Anak yatim diraikan dalam majlis berbuka puasa

Rabu, 03 Ogos 2011 09:32 | Ditulis oleh SARINA ISMAIL |





ALOR SETAR, 3 Ogos 2011 – Seramai 46 orang anak-anak yatim bersama pengiring dari Rumah Anak Yatim Gemilang, Kampung Banggol Dedap, Sik diraikan dalam satu majlis berbuka puasa di Hotel Seri Malaysia, Alor Setar di sini.



Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kebajikan, YB Ustazah Siti Ashah Ghazali, anak-anak yatim merupakan golongan yang perlu dirai dan disayangi. Mereka antara insan-insan kurang bernasib baik yang kehilangan ayah, ibu atau kedua-duanya ketika masih kecil.



“Menjadi tanggungjawab bersama, menjaga kebajikan mereka kerana ianya merupakan tuntutan dalam agama Islam.

“Selain itu, kita juga bertanggungjawab mempastikan mereka ini mendapat pendidikan yang sempurna dan membesar dalam suasana yang boleh mendidik diri menjadi insan serta pemimpin yang bertaqwa di masa akan datang,” sambungnya lagi.

Beliau turut memperingati akan kelebihan bulan Ramadhan di mana Allah membuka pintu keampunan seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya.

“Rebutlah peluang yang hanya datang sekali setahun ini agar kita tidak menjadi manusia yang rugi kerana belum tentu kita akan berjumpa dengan Ramadhan pada tahun yang akan datang.

“Ambilah kesempatan di bulan yang penuh berkat ini, untuk memohon ampun dari Allah SWT untuk diri, ibu bapa dan ahli keluarga kita,” nasihatnya lagi.

Majlis berbuka puasa tersebut adalah anjuran Hotel Seri Malaysia, Alor Setar. Di samping itu, anak-anak yatim tersebut juga menerima sumbangan hari raya dari pihak penganjur.

Terakhir Dikemaskini (Rabu, 03 Ogos 2011 09:41)