ALOR SETAR 16 Ogos - Fasa satu projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi yang bernilai RM89 juta akan dimulakan pada 1 September ini, persidangan Dun Kedah diberitahu hari ini.
Exco Pendidikan, Pengangkutan dan Badan-badan Bukan Kerajaan, Datuk Tajul Urus Mat Zain berkata, ia bakal membabitkan kerja pembesaran kawasan parkir dan dijangka siap pada 15 Okt tahun ini.
"Fasa dua yang melibatkan pembinaan dan pembesaran balai ketibaan, tandas, terminal komersial, surau dan drive way (laluan masuk kenderaan ke bangunan terminal utama) akan dimulalan pada 15 Okt ini dan berakhir 31 Ogos tahun hadapan," katanya ketika menjawab soalan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah).
Projek berkenaan diluluskan dalam Mesyuarat Majlis Ekonomi Negara pada 5 Jun lalu yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) dilantik sebagai pelaksana projek.
Menjawab soalan tambahan Nor Saidi mengenai kemungkinan untuk membina jambatan udara (aerobridge) dalam projek itu, Tajul Urus berkata buat masa ini ia agak sukar dilaksanakan memandangkan perlu melibatkan rombakan struktur dan reka bentuk bangunan utama lapangan terbang berkenaan.
"Memang ada perancangan oleh MAHB sendiri namun ia akan menjadikan kos lebih tinggi iaitu mencecah M300 juta hingga RM500 juta, dari segi bangunan kita kena sesuaikan dengan ‘aerobridge’ itu, kena buat reka bentuk lain," katanya.
Tajul Urus berkata, sehingga 31 Julai lalu, terdapat 278 penerbangan terus ke Langkawi yang dikendalikan Malaysia Airlines, Malindo Air, AirAsia, Firefly, Tiger Air dan China Southern Airlines, peningkatan 22.4 peratus berbanding tahun lalu.
"Dari segi penerbangan sewa khas, ada peningkatan iaitu daripada 24 penerbangan pada 2012 kepada 77 pada tahun lalu," katanya.
Mengenai laluan antarabangsa, Tajul Urus berkata ketika ini hanya terdapat dua laluan penerbangan antarabangsa iaitu dari Singapura dan Guangzhou, bagaimanapun bermula 11 Julai lalu, syarikat penerbangan China iaitu China Southern Airlines telah membuat penerbangan terus dari Guangzhou ke Langkawi.
Beliau berkata Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada) juga sedang menjalin rangkaian dengan syarikat penerbangan antarabangsa seperti Scoot Airlines (Singapura), Happy Air (Thailand), TUI Fly Airlines (Jerman), FinnAir (Finland), Air India, Qatar Airways dan Emirates (Emiriah Arab Bersatu) bagi mendapatkan penerbangan khas ke Langkawi.
Sumber : Sinar