ALOR SETAR 18 Ogos - Kekurangan bekalan ubat tertentu di hospital kerajaan adalah disebabkan pembekal tidak dapat menghantar bekalan pada masa ditetapkan.
Exco Alam Sekitar, Hal Ehwal Masyarakat Cina, India dan Siam, Kesihatan dan Perpaduan, Datuk Dr Leong Yong Kong berkata, kadang-kala berlaku kekurangan bekalan ubat-ubat tertentu tetapi bukan disebabkan peruntukan tidak mencukupi.
“Masalah teknikal yang menyebabkan ubat-ubat termasuk ubat penyakit kronik yang dipesan tidak dapat dibekalkan pada masa ditetapkan.
“Bagaimanapun, pihak pembekal memberi jaminan bahawa masalah ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya ketika menggulung perbahasan dalam Persidangan Dun Kedah, di sini, semalam
Menurutnya, peruntukan untuk pembelian ubat-ubatan bagi tahun 2017 diterima secara berperingkat.
"Awal tahun, sebanyak RM90.9 juta dan tambahan sebanyak RM15.1 juta dan terkini tambahan kedua sebanyak RM29 juta,”katanya.
Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Adun Datuk Mohamed Taulan Mat Rasul (Pas-Tokai) dan Dr Krishnamoorthy Rajanaidu (PKR- Bukit Selambau).
Sementara itu, Yong Kong berkata, kelewatan menjalankan bedah siasat bukan berpunca daripada ketiadaan doktor forensik sebaliknya disebabkan beberapa faktor lain.
Menurutnya, kelewatan berlaku dalam beberapa keadaan khususnya melibatkan kes polis.
“Antaranya polis perlu siasatan lebih mendalam di tempat kejadian, identiti mayat tidak dapat ditentukan dengan sahih, pakar forensik perlu menjalankan siasatan tempat jenayah (CSI), mayat kes rumit di mana mayat perlu dipindahkan ke HSB atau waris sendiri berdolak-dalik menghalang bedah siasat.
“Kelewatan juga berlaku jika pakar dan pegawai perubatan forensik sibuk dengan kes bunuh atau terdapat kes di Unit Kecemasan atau sibuk merawat pesakit,”katanya.
Menjawab soalan tambahan Nor Saidi Nanyan (BN-Kuah) yang membangkitkan tiada pakar forensik di Hospital Langkawi mengakibatkan dua kes di Langkawi lambat bedah siasat dan disensasikan oleh media.
Katanya, Kedah mempunyai dua pakar forensik dan ditempatkan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) dan dibantu tujuh pegawai perubatan ditempatkan di HSB, Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Langkawi.
“Bagi lain-lain hospital, bedah siasat kes tidak rumit akan dijalankan oleh pegawai perubatan sama ada dari unit kecemasan atau dari wad apabila pegawai perubatan forensik bercuti.
“Perkhidmatan bedah siasat dalam masa 24 jam bagi kes tidak rumit seperti kes kemalangan jalan raya atau kematian mengejut.
"Sementara, kes rumit seperti kes bunuh, mayat rentung, kematian ibu mengandung, HIV akan dijalankan pada siang hari setelah penerangan diberi kepada keluarga," katanya.
Justeru, Adun Gurun itu berkata dakwaan tiada doktor untuk menjalankan bedah siasat adalah kurang tepat.
“Penangguhan bedah siasat ke waktu siang hanya dilakukan setelah waris terdekat bersetuju,”katanya.
Sumber : Sinar