Ahad, 17 Julai 2011 09:46 | Ditulis oleh WADIASSOFI JAAFAR |
ALOR SETAR, 14 Julai: Amalan 5S (Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amalkan) merupakan budaya yang telah lama diamalkan di negeri matahari terbit iaitu Jepun sejak tahun 1980-an dan hanya baru sekarang setelah hampir 30 tahun, Amalan 5S ini dengan rasminya akan mula diterapkan dan diamalkan di Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah.
Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, YB. Dato’ Seraja Setia Dato’ Wira Haji Rasli Basir berkata, seperti yang telah dimaklumkan oleh pihak secretariat, MAMPU sekali lagi akan mengadakan sesi penilaian terhadap Sistem Penarafan Bintang atau SSR yang dijangka akan diadakan pada penghujung tahun ini.
“Pejam celik hanya tinggal kurang daripada setengah tahun untuk kita membuat persiapan dan persediaan yang sewajarnya bagi menghadapi pengauditan SSR. Hasrat saya pada tahun ini adalah untuk kita mencapai lima bintang iaitu penambahan dua bintang kepada tiga bintang yang telah kita perolehi. Akan tetapi, perkara ini tidak semudah seperti memetik buah rambutan di atas pokok,” ujarnya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Amalan 5S Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah di Pekarangan Wisma Darul Aman, di sini.
Menurutnya, banyak kriteria-kriteria dalam penilaian SSR yang telah dibuat penambahbaikan dan beliau percaya kali ini pengauditan yang akan dijalankan akan bersifat lebih tegas, yang perlu ada mesti ada, untuk mendapat markah penuh, manakala yang separuh ada, maka akan mendapat separuh markah juga.
“Sepatutnya berdasarkan hasil pemerhatian yang lalu, pihak kita telah pun mengambil tindakan yang sewajarnya untuk memastikan criteria-kriteria yang dinilai telah dipenuhi dan bukannya baru hendak meneliti perkara ini,” katanya.
Haji Rasli memberitahu, pihak pengurusan telah memberi ganjaran yang sewajarnya kepada hasil usaha pegawai dan kakitangan yang telah bertungkus-lumus berusaha keras bagi memastikan kita dianugerahkan dengan tiga bintang pada sesi pengauditan yang lalu.
“Dua kumpulan telah berlepas ke Bandung dan kumpulan yang terakhir baru sahaja tiba dari Guangzhou. Diharapkan ganjaran ini akan menjadi pemangkin kepada tuan-tuan dan puan-puan bagi menggandakan lagi usaha untuk memastikan lima bintang menjadi milik kita kali ini,” jelasnya.
Sehubungan dengan itu juga, katanya, program yang diadakan pada kali ini adalah sebagai memenuhi salah satu criteria dalam penilaian Sistem Penarafan Bintang. Sisih, Susun, Sapu, Seragam dan Sentiasa Amalkan merupakan lima tunggak kepada Amalan 5S ini. Fahami pengertian setiap satu S yang dinyatakan dan laksanakannya secara satu persatu mengikut susunannya.
Amalan 5S ini, ujarnya, tidak akan menjadi reality jika hanya satu pihak sahaja yang berusaha untuk merealisasikannya. Sebaliknya Amalan 5S ini adalah merupakan usaha berterusan yang melibatkan seluruh warga Pejabat Menteri Besar dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah kerana faedah yang bakal dikecapi bukan milik seorang individu tetapi keseluruhan organisasi akan merasainya.
“Banyak manfaat dan faedah yang bakal diperolehi dari sekecil-kecil tempat workstation tuan-tuan dan puan-puan sehinggalah kepada sebesar-besar Wisma Darul Aman. Amalan 5S ini adalah merupakan satu tindak balas Domino,” katanya.
Beliau menjelaskan, apabila persekitaran tempat kerja menjadi bersih, kemas dan tersusun, secara tidak langsung persekitaran tempat kerja menjadi lebih selamat dan kondusif. Proses pencarian baik dari segi dokumen mahupun fail menjadi lebih pantas dan secara tidak langsung juga kesilapan kerja dapat diminimumkan kerana sebarang kepincangan dalam aliran kerja dapat dikesan lebih awal.
“Pengurusan kos menjadi lebih efektif, proses kerja menjadi lebih efisien, penggunaan tenaga kerja dapat dijimatkan dan hasilnya tuan-tuan dan puan-puan dapat bertindak dengan lebih pantas dan menjana idea yang bernas dan kreatif,” ujarnya.
Kesemua tindak balas ini, katanya, akan membuahkan hasil dalam bentuk output yang diberikan kepada pelanggan iaitu sistem penyampaian perkhidmatan kepada orang awam dan acapkali perkhidmatan awam dikaitkan dengan sistem penyampaian perkhidmatan yang mengambil masa terlalu lama bagi mendapatkan sesuatu respon.
Oleh itu, jelasnya, pembudayaan Amalan 5S dalam menjalani kerja seharian diharapkan akan dapat mengikis pandangan masyarakat yang negative terhadap sistem penyampaian perkhidmatan awam dan sekaligus menjadi satu anjakan paradigma ke arah peningkatan produktiviti dan kualiti.
Haji Rasli berkata, proses kerja Amalan 5S ini tidak terhenti apabila selesai melakukan sisih, susun, sapu, seragam dan sentiasa amalkan. Sebaliknya perlu sentiasa diamalkan dan diteruskan bagi memastikan keberkesanan Amalan 5S.
“Oleh itu, diharapkan tuan-tuan dan puan-puan dapat menjiwai Amalan 5S ini dan mengaplikasikannya dalam kehidupan seharian tuan-tuan dan puan-puan baik di pejabat mahupun di rumah,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan tahniah dan terima kasih di atas komitmen dan kerjasama yang diberikan oleh semua pihak bagi menjayakan majlis pelancaran Amalan 5S ini.
“Tidak lupa juga diucapkan terima kasih kepada jabatan-jabatan luar milik kerajaan atau pun swasta di atas sumbangan tenaga, peralatan serta perkakasan,” tambahnya.
Turut hadir ialah Timbalan Pengarah 1 Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Tuan Haji Mohd Zohdi Haji Saad; Pengarah Pusat Teknologi Maklumat Negeri Kedah, Puan Hajah Nawadzir Haji Abdul Ghani; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Kanan ( Sumber Manusia), Tuan Haji Nordin Yahya; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan (Perumahan), Encik Abdul Rahman Mohd Saad; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Kanan (Khidmat Pengurusan), Encik Ammar Dato’ Shaikh Mahmoood Naim; Ketua Unit Audit Dalam, Encik Mohd Fauzi Mustaffa dan Ketua Penolong Setiausaha (Kerajaan Tempatan), Encik Armishah Siraj.
Hadir sama ialah Ketua Penolong Setiausaha (Kewangan), Tuan Haji Muhamad Arof Darus; Pengarah Majlis Sukan Negeri Kedah, Tuan Syed Khairol Annuar Syed Abidin; Ketua Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan Korporat), Encik Mohamad Rizal Mohamad Radzi; Penolong Setiausaha Kerajaan (Pengurusan Bangunan, Aset dan Pembangunan Sosial), Tuan Haji Zulkifli Abdullah; Penolong Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah (Pengurusan Korporat), Puan Noor Akma Dato’ Wira Mohd Omar dan Ketua Pembantu Tadbir Pejabat Menteri Besar Kedah, Zulkapli Othman.
Tamat.