SINDIKET JUAL NAMA MASJID



22sindiket
KUALA KETIL 22 Mac - Masjid Jamek Madinatul Ilmi Kuala Ketil menafikan ada membuat jualan wakaf al-Quran untuk pembinaan masjid.
Imam, Adnan Din berkata, pihak masjid mendapati jualan itu aktif dijalankan sejak sebulan lalu, sedangkan dana pembinaan disumbangkan orang perseorangan serta orang ramai dan bukan melalui jualan wakaf al-Quran.
“Pihak masjid mengesahkan tidak pernah buat sebarang jualan wakaf al-Quran untuk pembinaan masjid. Semua bergantung kepada derma semata-mata. Jika ada jualan wakaf sekalipun, kita hanya bantu umumkan wakaf al-Quran dijual penuntut Universiti Teknologi Mara Perlis. Dana itu akan digunakan untuk aktiviti dakwah di Kemboja.
“Berdasarkan aduan penduduk di kawasan Kupang, ada pihak menjual al-Quran wakaf atas nama masjid ini, sedangkan tiada mana-mana wakil dilantik untuk buat aktiviti seumpama itu,” katanya, di sini, semalam.
Menurut Adnan, bagi membendung gejala tersebut, notis penafian dihantar kepada Ibu Pejabat Polis Daerah, Pejabat Agama Daerah dan juga masjid sekitar daerah ini.
“Masyarakat diharap segera melaporkan kepada polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan sindiket berkenaan. Jualan wakaf menggunakan nama masjid amat dikesali,” katanya.
Ahli jawatankuasa pembinaan dan teknikal masjid, Mohd Zukhi Ghazali berkata, sindiket berkenaan dipercayai semakin berhati-hati susulan tindakan pantas pihak masjid memberi maklumat kepada pihak berwajib.
“Hasil pemantauan, setakat ini aktiviti mereka semakin berkurangan. Tetapi masyarakat perlu lebih berwaspada kerana khuatir sindiket itu mengulangi semula aktiviti mereka terutama dalam bulan Ramadan akan datang.
“Setiap sumbangan hanya sah melalui pihak masjid. Dengan izin ALLAH, Masjid Jamek Madinatul Ilmi akan mula digunakan sebelum masuk Ramadan tahun ini,” katanya.
Sementara itu, pengadu, Shamsul Yahya, 26, berkata, dia hampir membeli al-Quran wakaf beberapa minggu lalu daripada seorang individu dipercayai daripada sindiket tersebut.
Menurutnya, selain menggunakan nama masjid, individu berusia dalam lingkungan 20-an itu turut mengaitkan pembelian tersebut dengan seorang ustaz dari Kupang.
“Al-Quran itu dijual pada harga berbeza mengikut saiz. Selepas saya solat asar di Masjid Pekan Baling, lelaki berkenaan menawarkan al-Quran wakaf yang dijual pada harga RM42.
“Bagaimanapun, al-Quran itu tidak dibenarkan dibawa pulang. Kita hanya dibenarkan buat bayaran dan al-Quran itu akan diletak sendiri lelaki berkenaan. Disebabkan curiga, saya batalkan niat,” katanya.
Sementara itu, cubaan Sinar Harian menghubungi salah satu nombor disyaki milik sindiket tersebut tidak dijawab.
Sumber : Sinar