PENIAGA DIINGATKAN JANGAN AMBIL KESEMPATAN



20peniaga
ALOR SETAR 20 Februari - Peniaga makanan atau minuman di Alor Setar diminta tidak mengambil kesempatan menaikkan harga di premis mereka.
Pengerusi Pasar Besar Alor Setar yang juga peruncit, Mohd Fauzi Sharip berkata, peniaga tidak boleh menaikkan harga sesuka hati sedangkan barangan runcit tidak mengalami kenaikan.
“Berdasarkan pemerhatian, belum ada kenaikan harga barang runcit setakat ini. Malah, ada barang yang mengalami penurunan harga.
“Antaranya, telur ayam yang digunakan dalam nasi lemak. Mengikut harga kawalan, telur ayam gred A dijual RM3.80 untuk 10 biji, tapi sekarang hanya RM3.40, itu pun ada yang jual lebih murah,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Pengguna Kota Setar berkata, tidak relevan sekiranya ada peniaga makanan memberi alasan kenaikan harga nasi lemak disebabkan telur mahal.
“Kalau pengguna dapati ada peniaga nasi lemak menaikkan harga, bermakna mereka telah mengambil kesempatan,” katanya.
Menurutnya, selain cili dan bawang, harga ayam dan daging juga tidak berubah dan kekal seperti sebelum ini.
Berbeza dengan beberapa jenis sayuran yang naik harga sejak dua minggu lalu seperti sawi, daun bawang dan daun sup, sementara harga ikan kembung tidak turun.
Menurutnya, kenaikan harga tiga jenis sayuran itu dipercayai disebabkan kekurangan bekalan ataupun faktor musim tengkujuh.
Bagaimanapun katanya, beliau akan melakukan pemeriksaan di sekitar kawasan premis dua ke tiga hari sekali demi memastikan peniaga menjual mengikut harga ditetapkan.
"Setakat ini pengguna biasanya berjumpa saya untuk dapatkan maklumat atau penjelasan kalau mereka meragui harga barang dipamerkan terlalu mahal.
Sumber : Sinar