
Oleh: SAHBULAH DARWI
ALOR
SETAR 21 Julai - Langkah kerajaan negeri mahu mewartakan sekatan
penularan Syiah di negeri ini adalah bertepatan dengan kehendak Yang
di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah yang tidak
membenarkan umat Islam mengamalkan ajaran bercanggah dengan pegangan
Ahli Sunah Wal Jamaah.
Mufti
negeri, Datuk Sheikh Muhamad Baderudin Ahmad (gambar) berkata, Tuanku
Abdul Halim yang juga Sultan Kedah pernah beberapa kali menegaskan
perkara tersebut dalam titah ucapan baginda sebelum ini agar umat Islam
berpegang teguh kepada Ahli Sunah Wal Jamaah.
"Titah Seri Paduka diambil sebagai garis panduan tetapi tidak dapat dikuatkuasakan kerana tiada enakmen.
"Jadi
jika satu enakmen diwartakan, maka kita melangkah ke satu tapak lagi
untuk menyekat Syiah dengan cara mengambil tindakan penguatkuasaan
undang-undang seperti menahan pengamal fahaman itu," katanya ketika
dihubungi Utusan Malaysia di sini semalam.
Semalam
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri akan
mewartakan sekatan penyebaran Syiah dalam usaha membendung penularan
ajarannya di negeri itu.
Mukhriz
berkata, kewujudan fatwa tersebut juga akan membolehkan penguatkuasaan
dilaksanakan demi menyelamatkan akidah umat Islam.
Sheikh
Muhamad Baderudin berkata, Syiah perlu disekat daripada berkembang
kerana amat berbahaya berikutan fahaman itu telah rosak dari segi
akidah.
Beliau
berkata, enakmen itu membolehkan pihak berkuasa jabatan agama mengambil
tindakan undang-undang terhadap pesalah atau pengamal ajaran Syiah itu
dengan lebih berkesan. "Kita nak sekat Syiah supaya jangan menyerap masuk ke dalam masyarakat.
"Jadi
ada beberapa cara iaitu yang pertama beri penerangan dan ilmu
pengetahuan tentang penyelewengan Syiah kepada umat Islam dan kedua,
wujudkan akta untuk dikuatkuasakan supaya boleh menahan pesalah,"
katanya.
Sheikh
Muhamad Baderudin berkata, beliau mengalu-alukan langkah kerajaan
negeri kerana beberapa daerah seperti di Pendang, Sungai Petani dan Alor
Setar dikesan mempunyai pengikut Syiah yang cuba mengembangkan fahaman
itu.
Sumber: Utusan