PENDANG 26 Julai - Majlis Daerah Pendang (MDP) akan mengambil tindakan segera berhubung kejadian pokok hiasan di Taman Rekreasi Awam Pendang dicuri, baru-baru ini.
Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad berkata, kejadian itu amat dikesali kerana segala usaha untuk memperindah kawasan tidak akan dapat mencapai matlamat, sekiranya kejadian seperti itu berterusan.
Menurutnya, walaupun pelbagai usaha dilakukan oleh MDP untuk memperindah landskap, ternyata masih ada segelintir pihak bersikap tidak ambil peduli dengan melakukan perbuatan jenayah dan vandalisme dengan merosakkannya.
“Pihak MDP berusaha sedaya mungkin memberi keselesaan kepada penduduk sekitar Pendang bagi membolehkan mereka menikmati suasana Taman indah dan bersih namun kegiatan vandalisme ini dilihat kian berlarutan," katanya ketika dihubungi pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata, ia kecurian kedua di lokasi sama dalam tempoh singkat, selepas kejadian sebelum ini yang melibatkan karakter Upin dan Ipin.
Zaid berkata, susulan kejadian itu, MDP akan melaksanakan langkah-langkah pencegahan seperti memperbanyakkan kawalan dan rondaan anggota penguat kuasanya.
"Selain itu juga, pemasangan papan tanda amaran dan denda serta pemasangan papan tanda nilai-nilai murni bagi memberikan kesedaran kepada orang ramai akan dilakukan.
"Insya-ALLAH kami juga akan melakukan pemasangan kamera litar tertutup dan menambah sumber pencahayaan di kawasan Taman Rekreasi Awam Pendang tersebut," katanya.
Menurutnya, pelbagai program memperindah bandar dilaksanakan oleh MDP antaranya, penanaman semula pokok-pokok teduhan (tecoma) di sepanjang jalan utama Pendang ke Tanah Merah.
Katanya, bagaimanapun keadaan sama tetap berlaku di mana pasu tersebut dipecahkan.
Oleh : Norjuliana Yaacob
Sumber : Sinar