ALOR SETAR 9 Jun - Kerajaan negeri memberi jaminan akan berusaha menunaikan setiap janji yang terkandung dalam manifesto Barisan Nasional (BN) Kedah pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu termasuk pembinaan sebuah litar lumba untuk golongan belia.
Menteri Besar, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir (gambar) berkata, rakyat tidak perlu khuatir kerana kerajaan negeri akan membina litar lumba tersebut dalam tempoh pentadbirannya seperti yang dijanjikan.
"Saya minta supaya jangan bimbang bahawa setelah sebulan berlalu sejak keputusan PRU-13 diumumkan, khususnya pembinaan litar lumba masih belum ada sebarang perkembangan.
"Sebenarnya di sebalik tabir, banyak perbincangan kita adakan kerana ini bukan soal buat atau tidak tetapi yang timbul ialah bila dan di mana hendak dilaksanakan," katanya dalam majlis pelancaran Festival Belia Kedah 2013 di pekarangan Stadium Darul Aman di sini semalam.
Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan serta Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Aminuddin Omar dan Presiden Majlis Belia Negeri Kedah (MBNK), Ku Iskandar Ku Saad.
Mukhriz berkata, pembinaan litar lumba itu tidak dilakukan tergesa-gesa kerana mahu memastikannya menepati kehendak dan aspirasi yang ditetapkan.
Katanya, setakat ini pihaknya sedang memperincikan soal pengisian melibatkan tiga aspek iaitu pendidikan, sosial dan komersial dalam pembinaan litar lumba tersebut.
"Demi memastikan projek yang hendak kita laksanakan ini benar-benar menepati cita rasa dan aspirasi kita, maka saya mohon sedikit masa supaya dapat memperincikan proposal yang diterima," ujar beliau.
Sementara itu, mengenai penyelesaian masalah Kolej Universiti Insaniah (Kuin), Mukhriz berkata, kerajaan negeri dalam peringkat meneliti resolusi yang boleh diambil kerana terdapat beberapa pilihan untuk diberi pertimbangan seadilnya.
Kata beliau, tidak timbul soal kerajaan negeri sudah membuat keputusan iaitu untuk menswastakan kolej universiti tersebut memandangkan keputusan belum dibuat.
"Kita belum sampai membuat keputusan seperti itu. Mungkin itu disebut sebagai salah satu pilihan tetapi ia tidak semestinya pilihan yang kita utamakan. Banyak lagi alternatif yang kita ada.
"Seperti yang pernah saya kata, perkara kita utamakan ialah kepentingan pelajar, kakitangan dan pengurusan. Apa jenis penstrukturan yang perlu buat di peringkat pengurusan akan mengambil kira kepentingan saya sebutkan itu," ujar beliau.
Tambahnya, masih terdapat kekeliruan pada status Kuin kerana dikatakan sebagai sebuah institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, namun dalam soal pengajian pekerja, kedudukannya di bawah Insaniah Holdings.
Sumber: Utusan