2,500 KAYU BALAK DISITA

5balak
ALOR SETAR 5 Mac - Jabatan Perhutanan nege­ri menyita kira-kira 2,500 ba­tang kayu balak selain meng­a­­rahkan sebuah syarikat pembalakan menghentikan operasi di Hutan Simpan Muda serta-merta selepas dipercayai melakukan pelbagai kesalahan berkaitan undang-undang perhutanan.
Timbalan Pengarah Operasi­nya, Mohd. Rahim Ramli berkata, operasi selama dua hari pada minggu lepas mendapati syarikat berkenaan hanya membalak pokok berkualiti, kebanyakannya daripada jenis meranti yang tidak mempunyai nombor tag.
“Kita percaya syarikat tersebut mengambil kesempatan hanya memilih balak yang 80 peratus daripadanya adalah jenis meranti dan selebihnya jenis keruing.
“Kesalahan tersebut dikesan apabila kita mendapati balak tersebut tidak mempunyai nombor tag selain nombor tag di ba­tang balak tidak sama dengan pokok yang ditanda.
“Selain itu, syarikat terbabit turut membina matau transit (tempat simpanan sementara balak dalam hutan) tanpa kebenaran serta menebang pokok di kawasan zon penampan (kawasan di alur sungai, carok atau sungai yang akan ditanda dengan cat kuning mengikut kelebaran sungai),” katanya dalam satu ke­nyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Rahim, sekiranya syarikat terbabit meneruskan aktiviti pembalakan di zon penampan dikhuatiri akan menyebabkan hakisan serta mengganggu ekosistem hutan itu sendiri yang terletak kira-kira 16 kilometer dari Kampung Landai, Gulau di Sik.
“Sehubungan itu, kita terpaksa menyita 2,500 batang balak jenis meranti serta tiga jentera. Kes disiasat mengikut Seksyen 25 Akta Perhutanan Negara.
“Siasatan awal mendapati syarikat pembalakan ini melakukan kesalahan melanggar lesen ini sejak dua minggu lalu. Bagaima­na­pun, kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi menganggarkan jumlah kerugian serta keluasan balak yang ditebang di kawasan larangan,”ujarnya.
Tambahnya, Jabatan Perhu­tanan menasihatkan pembalak berlesen lain supaya tidak me­ngambil kesempatan untuk me­ngaut keuntungan tinggi sehingga melanggar syarat-syarat lesen yang mana tindakan tegas akan diambil bagi syarikat yang gagal mematuhi syarat tersebut.
Oleh : Siti Nurazlina Jamaludin
Sumber : Utusan