Gotong-Royong 1M4U Di Alor Setar Dapat Sambutan

1M4U

Sebahagian peserta Program Sukarelawan 1M4U bekerjasama bergotong-royong membersihkan kawasan taman rekreasi berhampiran Dataran Balai Besar di Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir

ALOR SETAR 10 Julai - Sebanyak 100 pelajar menyertai Program Sukarelawan 1Malaysia for Youth (1M4U) yang dianjurkan Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Negeri dan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS).

Program sukarelawan berbentuk gotong-royong yang diadakan di Dataran Balai Besar di sini semalam melibatkan dua buah sekolah rendah, empat buah sekolah menengah dan sebuah institusi pengajian tinggi.

Setiausaha Puspanita negeri, Rizawati Ramli berkata, menerusi program tersebut, golongan belia dapat didedahkan dengan kepentingan menjaga kebersihan di kawasan pusat bandar. "Aktiviti gotong-royong ini merupakan aktiviti tahunan yang kita lakukan, namun kali ini kita libatkan bersama golongan belia dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mereka.

"Kita juga menyediakan aktiviti sampingan kepada peserta seperti senamrobik dan hadiah kepada kumpulan yang berjaya mengumpul sampah paling banyak," katanya kepada pemberita dalam program tersebut. Rizawati berkata, di samping mengadakan gotong-royong, Puspanita Kedah yang mempunyai ahli lebih 3,000 orang turut memfokuskan aktiviti kepada golongan wanita menerusi ceramah ilmu yang diadakan.

Sementara itu, peserta yang ditemui, Nor Shakirah Mohd. Shaharudin Shah, 18, berkata, walaupun program itu diadakan dalam masa yang singkat, namun banyak pengalaman diperoleh. "Menerusi aktiviti ini, saya dapat menyumbangkan tenaga dalam memastikan kebersihan di kawasan pusat bandar terpelihara agar kelihatan cantik di mata pelancong yang datang ke sini," katanya.

Seorang lagi peserta, Sarah Aufa Mohd. Ilias, 10, berkata, program tersebut merupakan gotong-royong di luar kawasan sekolah yang pertama pernah disertainya. Dia berharap agar program yang sama diteruskan pada masa akan datang untuk menyemai semangat cintakan kebersihan dalam kalangan murid sekolah.

Sumber: Utusan