Masalah Tangki Air Selesai

Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR

MasalahTangkiAirSelesai
Masalah kedudukan deretan tangki berketinggian kira-kira lima meter yang menimbulkan kebimbangan penduduk akhirnya diselesaikan menerusi sesi dialog pada Program Turun Padang Mesra Rakyat MBAS di Taman Bersatu, Alor Setar, Kedah, semalam.

ALOR SETAR 20 Jun - Kebimbangan penduduk Taman Bersatu, Simpang Empat di sini terhadap kedudukan tujuh tangki air yang dilihat boleh membahayakan orang ramai sejak empat bulan lalu akhirnya berakhir apabila masalah berkenaan menemui jalan penyelesaian.

Masalah tersebut antara salah satu perkara yang dibangkitkan penduduk melalui sesi dialog yang diadakan dalam Program Turun Padang Mesra Rakyat Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) di taman berkenaan di sini hari ini.

Masalah itu mendapat perhatian Setiausaha MBAS, Mohd. Asri Redha Abdul Rahman dan hasil dialog berkenaan, pemilik sebuah kilang yang menggunakan tangki setinggi kira-kira lima meter tersebut untuk menadah air hujan berjanji akan mengalihkannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Taman Bersatu, Mohd. Isa Jusoh berkata, penduduk sebelum ini khuatir sekiranya tangki itu tumbang lalu menghempap pengguna jalan raya di kawasan tersebut.

Katanya, jalan itu merupakan laluan alternatif penduduk ke pusat bandar dan turut digunakan kanak-kanak untuk ke sekolah.

"Terdapat tujuh tangki bersaiz sama diletakkan begitu sahaja di situ tanpa diikat dengan sebarang tali, sebab itu penduduk khuatir terutama mereka yang menggunakan laluan tersebut.

"Sebelum ini, saya kerap menerima aduan penduduk yang melahirkan rasa bimbang mereka dan berharap agar masalah ini segera diselesaikan oleh pemilik kilang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di taman tersebut sempena program berkenaan di sini hari ini.

Pelbagai acara diadakan sempena program tersebut termasuklah gotong-royong, pameran oleh jabatan kerajaan dan kutipan cukai pintu.

Menurut Mohd. Isa, mereka berasa lega apabila pemilik kilang tersebut berjanji akan menyelesaikan masalah yang dihadapi.

Sementara itu, pemilik kilang, Lim Chin Wee berkata, air hujan yang ditadah menggunakan tangki berkenaan bertujuan membasuh kenderaan berat kerana mampu mengurangkan perbelanjaan utiliti.

Berikutan masalah yang timbul, dia memohon maaf kepada penduduk atas apa yang berlaku sehingga menimbulkan kebimbangan.

"Penduduk juga diharap dapat memberi tempoh kepada saya untuk mengalihkan tangki yang mungkin mengambil masa kira-kira dua bulan," katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Asri Redha berkata, program tahunan yang diadakan itu bertujuan merapatkan lagi hubungan penduduk dengan MBAS dan mendengar permasalahan yang dihadapi.

"Apabila kita turun padang, baharulah kita dapat dengar dan lihat sendiri masalah dihadapi penduduk yang mungkin selama ini tidak di jangkakan," katanya.

Sumber: Utusan