FAHAMI BATASAN BERKAITAN ANJING



6fahami
JERAI 6 Julai - Umat Islam di negara ini di­ingatkan supaya memahami batasan perhubungan dengan berpegang kepada maz­hab Syafie termasuk berkaitan an­jing yang dikategorikan sebagai najis mughallazah.
Menteri di Jabatan Perdana Men­teri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, pemahaman itu penting kerana perhubungan dengan binatang yang dikategorikan sebagai najis mughallazah memerlukan penyucian khusus bagi menjaga ibadat sebagai seorang ber­agama Islam.
Menurutnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengeluarkan kenya­taan (menyentuh anjing tanpa tujuan yang munasabah adalah haram) kerana dalam mazhab Syafie terdapat batasan-batasan dalam perhubungan antara orang Islam dengan binatang.
“Batasan ini berkaitan dengan ibadat sebagai seorang Islam. Sepatutnya sebagai umat Islam di Malaysia, kita perlu memahami adat dan pegangan agama yang diamalkan supaya tidak me­nimbulkan kekeliruan dan pan­dangan.
“Dalam mazhab Syafie membenarkan kita memelihara anjing untuk tujuan pemburuan, kese­lamatan ladang dan penja­gaan rumah tapi pada masa sama, batasan serta etika perhubungan sebagai orang Islam dengan binatang tersebut (anjing) perlu dijaga dan difahami,” katanya ketika di­temui dalam Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ahli Parlimen Jerai di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan individu bernama Nurhanizah Abdul Rahman yang telah memuat naik dalam laman Facebook pada 1 Julai lalu mengenai anjing peliharaannya yang bernama Bubu.
“Dia sebut tidak salah memelihara binatang tersebut (anjing) ta­pi tidak menjelaskan tentang bagaimana perhubungan (ba­tasan) dengan haiwan tersebut, ini pen­ting untuk difahami umat Islam.
“Perkara ini diperjelaskan Ja­kim, saya tidak mahu umat Islam di negara ini bergaduh dan bertembung pendapat kerana perkara sebegini akhirnya akan membawa perpecahan,” ujarnya.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan