'BANGUNLAH, MAK RINDU SUARA TAM'




    21bangunlah
    KULIM 21 Februari - “Tam... bangunlah nak, kuatkan semangat.” Demikian kata-kata yang keluar daripada mulut Zaina Awang, 49, yang merupakan ibu kepada Muhammad Faizal Mohd Sanusi, 18, yang kini dalam keadaan separa sedar selepas terlibat dalam nahas jalan raya.
    Menurutnya, anak ketiga daripada empat beradik itu hanya minum susu melalui tiub yang dipasang pada bahagian perut untuk meneruskan hidup.
    “Saya rindu nak dengar suara, gelak tawanya seperti dulu. Masih terngiang dia panggil emak, bergurau dengan saya. Tapi semua tu hanya tinggal kenangan. Dia tak mampu buat apa-apa lagi selepas terlibat kemalangan pada April tahun lalu.
    “Dia sekarang hanya boleh minum susu. Nak mandi pun saya kena lap, dia juga kena pakai lampin pakai buang. Saya selalu berbual dengan dia supaya dia kuat semangat untuk kembali sihat. Saya bimbang jika saya tak ada, siapa akan menjaganya selepas ini,” katanya.
    Menurut Zaina, dia juga sering memasang rakaman ayat suci al-Quran sebagai alternatif untuk memulihkan Muhammad Faizal.
    “Saya sentiasa ajar dia istighfar, mengaji dan memasangkan ayat-ayat al-Quran. Saya harap cara ini dapat bantu dia kembali sedar sepenuhnya dan sihat,” katanya.
    Bagaimanapun, kata Zaina, tilam digunakan sebagai alas tempat pembaringan anaknya itu tidak lagi sesuai dan selesa.
    “Katil laras ni jiran bagi pinjam, tilam pula memang tak sesuai dan tak berapa selesa. Kalau ada pihak mahu menghulurkan sumbangan tilam khas, kami sangat mengalukan.
    “Tam (Faizal) juga perlukan pam penyedut kahak yang baru sebab yang lama dah tak berfungsi dengan baik. Selain doa agar anak saya sedar semula,” katanya.
    Oleh : Jamilah Hamzah
    Sumber : Sinar