TUMPAS SINDIKET TEBANG SECARA HARAM



18tumpas
ALOR SETAR 18 Julai - Jabatan Perhutanan Negeri Kedah (JPNK) menumpaskan sindiket penebangan hutan secara haram dan merampas 25 batang balak jenis meranti bernilai kira-kira RM100,000 di Kompartmen 28 Hutan Simpan Gunung Bongsu di Kulim pada 13 dan 14 Julai lepas.
Pengarahnya Datuk Mohd Nasir Abu Hasan berkata pihaknya turut menahan empat lelaki tempatan berumur di antara 23 hingga 48 tahun secara berasingan dalam Operasi Khas Penguatkuasaan Hutan itu.
"Tangkapan pertama pada Khamis (13 Julai) kira-kira 9.40 pagi membabitkan dua lelaki manakala dua lagi lelaki ditahan keesokannya (14 Julai) pada 10.40 pagi.
"Mereka ditahan ketika melakukan aktiviti penebangan hutan secara haram, yang dipercayai telah aktif sejak awal tahun ini, selepas menceroboh hampir 20 hektar hutan kekal di kawasan terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.
Turut disita dalam operasi terbabit ialah dua kenderaan pacuan empat roda, sebuah Excavator Hitachi, satu unit gergaji berantai dan sebuah lori yang digunakan dalam sindiket berkenaan, katanya.
Kesemua lelaki terbabit ditahan mengikut Seksyen 15 Akta Perhutanan Negara 1984 ( Pindaan 1993) dan telah dibebaskan dengan jaminan polis.
Mohd Nasir berkata sindiket itu menggunakan modus operandi dengan cara berpindah dari satu tempat ke tempat lain di sekitar Kulim, Bandar Baharu, Selama dan Mahang selain menyasarkan kawasan Hutan Simpan Kekal berhampiran kampung yang mudah dihubungi melalui jalan mini tar, jalan kebun getah dan kelapa sawit.
"Masyarakat setempat berhampiran Hutan Simpanan Kekal diminta tampil membuat aduan sekiranya melihat orang atau jentera yang mencurigakan berada di kawasan hutan berkenaan,” katanya.
Mohd Nasir berkata akibat tindakan sindiket itu, JPNK terpaksa melakukan usaha pemulihan hutan dengan menanam semula yang dianggarkan berjumlah RM40,000 sedangkan sindiket sewenang-wenangnya mengaut keuntungan dengan menebang pokok balak berkualiti tinggi.
Sumber : Sinar