Sebahagian
peserta Program Sukarelawan 1M4U bekerjasama bergotong-royong
membersihkan kawasan taman rekreasi berhampiran Dataran Balai Besar di
Alor Setar, kelmarin. - UTUSAN/Shahni Farhana Mat Sahir
ALOR
SETAR 10 Julai - Sebanyak 100 pelajar menyertai Program Sukarelawan
1Malaysia for Youth (1M4U) yang dianjurkan Persatuan Suri dan Anggota
Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Negeri dan Majlis
Bandaraya Alor Setar (MBAS).
Program
sukarelawan berbentuk gotong-royong yang diadakan di Dataran Balai
Besar di sini semalam melibatkan dua buah sekolah rendah, empat buah
sekolah menengah dan sebuah institusi pengajian tinggi.
Setiausaha
Puspanita negeri, Rizawati Ramli berkata, menerusi program tersebut,
golongan belia dapat didedahkan dengan kepentingan menjaga kebersihan di
kawasan pusat bandar. "Aktiviti gotong-royong ini merupakan aktiviti
tahunan yang kita lakukan, namun kali ini kita libatkan bersama golongan
belia dalam memupuk semangat kesukarelawan dalam kalangan mereka.
"Kita
juga menyediakan aktiviti sampingan kepada peserta seperti senamrobik
dan hadiah kepada kumpulan yang berjaya mengumpul sampah paling banyak,"
katanya kepada pemberita dalam program tersebut. Rizawati berkata, di
samping mengadakan gotong-royong, Puspanita Kedah yang mempunyai ahli
lebih 3,000 orang turut memfokuskan aktiviti kepada golongan wanita
menerusi ceramah ilmu yang diadakan.
Sementara
itu, peserta yang ditemui, Nor Shakirah Mohd. Shaharudin Shah, 18,
berkata, walaupun program itu diadakan dalam masa yang singkat, namun
banyak pengalaman diperoleh. "Menerusi aktiviti ini, saya dapat
menyumbangkan tenaga dalam memastikan kebersihan di kawasan pusat bandar
terpelihara agar kelihatan cantik di mata pelancong yang datang ke
sini," katanya.
Seorang
lagi peserta, Sarah Aufa Mohd. Ilias, 10, berkata, program tersebut
merupakan gotong-royong di luar kawasan sekolah yang pertama pernah
disertainya. Dia berharap agar program yang sama diteruskan pada masa
akan datang untuk menyemai semangat cintakan kebersihan dalam kalangan
murid sekolah.
Sumber: Utusan