Isnin, 08 Ogos 2011 10:19 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |
ALOR SETAR, - Sebaik dilantik menjadi Datuk Bandar, Majlis Bandaraya Alor Setar pada 17 Julai lalu, langkah pertama yang diambil adalah menjadikan Bandaraya Alor Setar sebagai Bandaraya Sejahtera, kata Datuk Bandar Dato’ Haji Mat Noh Ahmad dalam ucapan aluannya pada majlis pelancaran OSC Online MBAS.
Untuk tujuan itu, katanya, semua warga kerja MBAS diberi penerangan akan konsep tersebut supaya mudah untuk dihayati dan mudah untuk bekerja bagi mencapai matlamatnya.
“Saya telah menjemput Prof Dato’ Syeikh Omar Abd Rahman dari Universiti Putera Malaysia untuk membantu saya dan seluruh warga kerja MBAS bagi mencapai matlamat menjadikan Alor Setar Bandaraya Sejahtera.
“Ini adalah usaha memantapkan dan memodenkan Alor Setar supaya standing dengan lain-lain PBT. Selepas pelancaran ini tuan-tuan dan puan-puan boleh menggunakan kaedah ini untuk membuat permohonan pembangunan kepada MBAS dengan hanya melayari laman web MBAS www.mbas.gov.my.,” katanya.
Sistem ini melibatkan dua modul iaitu e-penyerahan dan e-pemprosesan di samping tujuh modul berkaitan. Melalui sistem ini permohonan boleh dikemukakan kepada Urusetia OSC manakala jabatan-jabatan teknikal dalaman dan luaran boleh mengemukakan dan memproses atas talian sahaja.
Beliau berharap pihak yang terlibat iaitu juru rancang, arkitek, jurutera, juru ukur tanah, pelukis pelan dan lain-lain perunding yang berdaftar supaya menerima perubahan ini.
Selain itu bagi warga kerja MBAS yang terlibat dengan sistem ini dapat dapat bersedia mempertingkatkan tahap kecekapan masing-masing.
Beliau juga menyarankan semua pihak konsultan supaya memahami dan mematuhi peraturan semasa mengemukakan permohonan pemajuan bagi mengelakkan daripada dikenakan denda dan kelewatan melaksanakan projek.
“Begitu juga kepada pemaju-pemaju agar dapat melaksanakan projek yang telah diluluskan dalam masa yang ditetapkan. Ini kerana masih ada pemaju yang tidak melaksanakan projek mereka walaupun telah diberi kelulusan dan terpaksa pula mengemukakan permohonan lain bagi melanjutkan tempoh kelulusan itu,
“Kami sentiasa membantu mempecepatkan proses permohonan tapi bila lulus tak laksanakan mengikut jadual,” katanya.
Terakhir Dikemaskini (Isnin, 08 Ogos 2011 11:02)