JANGAN MAKAN IKAN BUNTAL



6jangan
ALOR SETAR 6 Julai- Jabatan Perikanan Kedah tidak mengesyorkan ikan buntal yang mengandungi toksik marin itu dijadikan bahan makanan kerana dikhuatiri mengundang bahaya kepada si pemakannya.
Pengarah Jabatan Perikanan Kedah, Abdul Halim Marzuki berkata, beliau bersetuju bahawa ikan buntal yang memiliki toksin dan mengakibatkan masalah kepada kesihatan tidak dijadikan bahan makanan.
“Pihak kami bersetuju ikan buntal tidak boleh dijadikan bahan makanan berpandukan rujukan kajian dari Institut Penyelidikan Perikanan Batu Maung, yang merupakan ibu pejabat bagi institut penyelidikan di bawah Jabatan Perikanan Malaysia.
“Berdasarkan kajian diperoleh, semua ikan buntal dikategorikan ikan beracun, memandangkan bahagian tertentu seperti otot, kulit dan organ dalaman mengandungi racun,” ujarnya.
Katanya, sekiranya ada individu termakan racun dalam ikan buntal tersebut, ia dikhuatiri mengundang risiko hingga mengundang kelumpuhan otot, gangguan saraf dan boleh membawa maut.
Katanya, kajian institut terbabit mendapati hampir kesemua organ dalam semua spesies ikan buntal yang diuji menunjukkan kandungan toksin melebihi paras piawaian keselamatan.
“Malah, beberapa negara menetapkan peraturan pemakanan ikan buntal, antaranya larangan sebagai bahan makanan di Jepun. Mesir pula tidak boleh dikomersialkan, sementara Kesatuan Eropah tidak membenarkan ikan itu dipasarkan atau mengeluarkan larangan dalam segala bentuk,” ujarnya.
Katanya, di Malaysia, beberapa kes melibatkan kes racun saraf TTX telah dicatatkan bermula tahun 1985 hingga 2009 melibatkan kematian dan masalah kesihatan.
“Manakala, empat kes lagi dikesan di Sabah Pada 1985. Manakala, sembilan kematian direkodkan di Sabah disebabkan keracunan itu pada 1987,” ujarnya.
Katanya, satu kes berlaku pada 1997 di Terengganu, diikuti kejadian seterusnya di Johor melibatkan 34 pesakit pada 2008, dan terakhir pada 2009 melibatkan sembilan kes, yang enam daripadanya membawa kematian.
Disebabkan itu, menurutnya, walaupun tiada pekeliling ataupun akta berkaitan ikan buntal itu, bagaimanapun ikan buntal sememangnya tidak disyorkan sebagai bahan makanan.
Katanya, pendaratan ikan buntal sememangnya diketahui berlaku di Pulau Pinang iaitu kawasan Teluk Bahang dan Batu Maung, namun pun begitu, pihak perikanan tidak menyangka filet ikan dijual di lokasi tertentu kerana ia dikategorikan tiada nilai.
Untuk itu, Abdul Halim berkata, Jabatan Perikanan Kedah menasihatkan dan memberi peringatan kepada pengguna supaya sedia maklum mengenai ikan buntal demi mengelakkan kejadian tidak diingini.
Sumber : Sinar