KU NAN DISARAN MOHON AMPUN



11ku
ALOR SETAR 11 Februari - Exco Pelancongan dan Warisan, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid tidak bersetuju dengan cadangan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor menjadikan Langkawi sebahagian daripada Wilayah Persekutuan.
“Ia cadangan yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya disuarakan langsung,” tegas, Mohd Rawi.
Menurutnya, Langkawi adalah sebahagian daripada 15 kawasan parlimen Kedah, selain memiliki sistem pemerintahan beraja di mana negeri ini mempunyai Sultan selaku ketua pemerintahannya.
“Kedah berdaulat dan diurus kerajaan negeri melalui perkenan Tuanku Sultan Kedah. Amat tidak wajar mana-mana pihak mahu memisahkan Langkawi dari Kedah,” katanya.
Sehubungan itu, Mohd Rawi yang juga Adun Ayer Hangat menyarankan Tengku Adnan memohon ampun atas keterlanjuran menyuarakan cadangan itu kerana boleh mengguris hati pihak Istana Kedah.
“Beliau wajar mohon ampun kepada Tuanku Sultan Kedah kerana membuat cadangan itu yang disifatkan tidak beradab. Adakah beliau terlepas pandang mengenai kedudukan Langkawi di Kedah atau mungkin sudah lupa sejarah,” katanya.
Menurutnya, selaku tanah jajahan Kedah, Langkawi milik Kedah dan akan kekal menjadi milik negeri Jelapang Padi, malah isu berkenaan tidak pernah ditimbulkan sejak merdeka.
“Saya seru semua rakyat Kedah pelbagai latar belakang politik supaya bersatu membantah cadangan itu, supaya tidak menjadi kenyataan,” katanya.
Bagaimana pun, Mohd Rawi menepis dakwaan konon cadangan itu ada kaitan dengan hasrat kerajaan Pusat mahu mengaut keuntungan daripada limpahan Langkawi yang terkenal di peringkat dunia.
“Saya percaya tiada agenda tersirat, kemungkinan Tengku Adnan terlalu ghairah menjawab pertanyaan wartawan tanpa memikirkan implikasi jawapannya,” katanya.
Menurutnya, Langkawi tidak boleh disamakan dengan situasi Pulau Pinang, kerana perbezaan pemerintahan dan kesultanannya.
“Kemungkinan Tengku Adnan mempunyai alasan tersendiri masukkan Pulau Pinang sebagai Wilayah Persekutuan, seperti mahu kukuhkan agama Islam dan kebajikan orang Melayu, namun bukan mudah dilaksanakan,” katanya.
Mohd Rawi berkata, sebarang perubahan membabitkan sempadan negeri masih perlu dirujuk kepada kerajaan negeri Kedah selaku pemilik asal Pulau Mutiara itu.
“Berdasarkan perjanjian 1786 antara Francis Light dari Syarikat Hindia Timur Inggeris (SHTI) dengan Sultan Abdullah sebelum ini melibatkan pajakan Pulau Pinang bernilai 10,000 Spanish Cold Coin. Surat perjanjian itu boleh dirujuk kerana ia tetap relevan selagi ada bulan dan bintang,” katanya.
Menurutnya, isu pajakan Pulau Pinang juga akan dibangkitkan semula oleh kerajaan negeri setelah tertangguh sekian lama.
“Dua Perdana Menteri sebelum ini dari Kedah, iaitu Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj (1957 - 1970) dan Tun Dr Mahathir Mohamad (1981- 2003), mungkin juga isu ini tangguh kerana tidak mahu ada konflik kepentingan,” katanya.
Mohd Rawi berkata, pihaknya telah mengutus surat kepada kerajaan pusat mohon suatu kajian berkaitan bayaran pampasan pajakan Pulau Pinang diadakan berdasarkan nilai semasa, dan bukan lagi menerima peruntukan RM10,000 setiap tahun.
“Saya bercadang adakan forum berkaitan isu ini dalam masa terdekat supaya rakyat Kedah tahu sejarah melibatkan Pulau Pinang dan Kedah, selain membawa dua perkara itu untuk dibincangkan dalam mesyuarat Exco minggu depan untuk pertimbangan Menteri Besar bagi tindakan selanjutnya,” katanya.
Oleh : Roslinda Hashim
Sumber : Sinar