Hanya Seorang Exco MCA Kedah

Oleh SAHBULAH DARWI
ExcoMCA
Leong Yong Kong

ALOR SETAR 12 November - Hanya seorang ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada MCA akan dilantik sebagai Exco kerajaan negeri, kata Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir.

Beliau berkata, walaupun terdapat dua kekosongan jawatan itu dan dua ADUN MCA di Kedah, tetapi hanya ADUN Gurun, Dr. Leong Yong Kong akan dilantik.

"Daripada awal saya nyatakan saya telah khaskan satu jawatan Exco untuk ADUN mewakili masyarakat Tionghua. Memang satu, satu lagi reserve (simpanan) untuk masa depan, tak tahu apa keputusan yang akan dibuat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Perkhidmatan Perancangan Harta Pusaka Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) peringkat negeri Kedah, di sini hari ini.

Baru-baru ini sebuah akhbar melaporkan kemungkinan dua ADUN MCA dilantik sebagai Exco bagi mewakili masyarakat Cina di negeri ini.

Kedah mempunyai dua ADUN daripada MCA iaitu Yong Kong dan Chua Thiong Gee dari Kulim.

Bagaimanapun, berikutan prestasi buruk MCA pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Mei lalu, mesyuarat agung parti itu melarang anggotanya memegang sebarang jawatan dalam kerajaan.

Namun pada 20 Oktober lalu, resolusi mesyuarat agung luar biasa parti itu membenarkan anggotanya menerima pelantikan jawatan peringkat kerajaan negeri.

Menurut Mukhriz, ketika ini beliau hanya melantik lapan Exco berbanding 10 yang biasa diamalkan dengan satu dikhaskan kepada MCA dan satu lagi untuk masa depan.

Pelantikan Yong Kong, kata Mukhriz, adalah bagi memenuhi janji beliau dan tidak timbul isu yang dibangkitkan sesetengah pihak kononnya MCA mahu dua ADUN daripada parti itu dilantik Exco.

"Pelantikan (Exco daripada MCA) sepatutnya dibuat dengan Exco lain pada Mei lepas. Kita ambil masa bukan sebab kita tetapi kerana keputusan MCA.

"Apabila MCA buat keputusan (lain), tiba-tiba nak dua pula, ini sedikit tak adil. Bagaimanapun ini masih boleh dibincangkan," katanya.

Katanya, beliau ada menerima surat daripada Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek mengenai pelantikan Exco daripada MCA tetapi hanya mencadangkan nama Yong Kong.

" Dalam surat satu nama sahaja. Saya dapat surat itu ketika (kempen) Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau (baru-baru ini) dan bertemu beliau.

"Apabila saya baca surat khabar selepas itu, agak terkejut dia cadangkan dua pada hal masa jumpa tiada (cadang dua Exco)," katanya.

Mukhriz berkata, majlis angkat sumpah Exco baharu itu akan dilakukan pada Disember ini.

Sumber: Utusan