800 KAKITANGAN AWAM BAKAL DISARING



6kakitangan
KULIM 6 Mac - Bagi menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan kakitangan awam, Pejabat Daerah Kulim akan mengadakan ujian saringan air kencing di semua jabatan di daerah ini.
Pegawai Daerah Kulim, Mohamad Che Nai berkata, seramai 800 kakitangan awam dijangka terlibat dalam ujian itu yang akan dilaksanakan dalam masa terdekat.
Menurutnya, saringan itu dilakukan bagi menyokong kempen jihad perangi dadah dan memastikan setiap kakitangan awam bebas daripada gejala tersebut.
“Kita akan laksanakan ujian saringan air kencing melibatkan kakitangan di kompleks pejabat daerah termasuk Rela, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Perbandaran Kulim serta Jabatan Ukur dan Pemetaan.
“Kita akan buat dalam masa terdekat. Insya-ALLAH, sebelum Jun. Kita sasarkan 800 orang akan terlibat dalam ujian ini,” katanya pada sidang media selepas program Jihad Memerangi Dadah, semalam.
Selain itu, kata Mohamad, penyalahgunaan dadah dalam kalangan pelajar juga semakin meningkat saban tahun berdasarkan ujian saringan air kencing dijalankan dari 2014 hingga 2016.
“Kita amat gusar dengan peningkatan sejak tiga tahun kebelakangan ini. Mengikut statistik pada 2014, daripada 28 sekolah yang menjalani ujian saringan air kencing melibatkan 917 pelajar, seramai 33 daripadanya didapati positif dadah.
“Pada 2015, daripada 32 sekolah melibatkan 974 pelajar, seramai 38 orang didapati positif dadah. Manakala pada 2016 pula, daripada 32 sekolah melibatkan 432 pelajar yang menjalani ujian, seramai 50 daripadanya positif dadah.
“Statistik tersebut menunjukkan peningkatan amat ketara. Meningkat sehingga enam peratus dalam tempoh tiga tahun. Ini amat membimbangkan,” katanya.
Tambahnya, langkah efektif perlu diteruskan melibatkan semua pihak bagi membendung gejala tersebut yang semakin menular dalam kalangan pelajar.
“Setakat ini di Kulim, dua sekolah telah terlibat dalam program Anak Warisan Negara yang baru dilancarkan pada 14 Februari lalu untuk memulihkan pelajar terlibat dan memberi kesedaran kepada semua.
"Sekolah ini dipilih berdasarkan jumlah pelajar di situ yang ramai dikesan positif dadah terutama jenis syabu,” katanya.
Dalam pada itu, pihaknya dengan kerjasama jabatan terlibat termasuk PDRM dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan juga akan mengadakan pelbagai program untuk menangani penyalahgunaan dadah di sini.
“Hari ini kita adakan seminar yang melibatkan 500 peserta yang terdiri daripada JKKK, Jawatankuasa Perwakilan Penduduk, guru kaunseling serta ketua-ketua jabatan.
“Peserta akan diberi pendedahan dan penerangan bagaimana nak hadapi situasi ini, mereka ini mainkan peranan yang penting untuk membantu kita dan pihak polis dalam menjayakan program ini,” katanya.
Sumber : Sinar