28ada
ALOR SETAR 28 Ogos - Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) mengakui kesemua ahli parlimen belum dibekalkan kefahaman atau maklumat mencukupi berkaitan Rang Undang-Undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (Bidang kuasa jenayah) @ Akta 355, menyebabkan sebahagian tidak menyokong pindaan itu.
Yang Dipertuanya, Dr Yusri Mohamad berkata, bagaimana pun masih ada ruang untuk dibuat sesi pencerahan dan penjelasan sebelum proses pengundian diadakan di Parlimen.
“Maklumat diperoleh sebahagian ahli parlimen masih belum mencukupi, ada yang tidak lengkap dan masih tidak memahaminya, tambahan isu RUU persendirian masih baharu dan kita masih ada masa untuk buat penjelasan,” katanya, selepas perasmian penutup Muzakarah NGO Islam, semalam.
Menurutnya, antara faktor pindaan Akta 355 dibantah termasuk wujudnya sentimen politik kepartian dari parti berbeza dengan wakil rakyat yang membentangkan pindaan itu.
“Mereka tidak melihat pada isu itu sendiri, tetapi dipengaruhi faktor lain seperti politik. Jika hanya fokus kepada isu pastinya ia lebih mudah kepada semua pihak,” katanya.
Yusri berkata, sentimen lain yang dikaitkan ialah pelaksanaan hudud, sedangkan ia tiada kaitan secara langsung.
“Ini yang mengelirukan ramai pihak, pindaan terhadap Akta 355 itu adalah untuk memperkasakan bidang perundangan Syariah sedia ada kepada sistem yang selari dengan perkembangan semasa. Ia juga bertujuan meningkatkan jumlah hukuman di Mahkamah Syariah yang begitu lama tidak dipertingkatkan,” katanya.
Menurutnya, pindaan terakhir melibatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah dilakukan 32 tahun lalu.
“Aspek lain seperti prasarana, pelantikan dan kedudukan hakim dan peguam syarie telah melalui proses pindaan, namun bidang kuasa ini masih tersangkut. Sebelum ini, pindaan perlembagaan pernah diluluskan tanpa banyak masalah, berbanding pindaan ini ia tidak sebegitu rumit,” katanya.
Yusri berkata, tidak menjadi kesalahan untuk ahli parlimen Islam mahupun bukan Islam menyokong pindaan itu kerana ia hanya bertujuan memperkasa bidang kuasa dan hukuman bawah Mahkamah Syariah, dan termaktub hanya kepada orang Islam.
“Yadim akan terus bantu memantapkan usaha dakwah. Mana-mana isu dibangkitkan, kita akan berikan sokongan dan panduan, termasuk isu ini yang dijadualkan dibentang Oktober depan di Parlimen,” katanya.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar


27serum
POKOK SENA 27 Ogos – Pendapatan penoreh getah bakal meningkat tiga kali ganda berdasarkan kajian mendapati getah turut menghasilkan sejenis bahan yang berkeupayaan untuk dijadikan serum kosmetik.
Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, kajian tersebut dilaksanakan dengan kerjasama Lembaga Getah Malaysia dan ia kini berada di peringkat akhir.
“Kalau kajian ini berjaya, harga getah akan terus meningkat sehingga tiga kali ganda. Kita nak maklum kepada mereka yang menanam getah supaya jangan khuatir dengan kejatuhan harga getah sekarang.
“Penemuan serum kosmetik pada getah ini adalah yang pertama di Asia. Walaupun kita berada di tangga kelima negara pengeluar getah, tapi teknologi kita masih di nombor satu,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun Peringkat Negeri Kedah 2016 dan Perasmian Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn Bhd di Kompleks Bersepadu Risda Pokok Sena, semalam.
Menurutnya, maklumat lanjut berkenaan penemuan serum itu akan diumumkan sedikit masa lagi selepas kajian itu siap sepenuhnya.
“Serum kosmetik ini adalah antara usaha yang kita sedang laksanakan untuk memajukan industri getah selain industri hiliran sedia ada iaitu sarung tangan,” katanya.
Pada program itu, Risda turut menyampaikan Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 kepada 300 pekebun kecil dan penoreh getah di daerah Pokok Sena.
“Sebahagian penerima telah dimasukkan duit ke akaun mereka dan sebahagian lagi belum sebab ada masalah dari segi dokumentasi. Jangan khuatir, wang Risda yang kita simpan masih ada.
“Kalau belum dapat harap bersabar, tak ada isu duit Risda habis. Kita belum bagi kerana dokumentasi yang kurang jelas,” katanya.
Selain itu, beliau juga merasmikan Pusat Servis Tayar Risda Fleet Sdn Bhd, Pokok Sena yang pertama di Kedah dengan menawarkan perkhidmatan membaik pulih kenderaan, servis tayar, bateri, alat gantian kenderaan dan minyak pelincir.
“Kita akan bincang dengan kerajaan supaya tayar-tayar terpakai yang masih elok di negara luar misalnya Jepun dibenarkan import ke Malaysia. Sebab apabila harga getah jatuh, pekebun kecil ini kadang-kadang tak cukup duit nak tukar tayar baru.
“Maknanya kita minta kebenaran khas, hanya Risda boleh import sebab kita nak kalau boleh Risda diberi keistimewaan. Contohnya nak tukar tayar hari ini modal tak cukup, getah pun tak boleh jual sebab musim kemarau. Tapi dengan hanya RM50 mereka sudah boleh dapat tukar tayar baru,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar


26vaksin
ALOR SETAR 26 Ogos – Kementerian Kesihatan memberi jaminan vaksin yang digunakan di setiap hospital kerajaan tidak mengandungi asid deoksiribonukleik (DNA) khinzir.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya berkata, vaksin tersebut telah diuji di seluruh dunia dan boleh digunakan di Malaysia apabila mendapati ianya selamat untuk digunakan.
“Kes-kes difteria memang berlaku di banyak negeri termasuk Kedah. Kes yang terakhir berlaku setakat ini kepada kanak-kanak yang tidak pernah dapat imunisasi selepas dilahirkan. Ramai juga yang tak dapatkan sepenuhnya imunisasi dan membahayakan anak tersebut.
“Kita nak tegaskan supaya ibu bapa pastikan anak-anak dapat imunisasi yang lengkap, jangan separuh dan tidak cukup kerana kita khuatir dijangkiti difteria yang amat bahaya,” katanya.
Beliau berkata berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis penyempurnaan program Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) Institusi Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) 2016 di Kolej Pembantu Perubatan Alor Setar, di sini, semalam.
Menurutnya, kes kematian juga banyak berlaku di kalangan kanak-kanak disebabkan difteria.
“Saya harap mereka yang anti-vaksin ini dapat benarkan imunisasi kepada anak masing-masing. Saya dah cakap banyak kali, kalau kita tak bagi imunisasi kepada anak-anak kita adalah satu penganiayaan kepada mereka.
“Saya harap mereka buat pendirian dan bagilah kebenaran. Kesan sampingan mungkin ada dan mungkin tidak. Kalau ada pun mungkin terlalu sedikit sangat dan tidak serius, misalnya demam,” katanya.
Hilmi berkata, vaksin yang digunakan di Malaysia akan diuji terlebih dahulu oleh syarikat-syarikat yang mengeluarkannya.
“Setakat ini tidak ada unsur-unsur khinzir pun dalam vaksin yang kita pakai, kita tak beli pun. Yang kita beli hanya vaksin yang sah dan tiada unsur khinzir.
“Saya harap perkara ini tidak dipertikaikan lagi dan harap semua ibu bapa pergilah dapatkan imunisasi untuk anak-anak. Kita bagi percuma, tak perlu bayar satu sen pun,” katanya.
Ditanya sama ada penyakit difteria juga berpunya daripada pengambilan vaksin homeopati, beliau tidak menafikannya.
“Pada saya mereka yang mengambil homeopati dan anti-vaksin ini kerana perniagaan saja. mereka nak promosi homeopati walaupun tak tahu lagi kesannya dan menolak vaksin. Ini adalah pertimbangan perniagaan, bukan kerana keselamatan anak itu.
“Janganlah kerana nak berniaga sampai kita menolak imunisasi kepada anak-anak. Tak ada laporan kesihatan pun yang boleh mengatakan homeopati boleh menggantikan imunisasi pada kajian mereka yang sah, tak ada pun di Malaysia,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar


24tugu
ALOR SETAR 24 Ogos - Persatuan Sejarah Cawangan Malaysia Kedah meminta pihak berkenaan membaik pulih tugu peringatan tamat darurat di Taman Merdeka, dekat sini yang sudah rosak akibat vandalisme.
Pengerusinya, Datuk Dr Wan Shamsuddin Mohd Yusoff berkata, tugu yang berusia lebih 50 tahun itu dibina sebagai tanda kemenangan dan memperingati berakhirnya 12 tahun zaman keperitan darurat.
Menurutnya, tugu itu dirasmikan oleh Sultan Kedah ke-27, Almarhum Sultan Badlishah Ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid.
"Tugu berkenaan memiliki reka bentuk tersendiri, dilengkapi bumbung seakan-akan berbentuk kubah dan empat penjuru diukir sejarah.
"Tugu berkenaan memainkan peranan penting kerana membolehkan generasi akan datang mengingati sejarah negara dan titik tolak ke arah kemerdekaan sekali gus menerap nilai cintakan tanah air," katanya.
Namun Wan Shamsuddin berkata, kini keadaan tugu itu amat berbeza kerana sudah kelihatan usang selain banyak kerosakan.
"Pihak kami ada membuat tinjauan dan mendapati tulisan mencatatkan fakta penting seperti sejarah dan tarikh di sisi tugu itu sudah hilang.
"Malah kami juga dapati hanya ada catatan dalam bahasa Cina sahaja, sedangkan ia ditulis dalam tiga bahasa lain iaitu bahasa Melayu, Inggeris dan Tamil," katanya.
"Keadaan berlaku mungkin kebanyakan orang awam yang menggunakan kawasan berkenaan dikhuatiri tidak tahu fungsi dan kepentingan monumen bersejarah tersebut katanya.
Katanya, selain rosak kerana vandalisme, kawasan tugu itu juga dipercayai dijadikan tempat tidur oleh gelandangan.
"Tugu itu perlu dibaiki kerana bukan sahaja tulisan yang hilang, malah warna cat juga tertanggal manakala besi pula berkarat.
"Papan tanda berkaitan tugu ini juga rosak," katanya.
Untuk itu, Wan Shamsuddin berkata, beliau memohon agar monumen sejarah berkenaan dicat semula dan dibaiki bagi meraikan detik bersejarah itu sekali gus meningkatkan semangat nasionalisme.
Sumber : Sinar


23peneroka
SIK 23 Ogos - Seramai 600 penoreh getah di Kedah mendapat manfaat daripada program bantuan laman kebun menerusi Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) yang diperkenalkan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda).
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Luar Bandar dan Basmi Kemiskinan Kedah, Datuk Mohd Tajuddin Abdullah berkata, Risda memperuntukkan sejumlah RM600,000 bagi membekalkan peralatan dan benih untuk penoreh getah memulakan tanaman sampingan di halaman rumah dalam usaha menjana pendapatan.
Katanya tanaman tersebut termasuk cili besar, rock melon dan sayur kailan yang boleh dituai dalam tempoh kurang setahun.
"Usaha ini diharap dapat membantu peserta menambahkan hasil pendapatan, sekurang-kurangnya RM80 sebulan, terutama dalam situasi kejatuhan harga getah dunia ketika ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Kasihi Pekebun dan Penyerahan Pakej Bantuan Laman Kebun Peringkat Risda Daerah Sik di sini, hari ini.
Turut hadir Pengarah Risda Kedah, Ahmad Bahari.
Mohd Tajuddin berkata, langkah diambil Risda itu wajar dipuji dan beliau berharap supaya peserta komited dalam mengusahakan tanaman tersebut.
Sementara itu, seorang peserta, Rozaini Zabidi, 31, dari Kampung Kuala Jeneri di sini berkata beliau bersemangat untuk menghijaukan kawasan halaman rumahnya dengan tanaman berkenaan.
"Di kawasan rumah memang ada sedikit sayuran yang ditanam untuk kegunaan sendiri, masih ada banyak kawasan lapang yang boleh digunakan, tambahan sistem ini tidak memerlukan elektrik dan penjagaannya tidak begitu rumit," katanya.
Sumber : Sinar


kedah
ALOR SETAR 22 Ogos - Sebanyak 456 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di Kedah, dalam usaha meningkatkan perpaduan seiring dengan hasrat kerajaan ke arah penyatuan nasional.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Joseph Kurup berkata penubuhan KRT sebagai entiti yang diberi tanggungjawab untuk mengukuhkan perpaduan di peringkat akar umbi berjaya memainkan peranan sebagai 'mata dan telinga' kerajaan dalam memantapkan lagi perpaduan dalam kalangan rakyat.
"Saya menyeru agar semua warga Rukun Tetangga termasuk ahli sekretariat Rukun Negara di peringkat universiti dapat melaksanakan program dan aktiviti berimpak tinggi dengan penuh komited dan bertanggungjawab supaya hasrat kerajaan untuk mencapai gemilang perpaduan dapat direalisasikan," katanya.
Sumber : Bernama


22perit
KUALA NERANG 22 Ogos - Pengalaman selama tiga tahun dan lapan bulan semasa di bawah pemerintahan penjajahan Jepun sangat memeritkan hingga memberi tekanan kepada penduduk di Padang Terap.
Pemerintahan zaman pendudukan Jepun di bawah ketuanya, O Hara bukan sahaja memberi tekanan dalam kehidupan, tetapi akidah penduduk di situ juga hampir terjejas kerana diarah menyembah matahari.
Ismail Said, 86, atau lebih dikenali sebagai Long berkata, dia yang hidup di tiga kuasa asing dapat merasai keperitan semasa pihak berkenaan menduduki Padang Terap.
Menurutnya, semasa pemerintahan Jepun dia berusia 10 tahun, namun dia dapat merasai pengalaman kezaliman tentera Nippon itu terhadap penduduk di daerah itu.
“Setiap bulan pada 8 hari bulan penduduk di Kuala Nerang diarahkan berkumpul untuk menyanyi lagu kebangsaan Jepun dan mendengar ceramah daripada pemimpin Jepun.
“Sebelum itu semasa matahari terbit, penduduk dan pelajar diarahkan untuk sembah matahari. Bagi mereka yang enggan melakukannya akan diseksa dan ini menyebabkan penduduk terpaksa akur kerana takut hukuman yang akan dihadapi mereka ketika itu.
“Mereka yang membuat kesalahan juga akan diarah minum air hingga kenyang, kemudiannya akan dipijak dengan dilapikkan papan hingga seseorang itu akan mengaku,” katanya yang mampu menyanyi lagu kebangsaan Jepun.
Menurut Long, semasa pemerintahan Jepun terdapat ladang paksa di daerah itu yang ditanam dengan kapas dan penduduk terutamanya lelaki dipaksa bekerja di ladang itu hingga menyebabkan ada yang tidak tahan dan melarikan diri.
Katanya, penduduk bukan sahaja tertekan dengan kekejaman pemerintahan Jepun, malah barangan makanan utama seperti pisang dan ubi juga sangat terhad dan susah untuk mendapatkannya.
“Beras pula sering dirampas Jepun, secara tidak langsung menyebabkan penduduk masa itu bukan saja takut kepada tentera Jepun, tetapi juga kepada perompak yang ganas.
“Semasa pendudukan Jepun itu seorang pegawai kerajaan sanggup menjual kain samping kepada bapa saya dengan nilai 1,000 nilai mata wang Jepun bagi tujuan untuk membeli makanan. Kain itu masih lagi dalam simpanan saya untuk mengenangkan keperitan pemerintahan tentera Jepun pada anak cucu kita hari ini,” katanya.
Komunis ambil kesempatan
Selepas tentera Jepun mengundur dari Malaysia pada 1945, komunis cuba mengambil kesempatan dengan cuba menawan Padang Terap hingga kehidupan penduduk sekali lagi dihantui kekejaman.
Menurut Long, semasa komunis cuba menawan daerah berkenaan beberapa peristiwa hitam berlaku hingga aktiviti kehidupan penduduk di situ turut terjejas.
Bimbang dengan ancaman dari komunis, dia sendiri turut melibatkan diri dengan menjadi polis sukarelawan dan menyahut seruan kerajaan masa itu menentang komunis.
“Selain serangan komunis di balai polis Padang Sanai, beberapa serangan hendap ke atas tentera kita turut berlaku hingga enam anggota turut menjadi korban. Pada masa itu Padang Sanai disenaraikan kawasan hitam bermula dari jam 6 petang hingga 6 pagi.
“Anggota tentera juga turut mengenakan sekatan kepada orang ramai di setiap jalan bagi memeriksa bekalan makanan mereka kerana bimbang ada pihak yang cuba menyeludupkannya kepada anggota komunis,” katanya.
British mula mentadbir
Bagaimanapun dengan semangat cintakan tanah air akhirnya komunis berjaya dihalau hinggalah British mula mentadbir semula di Tanah Melayu sepenuhnya.
Pemerintahan British sekali lagi memberi kesan kepada penduduk di Padang Terap apabila mereka tidak sebebasnya dalam menentukan hala tuju sebuah negara merdeka.
“Pada masa itu British akan menangkap penduduk kampung yang melibatkan diri dalam Umno dan jika mereka ingin mengembangkan keahlian hanya melalui berbisik sahaja. Semasa itu hanya terdapat 11 ahli Umno di Padang Terap termasuk saya sendiri. Kekejaman British pada masa itu agak lembut dibandingkan dengan pendudukan Jepun yang agak ganas.
“British tidak mahukan orang Melayu berpelajaran dan hanya golongan bangsawan saja diberi pendidikan. Ini menyebabkan golongan nasionalis mula bangun menentang pemerintahan British di tanah air,” katanya.
Menurut Long, kekejaman pihak berkenaan sepatutnya menjadi iktibar kepada generasi hari ini bagi mengekalkan kemerdekaan yang dicapai sekian lama.
"Oleh itu sudah sampai masanya generasi baru hari ini ambil alih dari golongan veteran bagi mengekang kuasa luar yang cuba menapak di negara kita ini semula," ujarnya.
Sumber : Sinar


22kenderaan
ALOR SETAR 22 Ogos – Penguatkuasaan larangan kepada kenderaan asing khususnya dari Thailand untuk membeli petrol RON95 di negeri ini masih terpakai.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kedah, Mohamad Fitri Hassan berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan sentiasa melakukan pemantauan.
“Dari segi arahan barangan kawalan itu masih lagi terpakai dan kalau ikut kerajaan, tak boleh beli. Cuma dengan kuantiti tertentu yang dibenarkan dalam peraturan.
“Kita kena lihat dari segi tujuannya, kalau kenderaan dari Thailand yang nak ke Johor dan ada Permit Edaran Antarabangsa (ICP) yang sah, memang kita ada kategori tersendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas hadir pada majlis perasmian kempen kesedaran keselamatan petroleum dan anugerah kedai harga patut 2016 peringkat negeri Kedah di Hotel Grand Alora, di sini, semalam.
Menurutnya, kawasan sempadan terutamanya tidak boleh membeli petrol RON95 melebihi jumlah RM250 setiap kali isian.
“Berdasarkan statistik sehigga Ogos, sejumlah RM767,000 nilai rampasan untuk barangan kawalan minyak telah direkodkan berlaku di kawasan sempadan.
“Sekiranya pengguna melihat kesalahan itu berlaku di mana-mana stesen minyak, sila laporkan kepada pihak KPDNKK dengan segera,” katanya.
Mengulas mengenai kempen kesedaran keselamatan petroleum yang diadakan itu, beliau memaklumkan ia adalah usaha untuk meningkatkan pengetahuan dan kesedaran pengguna dalam mengambil langkah-langkah keselamatan ketika berada di stesen minyak.
“Ini kerana kita dapati banyak juga kes kemalangan berlaku di stesen-stesen minyak akibat kekurangan kesedaran dikalangan pengguna itu sendiri.
“Di Kedah lebih 400 stesen minyak termasuk stesen minyak mini. Belum ada kes dilaporkan berlaku di Kedah dan hanya di peringkat nasional, kita kena ambil langkah-langkah pencegahan supaya ia tidak berlaku,” katanya.
Oleh : Mohamad Fakhri Mohd Ali
Sumber : Sinar


kedah
ALOR SETAR 21 Ogos - Majlis Kerabat Diraja Kedah kesal dengan kenyataan anggota Parlimen Langkawi Datuk Nawawi Ahmad yang mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan "Malaysian Official 1' (MO1) yang disebut dalam laporan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat.
Yang Dipertuanya Syed Idrus Syed Baharom berkata pihaknya juga kesal dengan ahli politik itu kerana tidak membuat permohonan maaf secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
"Yang di-Pertuan Agong merupakan pemerintah negara dan bukannya pentadbir negara, jadi kenapa perlu libatkan baginda dalam isu berkaitan politik ini.
"Nak buat apa-apa kena siasat dahulu kerana ini melibatkan maruah Yang di-Pertuan Agong, jadi sekarang Nawawi perlu minta keampunan secara rasmi kepada Yang di-Pertuan Agong dan bukannya melalui media," katanya dalam sidang akhbar di kediamannya di Anak Bukit di sini.
Beliau turut memberikan peringatan keras kepada semua pihak supaya tidak melibatkan Yang di-Pertuan Agong dalam sebarang isu berkaitan politik yang boleh menjatuhkan maruah institusi diraja.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Jumaat dilaporkan berkata polis akan memanggil anggota Parlimen Langkawi itu berhubung kenyataannya Yang di-Pertuan Agong adalah MO1 yang disebut dalam laporan DOJ.
Nawawi bagaimanapun pada hari yang sama membuat laporan polis bagi menyangkal dakwaan berhubung komentarnya yang kononnya mengaitkan Yang di-Pertuan Agong dengan DOJ, sambil menyatakan ia telah disalah tafsir.
Sumber : Bernama


21bekas
ALOR SETAR 21 Ogos - Bagi menyemarakkan semangat patriotisme terutama dalam kalangan belia bersempena Hari Kebangsaan ke-59, bekas anggota tentera, Nasir Abas, hari ini memulakan Larian Merdeka sejauh 500 kilometer dari Alor Setar ke Dataran Merdeka, Kuala Lumpur.
Majlis pelepasan dari Masjid Zahir di sini pada 7.30 pagi itu disempurnakan oleh Naib Ketua Umno Bahagian Kuala Kedah Datuk Abdul Mutalib Harun. Turut hadir anggota keluarga dan rakannya untuk memberikan sokongan moral dan semangat.
Nasir, 61, dari Taman Sri Putra, Kuala Kedah berkata beliau berharap usahanya itu dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan golongan belia yang dilihatnya semakin melupai erti sebenar kemerdekaan.
Sumber : Bernama


20ogos
ALOR SETAR 19 Ogos - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memaksimumkan bekalan lembu dan kambing tempatan bagi memenuhi keperluan umat Islam sempena perayaan Aidil-adha bulan depan.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata, langkah itu sebagai usa­ha untuk mengurangkan risiko kenaikan harga lembu dan kam­bing import disebabkan kadar pertukaran mata wang yang tidak menentu pada masa ini.
“Masalah bekalan tidak perlu dibimbangkan kerana kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sentiasa memastikannya mencukupi untuk kegunaan harian mahupun pada musim perayaan,” katanya selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat Parlimen Kuala Kedah di sini hari ini.
Menurutnya, kementerian juga pada masa sama akan memastikan penternak lembu dan kambing tempatan mampu memaksimumkan pengeluaran mereka bagi mengurangkan import.
Dalam majlis tersebut, seba­nyak 10 petani menerima geran jentera dan peralatan kecil seperti mesin rumput dan pam air bagi memudahkan golongan tersebut mengusahakan tanaman padi.
Penduduk Kampung Benua di sini turut menerima kemudahan lintasan ladang yang kos pembinaan berjumlah RM128,303.
Menurut Tajuddin, pihaknya bagaimanapun bersedia mening­katkan jumlah lembu dan kam­bing import sekiranya bekalan haiwan ternakan tempatan masih tidak mencukupi bagi memenuhi permintaan musim perayaan ini.
“Untuk memastikan tiada masalah dalam menyediakan bekalan, kita bersedia mening­katkan jumlah import kepada 70 hingga 80 peratus berban­ding 60 peratus pada masa ini. Bagaimana­pun selepas musim perayaan, kita akan turunkan semula kadar itu,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan


19rayu

ALOR SETAR 19 Ogos - Sekumpulan penduduk Taman Mustika, Hutan Kampung, mendakwa laluan rosak di sini disebabkan jentera berat yang melalui kawasan kediaman mereka.

Penduduk, Rahmah Ismail, 52, berkata, beberapa jentera berat menggunakan jalan Lorong 3 seolah-olah laluan utama untuk mereka ke tapak pembinaan.

Menurutnya, sejak dua tahun kebelakangan ini, kerosakan laluan semakin serius kerana ada bahagian tertentu jalan berlubang dan berlopak, sehingga memberi kesan kepada penduduk setempat.

“Baru-baru ini, penduduk berdepan kesulitan meletakkan kerusi dan meja untuk mengadakan sebuah majlis memandangkan jalan tidak sekata dan terpaksa menambun tanah," katanya.

Menurutnya lagi, keadaan bertambah teruk apabila hujan apabila takungan air dalam lopak mengotorkan kawasan kediaman penduduk.

Sementara itu, Radzi Baharum, 53, berkata, kebanyakan penduduk susah hati kerana masalah ini berpanjangan malah menimbulkan ketidakselesaan pada penduduk.

“Bukan hanya tidak selesa, penduduk perlu berhati-hati untuk mengelak lubang dan keadaan jalan berlopak menyakitkan mata memandang,” katanya.

Malah, kata Radzi lagi, dia berharap papan tanda larangan dipasang untuk mengelak jentera berat lebih tiga tan menggunakan jalan bagi mengelakkan masalah berterusan.

Menurutnya, penduduk memohon tindakan sewajar diambil kerana bimbang jikalau dibiarkan, keadaan laluan kian teruk sehingga merebak ke bahagian lain.

Ahmad Zaki Ayob, 50, berkata, mereka bimbang risiko keselamatan anak-anak yang kemungkinan tercedera ketika menggunakan laluan berkenaan.

Menurutnya, penduduk mengharapkan keprihatinan pihak bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah yang membelenggu penduduk hampir dua tahun.

Untuk itu, menurut Zaki, dia merayu pihak bertanggungjawab agar menurap laluan ini bagi keselamatan dan keselesaan penduduk.

Oleh : Nurul Hidayah Hamid

Sumber : Sinar


18selesai

ALOR SETAR 18 Ogos - Semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) disaran turut memberi perhatian kepada isu golongan ‘a­nak­ dara emas’ belum ber­kahwin.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Kedah, Datuk Mohd. Rawi Abd. Hamid berkata, golongan itu terdiri daripada golongan pro­­­fesional seperti pe­nsyarah, janda atau wa­nita muda yang hi­dup sekian lama tanpa pasangan.

“Berdasarkan pe­n­ga­­laman saya melalui sebuah syarikat yang ditubuhkan bersama sebuah NGO sebelum ini yang bertujuan untuk mencari jodoh dan menggalakkan perkahwinan sah, pada bulan pertama sahaja kami berjaya mendaftar 25 kes (wanita tidak berkahwin).

“Dan daripada jumlah ini, 10 daripada mereka adalah wanita profesional yang bekerja di pusat pengajian tinggi sama ada sebagai pensyarah atau ahli akademik,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd. Nasir Mustafa (Pas-Kubang Rotan) yang ingin tahu langkah kerajaan dalam mengatasi masalah perceraian yang semakin meningkat dan keperluan untuk mengadakan­ kursus pascaperkahwinan bagi mengatasi masalah itu.

Mohd. Rawi ber­kata, kebanyakan wa­nita tersebut yang mempunyai sta­tus kewangan ku­kuh­ mengakui malu dalam hal berkaitan mencari jodoh dan enggan dikatakan se­perti pepatah ‘perigi mencari timba’.

Sementara itu ber­cakap kepada pem­berita di luar De­wan, beliau memper­so­al­kan tindakan NGO ba­gi menangani ma­salah tersebut se­dang­kan mereka begitu agresif dan menentang poligami.

“Apa tindakan NGO ini sehingga golongan wanita profesional turut menjadi kumpulan sasaran warga asing yang menjalankan kegiatan Love Scam dengan menipu duit mereka, sedangkan mereka juga dahagakan cinta dan memerlukan suami,” katanya.

Terdahulu, ketika menjawab so­­alan Aishah Ghazali (Pas-Mer­bau Pulas) mengenai kadar­ per­ceraian di Kedah, kata Mohd. Ra­wi­, kadarnya adalah membim­bangkan apabila berlaku peningkatan iaitu 5,184 kes pada tahun 2015 berbanding 4,803 kes (2014).

Katanya, kes khalwat turut meningkat iaitu 387 kes pada 2014 dan 440 kes pada tahun 2015.

Mohd. Rawi juga meminta Jabatan Peguam Negara agar berbincang dengan Majlis Kehakiman Negeri Kedah bagi me­ngurangkan masalah ribuan anak tidak sah taraf yang biasanya berlaku di negeri yang bersempa­danan dengan Thailand.

“Negeri yang tiada sempadan mungkin tiada isu macam ini. Saya boleh buktikan ribuan kes di luar sana yang memerlukan undang-undang sedia ada dikendur­kan sedikit,” katanya.

Sumber : Utusan


17kift
ALOR SETAR, 17 Ogos - Projek Terminal Perikanan Bersepadu Kedah (KIFT) yang bernilai kira-kira RM3 bilion akhirnya mendapat kelulusan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN) dan dijangka mula menerima pendaratan ikan tuna pertama pada tahun hadapan.
Exco Pelaburan Kedah Datuk Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata kelulusan itu diperoleh pada 21 Julai lepas dalam mesyuarat bersama MPFN, dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Jelasnya, proses mendapat kelulusan itu bukanlah suatu perkara yang mudah dan perlu melalui perbincangan dengan pelbagai pihak antaranya Jawatankuasa Kawal Selia, Jawatankuasa Teknikal dan Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Sumber : Bernama

e-tutor
ALOR SETAR 16 Ogos - Lebih RM1 juta disediakan kerajaan pusat untuk syarikat bas henti-henti di Kedah bagi tahun ini sahaja bagi memastikan mereka meneruskan perkhidmatan demi kepentingan rakyat.
Exco Pengangkutan negeri Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, walaupun kerajaan sedar perkhidmatan bas henti-henti tidak menguntungkan, atas dasar tanggungjawab bantuan tetap diberikan sejak 2012 lagi kepada lima syarikat bas tersebut.
"Menjalankan operasi bas henti-henti memang tidak menguntungkan sebab itu ada beberapa laluan yang tiada kerana operator kata pengangkutan persendirian lebih banyak di negeri ini," katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri di sini hari ini
Sumber : Bernama



    e-tutor
    ALOR SETAR 16 Ogos - Kerajaan negeri masih mempertimbangkan sama ada untuk meneruskan progam Kedah-e Tutor (KeT) yang membabitkan perbelanjaan RM18 juta setahun berikutan kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan negeri.
    Exco Pendidikan Kedah Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata walaupun program KeT telah ditamatkan berikutan kontrak bersama pengendali program itu tamat pada Mac lalu, namun ia bukanlah penamatan sepenuhnya.
    "Kita masih boleh akses soalan interaktif, yang kita tamatkan ialah tuisyen dan tayangan video. Perbincangan dan kaedah untuk menyambung program itu masih diteruskan," katanya menjawab soalan Dr R Krishnamoorthy (PKR-Bukit Selambau) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa
    Sumber : Bernama


    16fasa
    ALOR SETAR, 16 Ogos - Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) menyasarkan sejumlah 100,000 hektar tanah dalam fasa pertama projek tanaman guarana yang dijangka bermula akhir tahun ini.
    Pengerusinya Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata pihaknya telah mengenal pasti kawasan yang sesuai di seluruh negara iaitu melibatkan tanah dalam proses tanaman semula pokok getah atau kelapa sawit.
    Beliau berkata tanaman yang diimport dari Brazil itu tidak menggangu tanaman lain dan hanya memerlukan tempoh enam bulan sebelum dapat dituai.
    "Pekebun kecil akan memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 bagi sekilogram buah guarana berbanding harga getah iaitu RM2.20 sekilogram, ia amat menguntungkan pekebun kecil," katanya kepada pemberita selepas majlis ramah mesra bersama pemaju masyarakat dan pegawai seranta RISDA peringkat Negeri Kedah di sini, hari ini.
    Katanya pokok berkenaan juga sesuai ditanam dalam keadaan cuaca di negara ini hasil percubaan di tapak semaian milik RISDA di Pulau Pinang sebelum ini.
    "RISDA akan cari tanaman yang boleh dipasarkan untuk bantu pekebun kecil, sebelum ini kita pernah menanam pelbagai tanaman lain yang akhirnya gagal untuk dipasarkan," katanya.
    Sementara itu, Zahidi berkata RISDA sedang berbincang dengan beberapa kementerian bagi mendapatkan lesen untuk mengimport barangan keperluan asas dalam usaha membantu mengurangkan kos sara hidup pekebun kecil RISDA, ekoran harga getah yang tidak menentu.
    Beliau berkata pekebun kecil kemudian boleh membeli barangan seperti beras, gula, tepung dan minyak masak pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.
    "Mereka yang mempunyai kad pekebun kecil RISDA sahaja yang layak untuk mendapatkan barangan tersebut dan kita sedang berbincang dengan pelbagai pihak bagi merealisasikan perkara ini," katanya.
    Beliau berkata kira-kira 1.2 juta keluarga pekebun kecil RISDA akan mendapat manfaat daripada program tersebut sekali gus mampu mengurangkan beban kos sara hidup rakyat.
    Sumber : Bernama


    16zakat
    SIK 16 Ogos - Pejabat Zakat Cawangan Sik meluluskan permohonan Bantuan Awal Institut Pengajian Tinggi (IPT) kepada Noor Hidayah Abdullah, 20, iaitu bakal penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) setelah kisahnya menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp beberapa hari lalu.
    Menerusi viral tersebut, Noor Hidayah Abdullah dikehendaki mendaftar di UPSI pada 29 Ogos ini, namun faktor kemiskinan dan masalah kewangan menghalang niat untuk menyambung pengajian.
    Pengurus Pejabat Zakat Cawangan Sik , Mohd Khairul Nizam Abd Aziz berkata, bantuan awal IPT bagi membantu pelajar itu telah diluluskan oleh pihaknya.
    Menurutnya, bantuan berjumlah RM 1,500 akan dikreditkan ke akaun pelajar tersebut.
    “Sebelum kisahnya itu menjadi viral, pelajar itu ada datang ke pejabat zakat dan bantuan sememangnya akan diberikan,” katanya ketika dihubungi , semalam.
    Mohd Khairul Nizam berkata, pejabat zakat tidak akan sesekali mengabaikan pelajar yang memerlukan dan yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT.
    “Setiap permohonan yang cukup syarat akan menerima bantuan. Bantuan yang disediakan adalah dari peringkat sijil, diploma, ijazah, ijazah sarjana muda dan ijazah kedoktoran.
    “ Orang ramai boleh akses borang permohonan dari laman web di http/www.zakatkedah.com ,” katanya.
    Dalam pada itu, nasib seorang lagi pelajar kurang berkemampuan turut mendapat perhatian Pejabat Zakat Cawangan Sik.
    Nor Azila Osman ,20, ketiadaan ibu bapa dan kini dijaga abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan dilaporkan turut mengalami masalah kesempitan wang untuk yuran pendaftaran bagi kemasukan hujung Ogos ini.
    Beliau berkata, pelajar berkenaan akan diberikan bantuan penuh memandangkan keluarganya kurang berkemampuan.
    “Ini adalah kes istimewa dan pelajar ini akan serahkan sendiri surat waran ini kepada pihak universiti.
    “Pihak universiti akan membuat tuntutan yuran kepada Lembaga Zakat Kedah tidak melebihi RM 2,500,” katanya.
    Tambahnya, mana-mana pelajar yang tidak mampu membayar yuran boleh hubungi pejabat zakat terdekat di mana skim bantuan untuk pelajar yang memerlukan bantuan disediakan kepada yang memerlukan.
    Sumber : Sinar


    15tak
    SIK 15 Ogos - Seorang lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) diterima masuk ke Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), namun dia tidak mampu menyediakan yuran pendaftaran kemasukannya pada 28 Ogos ini.
    Nor Azila Osman, 20, bekerja sementara sebagai operator kilang sementara menunggu keputusan STPM, namun pendapatan yang dikumpul daripada pekerjaannya itu tidak mampu menampung perbelanjaannya.
    "Saya menerima surat tawaran pada 8 Ogos lalu untuk mengikuti pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda Bahasa Arab dan Pendidikan di UPSI. Namun saya hadapi dilema apabila wang yang saya kumpul selama ini belum mencukupi untuk saya membayar yuran pendaftarannya," kata anak yatim piatu ini yang dijaga abangnya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan.
    Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Sik ini yang mendapat keputusan 3.42 berkata yuran pendaftaran serta yuran kolej untuk satu semester di UPSI ialah sebanyak RM2,182.35.
    "Saya terfikir tidak mahu lagi menyambung pelajaran, tapi sampai bila saya akan berbuat demikian," katanya.
    Sumber : Sinar



      14masjid
      KUALA KETIL 14 Ogos - Masjid Kariah Tembak, Kampung Tembak A di sini, memerlukan dana berjumlah RM700,000 bagi menyiapkan binaan ruang tambahan solat.
      Setiausaha masjid, Khalid Che Soh berkata, ruang masjid sedia ada tidak mampu menampung jemaah terutamanya ketika solat Jumaat dan solat sunat Hari Raya Aidilfitri.
      Menurutnya, masjid ini hanya mampu memuatkan 400 jemaah dalam satu-satu masa sedangkan jumlah penduduk di kariah mencecah lebih 2,000 orang.
      “Setiap kali solat Jumaat dan solat sunat Aidilfitri, jemaah terpaksa menunaikan solat di luar dari kawasan masjid. Masalah ini sudah berlarutan 10 tahun.
      “Selain penduduk Kampung Tembak, penduduk dari 10 kampung berdekatan juga solat di masjid ini termasuk pelajar sekolah pondok berhampiran,” katanya kepada Sinar Harian.
      Khalid berkata, sebagai alternatif, pihak masjid membina balai sementara bagi memberi keselesaan kepada jemaah ketika menunaikan solat.
      “Selain ruang solat, kami juga perlukan dana untuk membina dewan makan, kawasan memasak dan tandas,” katanya.
      Dalam pada itu, katanya, kini pihaknya sedang giat mencari dana melalui kempen di media sosial Facebook dan WhatsApp.
      Menurutnya, pihak masjid juga bercadang mengumpul wakaf jariah daripada penduduk kampung bernilai RM100 secara ansuran.
      “Kami akan umumkan perkara itu pada hari Jumaat minggu ini kepada jemaah.
      “Selain itu, kami juga ada mengumpul dana daripada anak kariah Tembak yang bekerja di luar,” katanya.
      Sementara itu, imam masjid, Abu Bakar Che Doi berkata, binaan tambahan itu disasarkan siap pada hujung tahun hadapan.
      “Saya minta kerjasama daripada anak kariah yang berada di kampung ataupun di luar beri sokongan untuk membina tambahan masjid supaya siap secepat mungkin,” katanya.
      Orang ramai yang ingin menyumbang boleh hubungi Abu Bakar di talian 013-4363471, Khalid (013-4353009) atau salurkan secara terus menerusi Bank Islam (02020010016323) atas nama Masjid Tembak, Kampung Tembak A.
      Sumber : Sinar


      14sedia
      ALOR SETAR 14 Ogos - Kerajaan negeri bersedia memberikan kerjasama kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam melakukan siasatan berhubung aduan melibatkan penjawat awam di negeri itu.
      Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, pihaknya tidak akan melindungi mana-mana individu mahupun pihak yang didapati terlibat dalam isu rasuah atau penyelewengan.
      “Jika ada laporan dibuat berkaitan mana-mana projek yang diragui, kita bersedia beri kerjasama yang diperlukan. Bagaimana pun, kita serahkan pada SPRM untuk jalankan siasatan,” katanya, selepas majlis pelancaran kempen kibar Jalur Gemilang peringkat negeri, hari ini.
      Menurutnya, jika terbukti wujud penyelewengan, pihaknya tidak teragak-agak membantu dalam siasatan terbabit.
      “Kalau ada kesalahan yang dikesan, terpulang kepada SPRM untuk ambil tindakan,” katanya.
      Ahmad Bashah berkata demikian bagi mengulas tindakan Pemuda Pas Kedah yang membuat laporan SPRM berhubung projek menaik taraf Loji Rawatan Air Kuala Nerang di Kampung Mani, kerana didakwa berlaku penyelewengan dana kerajaan Persekutuan.
      Ahmad Bashah berkata, bagaimana pun pihaknya akan meneliti bentuk tuduhan yang dilemparkan termasuk mengenal pasti individu disyaki terlibat sekiranya dakwaan itu benar.
      “Mereka baharu sahaja buat laporan itu, kerajaan negeri akan teliti isu yang dibangkitkan. Pembinaan loji rawatan air dan baik pulih prasarana air adalah sebahagian tanggung jawab kerajaan dan jika wujud rasa tidak puas hati kalangan rakyat, mereka berhak bersuara,” katanya.
      Sumber : Sinar


      13atm
      SUNGAI PETANI 13 Ogos - Anggota tentera darat tidak digalakkan bermain aplikasi Pokemon Go terutamanya kawasan kem kerana bimbang ancaman keselamatan negara termasuk keselamatan diri sendiri.
      Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor berkata, langkah-langkah susulan untuk membendung permainan itu akan diambil berikutan aplikasi berkenaan banyak negatif daripada kebaikan terutama aspek keselamatan negara dan juga pemain itu sendiri.
      “Tidak mustahil, muncul karakter dalam permainan Pokemon Go berada di mana-mana termasuk di kawasan kem namun kita tidak galakkan anggota menggunakan aplikasi ini di dalam kem atau di mana sahaja anggota berada.
      “Mungkin karakter itu berada atas bumbung, ia membabitkan soal keselamatan diri anggota itu sendiri. Kalau karakter berada di kawasan larangan ia, melibatkan soal privasi dan keselamatan negara.
      “Jadi tentera tidak di galak sama sekali bermain, sekiranya ada anggota memegang gajet memburu karakter dalam kem sendiri, kita mungkin akan ambil tindakan ke atas mereka ,”katanya pada sidang media, selepas menghadiri Majlis Perbarisan Penghargaan Sempena Persaraan, Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM, Mejar Jeneral Datuk Mohd Noor Daud di Padang Kawad 19 Rejimen Askar Melayu Diraja (Mek) Kem Lapangan Terbang, di sini, semalam.
      Menurutnya, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sedang meneliti satu pendekatan menyeluruh dan bersama bagi membendung permainan itu dalam kalangan anggota tentera.
      “Kebimbangan kami dalam aplikasi permainan Pokemon Go adalah dari segi keselamatan negara termasuklah sama ada ianya memberi ancaman terhadap privasi dan keselamatan kawasan miliki tentera seperti kem, peralatan atau pun anggota sendiri kerana ianya menggunakan Sistem Pengesan Kedudukan Global (GPS) di mana pemain boleh merakamkan gambar lokasi permainan menerusi kamera yang turut disambungkan dengan talian Internet ,"katanya.
      “Raja Mohamed Affandi berkata, belum ada satu ketetapan bersama mahupun arahan rasmi berkenaan perkara ini..
      "Namun ATM merupakan satu-satunya organisasi yang melindungi keselamatan negara di tahap tertinggi dan akan memandang serius dalam memastikan keselamatan negara sentiasa terjamin.
      Dalam majlis itu, seramai 495 anggota tentera darat termasuk pegawai hadir dan antaranya Panglima Medan Barat, Tentera Darat merangkap Pengerusi Rejimen Askar Melayu Diraja, Leftenan Jeneral, Datuk Sri Zulkiple Kassim.
      Sumber : Sinar



        11kedah
        ALOR SETAR 10 Ogos - Jawatankuasa Fatwa nege­ri hari ini memutuskan permainan Po­kemon Go ha­­ram, sekali gus wajar disekat dan dilarang penggunaannya dalam kalangan umat Islam.
        Mufti Kedah, Datuk Syeikh Mu­­hamad Baderudin Ahmad ber­kata, perkara itu diputuskan hasil per­bincangan jawatan­kuasa tersebut yang turut menggariskan ancaman permainan berke­naan dikhuatiri memudaratkan umat Islam, khususnya institusi kekeluargaan, keselamatan nega­ra dan keharmonian kaum di negeri ini.
        “Keputusan perbincangan ter­sebut mendapati permainan Pokemon Go wajar dihalang, di­sekat serta dilarang. Satu perkataan yang lebih tepat adalah haram,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di Jabatan Mufti Kedah di sini.
        Pada 1 Ogos lalu, Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan memutuskan melarang permainan Pokemon Go berikutan kemudaratan yang berlaku dalam masyarakat.
        Semalam, Jawatankuasa Fatwa Melaka turut memutuskan aplikasi permainan Pokemon Go adalah dilarang dan mesti dijauhi umat Islam kerana membawa kepada kemudaratan dan kelalaian.
        Sementara itu, menurut Syeikh Muhamad Ba­derudin, keputusan ber­kenaan juga dibuat berdasarkan beberapa kemudaratan yang di­­cetuskan akibat ke­ta­­gihan permainan ber­­­kenaan seperti kepa­da akidah dan ibadat u­mat Islam.
        “Hadis Rasulullah SAW bermaksud: Kita tidak boleh mendatang­kan kemudaratan kepada diri sendiri dan kemudaratan itu kepada orang lain, jadi bersandarkan kepada itu, permainan ini wajar disekat.
        “Kita tengok kepada keburukan yang dicetuskan, ia boleh ancam ibadat dan akhlak, mengganggu-gugat keselamatan negara termasuk mengancam rahsia negara dan boleh mencetuskan suasana tidak sihat jika berlaku pencerobohan rumah ibadat ma­sing-masing,” katanya.
        Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya menggesa agar pihak berwajib melaksanakan langkah penguatkuasaan untuk menyekat akses masyarakat kepada permainan berkenaan.
        “Melihat kepada kemudaratan yang boleh dicetuskan daripada ketagihan permainan ini, ia wajar disekat, kalau haram saja, orang buat (bermain) juga. Kita mahu perkara ini disekat oleh pihak yang ada kuasa dan pihak berwajib dalam perkara ini.
        “Saya ingin cadangkan agar kerajaan sekat aplikasi permai­nan ini. Pengisytiharan sebagai haram yang dibuat oleh banyak pihak, tidak mampu menyekat masyarakat,” katanya.
        Mengulas lanjut, Syeikh Muhamad Baderudin turut menya­rankan agar ibu bapa sentiasa berwaspada dan sentiasa mengambil berat serta memantau pergerakan anak mereka supaya tidak terjebak dengan permainan yang boleh menggugat keimanan mereka.
        Oleh : Jamliah Abdullah
        Sumber : Utusan