ALOR SETAR 3 Disember - Candi 11 di Sungai Batu dalam Lembah Bujang, Merbok yang dimusnahkan adalah struktur batu yang dibina semula pada 1974 di atas tapak asal candi yang dibina antara kurun ke-8 hingga 11 Masehi.
Menteri
Besar Datuk Mukhriz Mahathir berkata, kerajaan negeri kesal dengan
pemusnahan itu kerana ia dianggap tapak warisan negara yang patut
dipelihara.
"Tapak-tapak
candi di Lembah Bujang adalah tapak warisan yang tidak digunakan
sebagai tempat penyembahan sejak berkurun-kurun lamanya," katanya dalam
kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini bagi mengulas protes banyak
pihak terhadap pemusnahan candi 11 oleh sebuah syarikat pemaju.
Dalam
kenyataannya Mukhriz memperjelaskan syarikat terbabit adalah pemilik
tanah berkenaan dan mendapat kelulusan memajukannya pada 1993 tetapi
pembersihan hanya dilaksana pada Ogos tahun ini apabila ia memusnahkan
candi tersebut.
Katanya
kerajaan negeri dan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan telah
mengarahkan syarikat berkenaan menghentikan segera pembersihan di tapak
candi 11.
"Candi
yang sama boleh dibina semula atas tapak asal dengan persetujuan
syarikat atau di tapak lain yang berhampiran dengan tapak ekskavasi
Universiti Sains Malaysia (USM) di Sungai Batu. Pelan candi 11 akan
dirujuk bagi memastikan reka bentuk dan bahan digunakan sama seperti di
tapak asal.
"Kerajaan
menitikberatkan usaha memelihara semua jenis warisan turun-temurun di
negeri ini. Bagi memastikan tapak-tapak warisan di lebih 100 lokasi di
Lembah Bujang tidak musnah dimamah zaman akibat pembangunan, Kementerian
Pelancongan dan Kebudayaan bersetuju menimbang permohonan kerajaan
negeri agar tapak-tapak warisan yang dikenal pasti mempunyai nilai
warisan diwartakan," kata Mukhriz.
Beliau
berkata kerja-kerja ekskavasi yang dilaksanakan oleh pakar-pakar
arkeologi USM akan diteruskan sehingga kawasan Lembah Bujang boleh
dibangunkan sebagai tarikan pelancongan bertaraf antarabangsa.
Kajian
arkeologi di kawasan Sungai Batu mendedahkan tapak tersebut digunakan
sejak kurun ke-5 Masehi hingga kurun 17 Masehi. Tamadun Sungai Batu juga
adalah yang tertua berasaskan industri peleburan besi.
Sumber: Bernama