Pastikan Pembangunan Tidak Jejas Alam Sekitar

PastikanPembangunan

Mukhriz Mahathir dan Mohd. Tajudin Abdullah (kiri) mendengar penerangan daripada Pengarah Urusan Excel Agrotex, Mohamed Iqbal S. Habeeb, pemilik Ladang Anggur Tasik Beris di Sik, kelmarin.

SIK 21 Jun - Kawasan luar bandar di negeri ini mempunyai banyak kelebihan tersendiri untuk dibangunkan termasuk sebagai lokasi pelancongan, namun perlu dibangunkan secara lestari dengan mematuhi syarat-syarat dan peraturan ditetapkan.

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, pembangunan yang hendak dilakukan itu mesti dirancang dengan rapi dan bijak supaya tidak merosakkan alam sekitar terutama tasik-tasik yang terdapat di sekitarnya.

"Kita boleh melakukan pembalakan secara lestari asalkan kegiatan itu tidak musnahkan keseluruhan pokok di kawasan tersebut dan tidak menjadikan alasan sebagai ladang rakyat atau ladang buah-buahan semata-mata untuk mengaut keuntungan secara berlebihan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat Ladang Anggur Tasik Beris sempena lawatan rasminya ke Sik semalam.

Ladang Anggur Tasik Beris merupakan antara lokasi pelancongan yang semakin popular di Kedah dengan jumlah kehadiran pelancong pada tahun lalu adalah 200,010 orang.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belantek, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah dan ADUN Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid.

Sementara itu kata Mukhriz, Sik bakal dikenali dengan satu lagi tarikan agropelancongan apabila buah strawberi berjaya dihasilkan di Tasik Beris.

"Selain anggur yang sememangnya terkenal di sini, strawberi juga boleh ditanam di tanah rata. Kewujudan ladang anggur dan strawberi merupakan satu prestasi yang baik untuk dieksploitasikan bagi tujuan pembangunan dan meningkatkan kedatangan pelancong selain menjana hasil pendapatan negeri ini," ujarnya.

Dalam pada itu, Mukhriz memberitahu, pelan tindakan daerah Sik diperkenalkan untuk membangunkan kawasan sekitar termasuk tasik-tasik sedia ada.

Beliau menegaskan, segala pembangunan perlu mematuhi garis panduan serta syarat ditetapkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Ditanya mengenai pembangunan lain di daerah ini, Mukhriz berkata, pihaknya juga sedang berusaha untuk mewujudkan institusi pengajian tinggi (IPT).

Sumber: Utusan