Kerajaan Prihatin Nasib Rakyat


kerajaanprihatin

BALING 12 Jun - Pelbagai usaha dan bentuk bantuan yang disediakan kerajaan termasuk menerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuktikan nasib dan kebajikan rakyat sentiasa dibela.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bayu, Datuk Azmi Che Husain berkata, usaha dan bantuan yang tidak putus-putus itu termasuk kepada golongan miskin yang berkeupayaan membangunkan diri adalah bagi memastikan mereka hidup dalam keadaan selesa.

"Ini membuktikan keikhlasan kerajaan dalam menunaikan tanggungjawabnya untuk membasmi kemiskinan di kalangan penduduk," katanya ketika merasmikan Kursus Keusahawanan Program Azam Tani Parlimen Baling di sini hari ini.

Katanya, kursus-kursus akan dilakukan secara berterusan di samping kaunseling serta lawatan sambil belajar ke tapak-tapak projek yang berjaya agar peserta mendapat ilmu yang lebih mendalam mengenai bidang keusahawanan yang diceburi.

Menurut beliau, pihaknya menghargai niat murni FAMA yang turut sama membantu kerajaan memberi motivasi dan kursus kepada usahawan-usahawan bagi membantu meningkatkan ekonomi masing-masing.

Katanya, pemilihan peserta berdasarkan minat dan kategori masing-masing seperti pembuat kuih basah dan kering, pengusaha kedai makan dan minuman, pertanian dan perladangan, penternakan serta kontrak pembersihan ladang.

Sementara itu, Timbalan Pengarah FAMA Kedah, Aliff Najmi Yeop Abdullah berkata, pemantauan secara berkala akan diadakan dari semasa ke semasa untuk melihat keberhasilan setiap projek dijalankan oleh usahawan Azam Tani tersebut.

"Peserta juga perlu bijak menguruskan hasil pendapatan mereka untuk kesinambungan projek seterusnya agar tidak terhenti separuh jalan kerana kehabisan modal," ujarnya.

Salah seorang peserta, Mohamad Nasrul Syahril Ab. Wahab, 38, dari Kampung Bandar, Siong berkata, dia terharu dan gembira kerana dipilih sebagai salah seorang peserta kursus yang akan menerima peralatan membuat kuih daripada FAMA.

Beliau yang tiada pekerjaan tetap berkata, bantuan itu akan mempercepatkan proses pembuatan kuih yang diusahakan sebelum dipasarkan.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada FAMA dan kerajaan kerana membantu penduduk miskin seperti saya untuk mendapatkan pendapatan yang lebih melalui bidang keusahawanan," katanya.

Seorang lagi peserta, Sharifah Che Nai, 43, dari Kampung Charuk Kelian yang menternak ayam kampung secara kecil-kecilan pula berharap bantuan dan bimbingan daripada FAMA membolehkan projeknya berkembang.

"Mudah-mudahan saya dapat meningkatkan jumlah ayam kampung yang dipelihara dan memasarkannya," kata ibu tunggal ini lagi.

Pegawai FAMA Daerah Baling, Mohd. Puad Jaafar telah memberikan taklimat kepada para peserta program berkenaan.

Sumber: Utusan