SUNGAI
PETANI 11 Julai - Kerajaan Kedah komited untuk terus menjayakan agenda
program pembangunan Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) agar muncul
sebagai kawasan utama di rantau ini menjelang tahun 2025.
Menteri
Besarnya, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pelbagai strategi telah
disusun rapi, antaranya memberikan tumpuan terhadap sektor pertanian,
pembuatan, pelancongan dan perkhidmatan logistik.
"Sektor-sektor
terbabit menawarkan potensi pelaburan yang besar. Matlamat kerajaan
negeri adalah untuk membawa perubahan secara beransur-ansur ke arah
mewujudkan masyarakat moden dan progresif.
"Dalam
mencapai matlamat ini adalah penting bagi kita terus komited menjadikan
Kedah sebagai destinasi pelaburan utama dan berdaya saing. Ini juga
selari dengan matlamat NCER," katanya ketika berucap dalam majlis
perasmian Al Rajhi Bank Cawangan Sungai Petani di sini baru-baru ini.
Yang
hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Al Rajhi Bank Malaysia, Datuk
Azrulnizam Abdul Aziz dan Ahli Lembaga Pengarahnya, Datuk Nik Norzrul
Thani.
Mukhriz
berkata, ekonomi Kedah diunjur berkembang dengan kukuh memandangkan
sektor perindustrian mencatatkan pertumbuhan yang baik. "Kemudahan
infrastruktur di Kedah berada pada tahap kukuh dan mewujudkan
persekitaran sesuai untuk perniagaan dan pelaburan," katanya.
Dalam
pada itu, beliau memberitahu, bandar Sungai Petani misalnya merupakan
salah satu daripada bandar yang paling progresif di negara ini. "Sungai
Petani semakin menjadi tumpuan kerana adanya peluang yang tinggi dalam
kalangan pelabur terutamanya sektor industri, perniagaan dan pendidikan.
"Selain
itu, bank-bank tempatan dan asing berminat membuka cawangan, sekali gus
menyediakan pilihan kewangan lebih luas kepada para usahawan," katanya.
Beliau juga mengalu-alukan kerjasama daripada sektor korporat untuk
memacu agenda pembangunan negeri Kedah.
Sumber: Utusan