ALOR SETAR 11 Jun - Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mengarahkan pemaju sebuah projek perumahan baharu di Jalan Langgar di sini supaya mendalamkan kolam takungan air bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di Taman Permai Baru.
Datuk Bandar Alor Setar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, kerja-kerja mendalamkan kolam takungan air tersebut sedang dilakukan dan ia dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga bulan untuk siap.
"Dengan adanya kolam takungan air yang lebih dalam, dapat menampung lebih banyak limpahan air, sekali gus mengurangkan risiko banjir kilat di Taman Permai Baru," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Menurut Mat Noh, MBAS pernah melakukan kerja-kerja mendalamkan parit di jalan utama berhampiran perumahan berkenaan namun ia tidak dapat mengatasi masalah banjir kilat di situ.
"Ini kerana Taman Permai Baru adalah perumahan lama yang terletak di paras rendah berbanding perumahan baharu terletak di sekelilingnya menyebabkan air melimpah masuk ke taman itu," ujarnya.
Akhbar ini hari ini melaporkan penduduk Taman Permai Baru di Jalan Langgar di sini tertekan apabila kawasan perumahan mereka kerap dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Dalam kejadian petang semalam kira-kira 20 buah rumah di situ digenangi air sedalam hampir setengah meter.
Sumber: Utusan