KARNIVAL JUALAN AMAL BANTU MAAHAD



4karnival
SUNGAI PETANI 4 Disember - Sebanyak dana RM15,000 diperlukan untuk menampung kos pembinaan Maahad Al Iman Li Ulumil Quran di Kampung Pantai Cicar, di Kuala Ketil, di sini.
Bagi mencapai hasrat murni itu, Pasaraya Econsave Bandar Puteri Jaya (BPJ) yang terletak di Jalan Kuala Ketil menganjurkan Karnival Jualan Amal dalam usaha untuk merealisasikan pembinaan tersebut.
Menariknya, karnival yang julung kali diadakan ini dianjurkan bersama dengan Sinar Harian melalui Program Sumbangan Dana Pembangunan & Pentadbiran Maahad.
Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor berkata, karnival ini diadakan bertujuan mengumpul dana sebanyak RM15,000 untuk disalurkan kepada pembangunan maahad sebagai tanggungjawab korporat sosial (CSR) Econsave kepada komuniti.
Menurutnya, dalam usaha mengumpulkan dana tersebut, pihaknya sudah mengadakan jualan amal iaitu barangan terpakai yang disumbangkan orang ramai dengan harga RM2 dan turut menyediakan tabung, bermula 1 November.
“Sebagai acara kemuncak pada hari ini (semalam), pihaknya menjemput beberapa kelab permotoran dan juga agensi kerajaan untuk menarik ramai pengunjung ke pasaraya untuk turut bersama menyumbang dana menerusi pembelian mereka,” katanya kepada Sinar Harian, ketika ditemui pada Karnival Econsave BPJ Mega Gathering/Autoshow & Jualan Amal Kumpul Dana Maahad Al Iman, di sini, semalam.
Hadir sama, Pengurus Cawangan Econsave BPJ, Ahmad Izuddin Othman dan Editor Sinar Harian Edisi Utara, Badruldin Zakaria.
Turut diadakan Mega Gathering Autoshow bersama Geng Autoshow Perak (GAP) Event Management dengan beberapa kelab permotoran bagi menarik pengunjung.
Selain dari itu, turut diadakan Kempen Derma Darah oleh Unit Tabung Darah Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), pameran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Dearah Kuala Muda dan Van Kaunter Bergerak ,Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Zamzuri berkata, jualan amal yang diadakan ini merupakan barangan terpakai dan barangan keperluan harian yang disumbangkan orang ramai dengan konsep bidaan dan pengunjung boleh mendapatkan barangan dengan harga bidaan semaksimum yang mungkin.
“Bidaan akan dijalankan selama tiga jam dengan harapan jumlah jualan dapat membantu mengumpul dana sebanyak mungkin.
“Alhamdulillah, karnival mendapat sambutan yang sangat baik daripada semua pihak yang bersama-sama menjayakan usaha murni ini,” katanya.
Tambah beliau, sumbangan maahad itu adalah program CSR terakhir untuk tahun ini dan pihak pasaraya juga dalam perancangan untuk mengumpul dana bagi satu maahad yang terletak di kawasan Sungai Petani, pada tahun hadapan.
“Untuk tahun ini, kita sudah mengumpul dana dan sumbangkan kepada sebuah Madrasah di Pulau Pinang, tetapi sumbangan kepada pembangunan kepada sekolah agama adalah kali pertama.
“Keseluruhan hasil kutipan menerusi karnival ini akan disampaikan pihak pengurusan maahad pada hujung bulan ini,” katanya.
Katanya, jualan amal diadakan Econsave bukan semata-mata mengutip dana, sebaliknya menggalakkan masyarakat untuk turut bersama menyumbang kepada kebajikan anak-anak yang belajar.
Dalam pada itu, Pengerusi GAP, Ahmad Fuad Harun berkata, penyertaan GAP Event Management dalam menjayakan karnival itu adalah satu peluang baik menjadi sebahagian daripada penyumbang dana pembangunan maahad.
“GAP berjaya mengumpulkan hampir 200 kereta dari pelbagai kelab dan 40 peserta Autoshow dan Audioshow. Pelbagai aktiviti dianjurkan kelab permotoran yang menyertai GAP untuk membantu meramaikan pengunjung kepada karnival berkenaan. Antara aktiviti GAP adakan ialah autoshow, audioshow, stance, limbo.
“Menerusi karnival ini, GAP berpeluang menjadi sebahagian penyumbang kepada dana pembangunan maahad di mana pihak GAP akan menyalurkan semua kutipan sewa tapak daripada penjaja berniaga di luar tapak parkir kepada dana pembangunan maahad.
“Saya juga ucapkan terima kasih kepada pihak Econsave yang menyediakan piala dan hamper kepada pemenang yang menyertai pertandingan dan juga hadiah cabutan bertuah bernilai hampir RM5,000 sebagai tanda penghargaan kepada pihak kami,” katanya.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan lima beradik yang berhasrat membina Maahad Al Iman memerlukan dana berjumlah RM950,000 bagi menyiapkan infrastruktur sekolah berkenaan.
Jumlah itu merangkumi pembinaan bangunan kelas dua tingkat, pejabat, surau, dewan, rumah guru, padang permainan dan rumah tamu.
Oleh : Gokina Morganan
Sumber : Sinar