MAHU NIKMATI HARI TUA BERSAMA




    21mahu
    YAN 21 Februari - Di sebalik riak wajahnya yang tenang, jelas terserlah ketabahan wanita berusia 58 tahun ini dalam menjaga suami yang lumpuh seluruh badan selepas diserang strok pada penghujung tahun lalu.
    Aishah Yusof berkata, suaminya, Khalid Awang Kechik, 68, sebelum ini bekerja sebagai pembekal ikan, namun kehidupannya mula berubah apabila diserang strok ketika berada di rumah rakan pada Disember lalu.
    Menurutnya, sejak itu mereka bergantung sepenuhnya kepada wang simpanan suaminya yang dikumpul ketika masih sihat.
    “Saya diberitahu dia rebah ketika berbual di rumah rakannya berdekatan kampung ini.
    "Sejak tu dia tak pernah gerakkan badan, hanya berkelip dan batuk. Dia juga tak boleh makan makanan lain selain susu khas yang disalurkan dengan menggunakan tiub. Satu tin susu berharga RM85 dan bertahan untuk tiga hari saja,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kuala Sungai Yan, semalam.
    Menurut Aishah, mereka mempunyai empat anak perempuan termasuk anak bongsu yang menghidap talasemia sejak berusia 7 tahun.
    “Sekarang anak bongsu berumur 23 tahun dan turut memerlukan perhatian daripada saya.
    “Alhamdulillah, anak-anak ada membantu, tapi mereka pun ada keluarga masing-masing,” katanya.
    Tambah Aishah, dia juga memerlukan kira-kira RM1,000 sebulan untuk membeli susu dan lampin pakai buang buat kegunaan suaminya.
    “Saya hanya lap badan suami sebab tak mampu bawa ke bilik air untuk mandi, tambah pula dia tak sedarkan diri.
    “Saya harap sangat suami akan sembuh kerana mahu menikmati hari tua bersama,” katanya sebak.
    Sementara itu, nasib keluarga ini turut mendapat perhatian Adun Guar Chempedak, Datuk Ku Rahman Ku Ismail yang datang menziarahi serta menyumbangkan keperluan makanan harian dan wang tunai beberapa hari lalu.
    Oleh : Norjuliana Yaacob
    Sumber : Sinar