TUNKU Puteri Intan Safinaz (dua dari kanan) menyampaikan anugerah kepada penerima Anugerah Cemerlang Idul Ilmi 2013, Mohamad Ridzwan Zulkefly di Maktab Mahmud, Alor Setar, Kedah, semalam.
ALOR SETAR 9 Julai - Golongan muda diingatkan agar menjadikan ilmu pengetahuan terutama berkaitan agama sebagai benteng mempertahankan diri daripada gejala negatif.
Ahli Jemaah Pemangku Sultan Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berkata, ini kerana dalam era teknologi maklumat, golongan tersebut sering terdedah kepada unsur tingkah laku tidak sihat.
"Ilmu amat penting dan al-Quran juga sentiasa mengajar kita agar mencari ilmu, jadi tiada alasan untuk mengabaikan ilmu.
"Gejala ponteng, lepak dan kes buli melibatkan pelajar mungkin disebabkan kurangnya ilmu hingga menyebabkan nilai murni terhakis," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Idul Ilmi 2013 Maktab Mahmud, di sini hari ini.
Yang turut hadir Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir.
Selain itu, Tunku Puteri Intan Safinaz berkata, komitmen ibu bapa juga penting dalam membentuk modal insan yang cemerlang. Dalam pada itu, beliau turut melahirkan rasa sukacita dengan pencapaian yang diperoleh oleh Maktab Mahmud sejak mula ditubuhkan pada 1936.
Menurutnya, Maktab Mahmud merupakan sebuah institusi tersohor yang melahirkan ramai cendekiawan tanah air. "Maktab Mahmud diharap dapat menjadi pemangkin dalam kalangan generasi muda dan semua pelajarnya perlu sentiasa meningkatkan kecemerlangan serta perlu menjauhkan perlakuan yang merosakkan minda," katanya.
Sumber: Utusan