Sasar Tapak Arkeologi Warisan Dunia

Oleh ABD. RAZAK OSMAN

Sasartapakarkeologi

MUKHRIZ Tun Dr. Mahathir (duduk, dua dari kiri) mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Warisan Negara, Muhamad Muda Bahadim berkenaan projek pembinaan Muzium Arkeologi Sungai Batu ketika melawat Tapak Warisan Arkeologi Sungai Batu, Merbok, Kedah, kelmarin. - BERNAMA

MERBOK 23 Jun - Kerajaan negeri menyasarkan untuk menjadikan tapak Arkeologi Sungai Batu di Lembah Bujang di sini yang wujud sejak tahun 110 Masihi iaitu 1,900 tahun lalu, diiktiraf sebagai tapak warisan dunia oleh Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO).

Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir berkata, pengiktirafan tersebut bakal menjadikan kawasan tersebut lokasi tarikan pelancong dari seluruh dunia.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedia memberi kerjasama bagi membangun tapak bersejarah itu yang merupakan penemuan penting bukti kewujudan Kerajaan Kedah Tua pada suatu masa lalu.

"Kita berharap usaha dan bajet diluluskan oleh Kerajaan Persekutuan bagi membangun tempat itu bakal dilaksanakan dengan jayanya dan pihak negeri akan pastikan kawasan itu menjadi warisan negara bukan warisan Kedah sahaja," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat ringkas dari Pegawai Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Hamid Md. Isa sempena lawatan Mukhriz di Kompleks Tamadun Terawal Di Asia Tenggara Sungai Batu di sini, semalam.

Mukhriz memberitahu, kajian terbaharu sekumpulan pakar warisan di Sungai Batu menemui pelbagai bahan sejarah termasuk industri pelaburan besi, bijih timah dan manik.

Menurutnya, ia menjadi bukti kawasan tersebut adalah pusat perdagangan dengan para pedagang menjadikan Gunung Jerai sebagai pedoman utama untuk datang sekitar abad pertama masihi.

Kajian dan penyelidikan dijalankan di situ bermula sejak 2009 lagi membawa kepada beberapa penemuan antaranya tapak ritual yang terbenam pada kedalaman 1.5 meter, serpihan tembikar, industri peleburan besi dan perdagangan.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Warisan di Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Mohamad Muda Bahadin memberitahu, sejumlah RM20 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutuan bagi melaksana pelbagai perkara kajian di kawasan itu membabitkan kawasan tanah seluas 30 hektar.

Bagaimanapun, katanya, kerja-kerja mahu dilakukan untuk tempoh jangka panjang di sini perlu diperhalusi agar tidak terjejas dengan keadaan persekitaran.

Sumber: Utusan