab loji kita ini kapasitinya sudah penuh.
“Kalau krisis air bermakna kita perlu buat catuan. Mereka kena faham antara krisis dan masalah gangguan, ia berbeza. Janganlah mereka nak ambil isu ini bagi masyarakat panik. Saya faham ada rakyat marah, tetapi saya dah arah pihak Sada (Syarikat Air Darul Aman) supaya menggandakan penghantaran air ke taman-taman perumahan sekiranya terputus bekalan,” katanya.
Badrol Hisham berkata, mesyuarat exco pada Rabu juga telah mengenalpasti punca masalah bekalan air di beberapa kawasan yang terjejas iaitu disebabkan kerja-kerja penyelenggaraan elektrik di loji air Bukit Pinang.
“Kita terpaksa tutup beberapa jam dan air di loji itu akan susut. Nak penuh balik ia akan ambil masa dan sekarang sudah semakin pulih. Tetapi kita nak minta juga pihak Sada kenalpasti taman-taman perumahan yang ada tangki air supaya digunakan semula sebab ia boleh menyelamatkan keadaan pada waktu tertentu.
“Saya akan lihat balik perkara ini dan beberapa keputusan dah dibuat terutamanya kita akan melantik Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sada yang baharu dan buat penyusunan semula kakitangan Sada,” katanya.
Jelasnya, perkara itu bukan menggambarkan segala pelaksanaan Sada tidak bagus, tetapi penambahbaikan yang lebih serius untuk menangani isu-isu rakyat.
Mengulas peranan jawatankuasa bertindak yang ditubuhkan pada 12 Julai lalu untuk tangani masalah bekalan air di negeri ini, beliau mengesahkan ia berjaya mendapat kelulusan peruntukan RM188 juta oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Hasil daripada mesyuarat jawatankuasa itu, kita perlu ada beberapa lagi telaga tiub. Perkara ini akan dibincangkan lebih lanjut dalam mesyuarat Lembaga Pengarah Sada nanti.
“Kita akan minta pihak Sada tentukan juga kawasan-kawasan yang kritikal untuk dibina telaga tiub. Sudah dua kali jawatankuasa ini bermesyuarat dan kita akan bersidang lagi untuk menyelesaikan masalah rakyat,” katanya.
Tegasnya, penubuhan jawatankuasa bertindak itu juga bukanlah hanya sekadar gimik untuk meredakan kemarahan rakyat yang mengalami masalah bekalan air.
“Kadang-kadang rakyat pun kena faham, kerajaan tidak melihat perkara ini sebagai benda yang mudah. Kita memandang serius,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar