PEMBALAKAN DI KEDAH DIPANTAU



30pembalakan
PADANG TERAP 30 Julai - Pemantauan ketat dilakukan secara berterusan oleh kerajaan negeri ke atas aktiviti pembalakan di Hutan Simpan Ulu Muda Sik bagi memastikan ia dilakukan secara terkawal dan tidak mencemarkan sumber air di situ.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan dan Sumber Air serta Tenaga negeri, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, aktiviti pembalakan di kawasan hutan simpan itu dilakukan oleh syarikat yang berlesen dan mengikut undang-undang ditetapkan.
“Kerajaan negeri bagaimanapun akan terus membuat pemantauan dan memastikan aktiviti tersebut dalam keadaan terka­wal,” katanya selepas me­lancarkan Karnival Alam Lestari di Dataran Putra, di sini semalam.
Beliau berkata, pihaknya juga sentiasa memantau kualiti air sungai di kawasan pembalakan berkenaan yang mungkin terjejas pada musim hujan.
Menurutnya, kerajaan negeri tidak akan sesekali melangkaui kawasan aktiviti pembalakan yang diluluskan oleh Kerajaan Pusat.
“Kita sedar bahawa ekosistem alam sekitar harus kita kekalkan dan mempertahankan sebagai usaha mengelakkan berlakunya runtuhan tanah dan pencemaran air sungai sekiranya ia tidak dikawal dengan baik,” katanya.
Beliau pada masa sama memberitahu, pihaknya juga membuat pemantauan ke atas operasi kuari pasir di negeri itu.
“Selain pemeriksaan berkala yang dilakukan JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), pemantauan juga akan dilakukan menggunakan dron.
“Jika didapati pengusaha kuari melanggar syarat ditetapkan, kita akan mengarahkan mereka menghentikan operasi serta-merta,” katanya.
Sumber : Jamliah Abdullah
Sumber : Utusan