ALOR SETAR 19 Jun - Kerajaan negeri akan melantik wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia dan penjaja sebagai Ahli Majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga, Perumahan dan Pembangunan Insan negeri, Badrol Hisham Hashim berkata, penglibatan wakil belia dan penjaja itu membolehkan pandangan daripada golongan tersebut disampaikan secara terus kepada kerajaan negeri dan PBT terbabit.
Katanya, pelantikan yang buat pertama kali diadakan itu membabitkan seorang wakil belia dan penjaja di setiap PBT seluruh negeri.
"Kali ini ada transformasi dalam pelantikan Ahli Majlis PBT, membabitkan wakil belia dan penjaja. Wakil belia ini penting kerana mereka merupakan generasi Y yang kita percaya mempunyai banyak idea untuk diketengahkan.
"Sementara wakil penjaja ini akan menjadi pelengkap agar dapat bekerjasama dengan PBT di kawasan mereka terutama dalam mengemukakan pelbagai isu berkaitan penjaja secara terus kepada PBT dan kerajaan negeri," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Larian Kitar Semula 2013 peringkat negeri anjuran kerajaan negeri dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam di Stadium Darul Aman, di sini baru-baru ini.
Yang hadir sama, Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad.
Menyentuh tentang pelantikan Ahli Majlis PBT bagi penggal baharu ini, Badrol Hisham menambah, kerajaan negeri telah menghantar surat kepada semua PBT di negeri ini agar urusan pelantikan Ahli Majlis tersebut dilaksanakan selewat-lewatnya minggu depan.
"Seramai 240 Ahli Majlis akan dilantik termasuk wakil belia dan penjaja di semua PBT. Urusan pelantikan dijangka selesai minggu depan sebelum satu perjumpaan rasmi diadakan antara semua Ahli Majlis PBT baharu dilantik itu dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir pada 30 Jun ini," katanya.
Menurut Badrol Hisham, kerajaan negeri berharap setiap ahli Majlis PBT yang dilantik akan melaksanakan khidmat mereka kepada masyarakat di kawasan masing-masing sebaik mungkin termasuk peka dan sensitif dengan isu berkaitan.
Ketika berucap dalam majlis tersebut, kata beliau, penyertaan 4,000 anggota masyarakat dalam program tersebut menunjukkan sokongan padu daripada semua pihak tentang kesedaran dalam kepentingan amalan kitar semula.
"Selain itu, kerajaan negeri juga bercadang untuk mewujudkan sebuah pusat kitar semula dalam usaha membudayakan amalan tersebut dalam kalangan penduduk. Kita mahu semua kawasan di negeri ini bersih dan indah," katanya.
Sumber: Utusan