Kesihatan Menteri Besar bertambah baik

Isnin, 08 Ogos 2011 11:00 | Ditulis oleh AMELIA HASHIM |

ALOR SETAR, 8 Ogos: Menteri Besar Kedah YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan Abdul Razak telah dipindahkan ke wad biasa Bunga Raya Institut Jantung Negara, kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Insan, Sains Inovasi, Teknologi Maklumat, Komunikasi, YB Dr Ismail Salleh.

“Semenjak di rawat di ICCU IJN kesihatan YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan telah menunjukkan perkembangan positif. Beliau dipindahkan ke wad biasa tiga hari lalu (Sabtu),” katanya kepada Warta Darulaman.

Sekiranya tanda-tanda positif ini berterusan YB Dr Ismail yakin, beliau akan sembuh sepenuhnya dan dapat pulang menjalankan tugas seperti biasa.

Sebelum ini Menteri Besar Kedah dimasukkan ke IJN kerana komplikasi jantung atas nasihat pakar perubatan Kedah Medical Centre. Sepanjang menerima rawatan di IJN beliau hanya menjalankan prosedur angiogram.

Menurutnya dengan perkembangan ini sekaligus menafikan anggapan yang YAB Dato’ Seri Ustaz Azizan akan bercuti selama sebulan dan jawatannya akan dipangku oleh Ahli Exco yang dipilih.

“Kesihatannya sekarang bertambah baik dan boleh bergerak sendiri seperti pergi ke bilik air,” katanya.