KUALA KETIL 14 Ogos - Pejabat Daerah Baling kini dalam usaha mendalamkan Sungai Ketil, Sungai Kupang dan Sungai Tawar sebagai langkah jangka pendek menangani masalah banjir kilat dalam daerah ini.
Pegawai Daerah Baling, Md Shuhaimi Abd Rahman berkata, langkah itu dibuat setelah mendapati tiga sungai berkenaan tidak diselenggarakan dengan baik.
“Aliran Sungai Ketil, Sungai Kupang dan Sungai Tawar cetek dan terhalang dengan sampah sarap.
“Selain itu sistem perparitan tidak lancar hingga menyebabkan limpahan juga punca banjir kilat berlaku,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media Majlis Konvokesyen Kolej Komuniti Perlis dan Kedah Bagi Tahun 2017 di Kolej Universiti Insaniah (Kuin), kelmarin.
Menurutnya, pihaknya juga mengambil langkah menyelenggarakan sungai secara berkala.
“Kita menyelenggarakan sepanjang sungai terlibat termasuk laluan anak sungai.
“Dalam masa sama, kita sedang berusaha membina ban (benteng) di kawasan rendah juga menaiktarafkan infrastrukturnya,” katanya.
Md Shuhaimi berkata, projek Rancangan Tebatan Banjir juga bakal dibina bagi langkah jangka panjang untuk mengelakkan banjir kilat berulang.
“Projek ini dalam kajian terperinci dan akan melibatkan pengambilan tanah,” katanya.
Mengulas bantuan kepada mangsa banjir kilat Khamis lalu, Shuhaimi berkata, bantuan jabatan awam kepada mangsa banjir berjaya disampaikan kurang dari lima jam berdasarkan petunjuk prestasi utama (KPI) ditetapkan.
"Setakat ini semua pihak terlibat berjaya memberikan bantuan dengan pantas kepada mangsa. Di Baling kita ada KPI tersendiri, dalam konteks macam ini semua pihak perlu bertindak kurang dari lima jam.
“Saya ucapkan terima kasih kepada semua agensi awam terlibat kerana membantu pejabat daerah dengan pantas,” katanya.
Tambahnya, bantuan dan perhatian daripada Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim kepada semua jabatan awam amat dihargai.
Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Baling, Shamsul Izrin Isahak berkata, Kompleks Rakan Muda Batu 42, Pulai bakal digunakan sebagai pusat pemindahan jika banjir besar berlaku.
“Ia pusat pemindahan terbesar di daerah ini dengan seramai 500 orang dapat ditempatkan dalam satu-satu masa. Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) telah pun membuat lawatan," katanya.
Terdahulu, Md Shuhaimi menerima sumbangan banjir kilat RM10,000 daripada Tunku Temenggong Kedah, Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim.
Dalam kejadian 10 Ogos lalu, hujan bermula jam 6.30 petang menyebabkan berlakunya banjir kilat di tiga Dun dalam daerah ini.
Oleh : Muhammad Amar Mubassyir
Sumber : Sinar